12 Ogos 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kahfi ayat 10 dan 13 seperti yang berikut:

Maksudnya: (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung di dalam gua lalu mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.”

Maksudnya: “Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya.  Sesungguhnya mereka itu ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”

Ayat 10 dan 13 dalam Surah al-Kahfi ini mengisahkan pemuda Ashabul Kahfi yang teguh iman mereka sehingga sanggup melarikan diri dan bersembunyi di dalam gua demi memelihara akidah. Mereka tidak terpengaruh dengan imbuhan, tidak gentar dengan desakan dan tidak gementar dengan ancaman pemerintah yang zalim.

Maksudnya: “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda daripada kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyeksa mereka. Sesungguhnya Firaun itu berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Yunus 10:83)

Ayat tersebut menyatakan bahawa tiada orang dewasa yang beriman dengan Nabi Musa a.s. tetapi para pemuda telah menunjukkan sifat berani menerima kebenaran ajaran Nabi Musa a.s. dalam suasana majoriti penduduk terlalu takut untuk menentang Firaun.

Rasulullah SAW meletakkan pemuda pada kedudukan yang istimewa kerana sifat mereka yang berani ke hadapan.

Rasulullah SAW meletakkan pemuda pada kedudukan yang istimewa. Para pemuda merupakan kumpulan pertama yang berani ke hadapan mendampingkan diri untuk mendukung dan bergabung usaha bagi membantu Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islamiah sedangkan orang-orang tua menentang Baginda. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik terhadap golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Tafsir Ibn Kathir menyebut bahawa majoriti orang yang menerima baik seruan para nabi adalah dalam kalangan golongan muda. Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul ketika Baginda berusia 40 tahun.  Pengikut-pengikut Baginda yang membentuk generasi pertama Islam kebanyakan terdiri daripada kalangan belia yang menunjukkan sifat bersedia menerima pembaharuan. Mereka merupakan kumpulan terawal menerima ajaran Islam yang antaranya termasuklah Sayidina Abu Bakar r.a. yang memeluk Islam ketika berusia 38 tahun, Sayidina Umar r.a. memeluk Islam ketika berusia 28 tahun, dan Sayidina Ali karamallahu wajhah memeluk Islam ketika berusia 10 tahun. Antara nama yang tercatat dalam sejarah yang membantu perjuangan Rasulullah SAW ketika usia muda termasuklah Jaafar bin Abi Talib, berusia 18 tahun, Qudhamah bin Maz’un, berusia 19 tahun. Abdullah bin Mas’ud yang memeluk Islam ketika berusia 18 tahun secara berani memperdengarkan bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraisy sehingga beliau pulang dengan mukanya luka dan berdarah.

Rasulullah SAW menghargai golongan belia. Baginda yakin akan keupayaan para belia, lantas mengamanahkan tanggungjawab dan peranan penting kepada mereka. ‘Itab bin Usaid r.a. ketika berusia 21 tahun dilantik menjadi pemimpin Kota Makkah; Usamah bin Zaid r.a. dilantik memimpin pasukan tentera bagi menentang kerajaan Rom di Syam ketika baru berusia 18 tahun; dan Zaid bin Tsabit bergabung dengan Islam ketika berusia 11 tahun sewaktu berlaku Perang Badar. Beliau diangkat oleh Rasulullah SAW menjadi pembantu bagi menulis wahyu yang turun ketika usia masih remaja.

Golongan belia berupaya menggalas tanggungjawab jika diberikan peluang dan kepercayaan.

Sejarah menunjukkan belia dan kalangan remaja jika diberikan kepercayaan dan peluang, berupaya menggalas tanggungjawab penting. Kita memiliki contoh-contoh yang boleh dijadikan teladan. Ketika Persekutuan Tanah Melayu diisytihar sebagai sebuah negara yang merdeka, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada ketika itu berusia 52 tahun. Namun begitu, Tunku dibantu oleh pasukan berusia muda. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak berusia 35 tahun dan antara anggota jemaah menteri pada ketika itu termasuklah Tun Dr. Ismail yang berusia 42 tahun, Tun Tan Siew Sin berusia 41 tahun dan Tun Sambanthan berusia 38 tahun.

Dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, Dato Seri Aminuddin Baki menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran ketika berusia 36 tahun, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz mencetus idea penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan menjadi Ketua Pengarah pertama, ketika berusia 34 tahun. Dr. Ungku Umar diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan ketika berusia 34 tahun, dan Tun Mohammed Hanif Omar diamanahkan tanggungjawab selaku Ketua Polis Negara ketika berusia 35 tahun. Dalam bidang kehakiman dan perundangan, Tan Sri Abu Talib Othman menjawat jawatan Peguam Negara ketika berusia 38 tahun dan Raja Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika berusia 37 tahun serta mencatat rekod sebagai hakim termuda di antara hakim-hakim Mahkamah Tinggi di negara-negara Komanwel.

Tokoh-tokoh yang disebut merupakan tokoh-tokoh terkemuka yang berjaya membuktikan bahawa usia muda tidak menjadi penghalang untuk membolehkan terciptanya kejayaan dan terukir kecemerlangan. Generasi belia lazimnya lebih idealistik. Mereka memiliki idea-idea yang segar, mereka lebih bertenaga, dan mereka juga bersemangat kental serta komponen yang amat penting bagi mencorakkan pemerintahan yang dinamik lagi progresif dalam usaha mahu mencapai taraf negara maju.

Generasi belia perlu diberikan perhatian, kepercayaan dan tanggungjawab. Para belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara bangsa yang bersatu dan berpadu, maju lagi makmur. Pelibatan para belia secara aktif akan dapat membantu  meremajakan dasar yang telah tua, meniup pembaharuan kepada struktur yang telah lama dan menyuntik darah muda pada tubuh yang telah berusia. Slogan seperti “Belia Masa Hadapan Negara” perlu diterjemahkan dengan kesediaan menyediakan ruang bagi membolehkan para belia dilatih dan diasuh bakat mereka untuk mewarisi tanggungjawab kepimpinan yang lebih besar.

Generasi belia perlu diasuh dan dibimbing untuk menggalas tanggungjawab membina negara.

Para belia juga berada dalam zon usia rapuh yang berhadapan dengan pelbagai dugaan duniawi yang menjelma di hadapan mata dalam pelbagai bentuk seperti kebendaan, imbuhan, pujian, pangkat, gelaran, jawatan, rasuah, hiburan, keperluan nafsu syahwat dan pelbagai lagi. Bagi membolehkan para belia berjaya mengatasi dugaan duniawi sedemikian, saranan untuk golongan belia adalah seperti yang berikut:

Pertama: Memperkukuh jati diri, memiliki prinsip yang kukuh, cekal dan gigih, serta tidak sama sekali menjual harga dan maruah diri kerana sogokan rasuah serta menyemai tekad tidak akan melakukan perbuatan pecah amanah.

Kedua:  Membina kekuatan dalaman dan daya tahan bertiangkan syarak, berlandaskan kitab Allah, bersendikan adab dan adat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan Arasy daripada Allah di akhirat, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa beribadat kepada Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 1357 dan Muslim no. 1031).

Ketiga: Memiliki sifat-sifat ilmuwan yang tidak mudah dijadikan keldai untuk dicucuk hidung, berupaya mentafsir antara permata dengan kaca, bijak menilai antara kebenaran dengan kepalsuan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah. Ya Rabb al-‘alamin. Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bimbinglah para pemuda kami agar memanfaatkan usia mudanya pada jalan-jalan kebaikan dan mendatangkan faedah. Kurniailah negara kami pemimpin muda yang bijak, beramanah, bertakwa, menjunjung yang hak dan menentang kebatilan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 Ogos 2022, “Belia: Khazanah Bernilai, Sumber Berharga”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.