30 Julai 2022, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Majlis Bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan 2022 telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 29 Julai 2022.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Dato’ Haji Othman Mustapha telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah tahun 2022 Masihi, sementara Menteri Kanan Hal Ehwal Islam Kemboja, YB Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah tahun 2022 Masihi ini disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh berkenaan menerima pingat dan sijil penghargaan.

Dato’ Haji Othman Mustapha, 66, dilahirkan di Tumpat, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam (Syariah) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1982.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah JAKIM bermula dari April 2011 hingga 2018 dan Pegawai Agama Kanan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dari 1992 hingga Jun 1997.

Sementara itu, Datuk Dr. Othsman Hassan, 68, dilahirkan di Kampung Trapaing Chouk, Wilayah Kompong Thom, Kemboja. Beliau merupakan tokoh yang disegani baik di Nusantara mahupun pada peringkat antarabangsa atas sumbangannya terhadap perkembangan Islam di Kemboja. Beliau kini merupakan Presiden Pusat Islam Phnom Penh (PPIC) dan Naib Presiden Jawatankuasa Pemandu Halal Kemboja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.