Oleh Rosmani Omar
9 Ogos 2022, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kunjungan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang ini mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihakDalam pertemuan tersebut, DBP dan IKIM berbincang tentang program yang boleh dilaksanakan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sesuai dengan peranannya sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan 1957. Pada masa yang sama, IKIM yang ditubuhkan pada tahun 1992 berbincang tentang program yang dapat dilaksanakan sesuai dengan peranan penubuhannya untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar demi menjaga kesucian ajaran Islam tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan yang ditetapkan.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM dalam pertemuan di DBP pada petang ini.

Menerusi pertemuan ini, DBP dan IKIM mencapai kata sepakat untuk merancang pelbagai aktiviti yang memperoleh manfaat secara bersama. Misalnya, selain memberikan ruang untuk DBP bersiaran menerusi rancangan Radio IKIM, DBP dan IKIM juga akan bekerjasama dalam penganjuran program kebahasaan seperti seminar sastera Islam dan juga penerbitan buku dan majalah.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, DBP menyambut baik pandangan dan pertukaran idea daripada IKIM berhubung dengan kegiatan dan program penerbitan terutamanya dalam penyiaran rancangan radio dan televisyen. Hal ini demikian kerana DBP sedang berusaha untuk meningkatkan mutu rancangan radio dan televisyen penstriman yang disiarkan menerusi JendelaDBP dan media sosial DBP. DBP juga sedang berusaha mendigitalkan buku-buku terbitannya sejak tahun 1958 di samping menerbitkan buku digital dalam bentuk interaktif.

Dalam soal penerbitan, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM berkata bahawa pihaknya juga turut menerbitkan buku termasuklah buku dalam bentuk digital. Pihak IKIM turut memuji usaha DBP mendigitalkan buku terbitannya termasuklah buku digital interaktif.

Turut hadir dalam kunjungan di DBP pada petang tadi ialah Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Tuan Haji Mahathir Shaharuddin, Pengurus Besar Radio IKIM, Wan Roslili Abd. Majid, Felow IKIM, Ketua Editor dan pegawai kanan IKIM. Hadir sama dalam perbincangan bersama-sama pihak IKIM ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Ketua Editor dan beberapa orang pegawai DBP.

Pihak DBP dan pihak IKIM bergambar bersama-sama Ketua Pengarah DBP dan Ketua Pengarah IKIM.

Terdahulu, DBP pernah menjalinkan kerjasama dengan IKIM dalam pelbagai aktiviti dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Misalnya, sejak tahun 2012, DBP bekerjasama dengan IKIM dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam rancangan Klinik Jawi di Radio IKIM bertujuan untuk menyemarakkan penulisan dan pembacaan Jawi dalam kalangan rakyat Malaysia melalui slot pembelajaran Jawi di radio. Menerusi program tersebut, lebih 240 episod rancangan Klinik Jawi telah disiarkan. Selain itu, IKIM juga turut memberikan ruang kepada pihak DBP untuk bersiaran menerusi Radio IKIM bagi membicarakan buku terbitan DBP dan isu yang berkaitan dengan bahasa agar masyarakat sentiasa mempersegar minda dengan perkembangan bahasa yang mutakhir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.