29 Julai 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan pengisytiharan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960, kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 31 Julai sebagai Hari Pahlawan. Hal ini bertujuan untuk memperingati dan menghargai pengorbanan anggota pasukan pertahanan dan pasukan keselamatan yang mengabdikan jiwa raga mereka berkhidmat dan berbakti kepada nusa dan bangsa.

Kedaulatan sesebuah negara bangsa amat dipengaruhi oleh semangat kepahlawanan yang dimiliki oleh warganya. Tahap kepahlawanan paling tinggi seseorang warga terhadap negara bangsa ialah kesediaan mengabdikan jiwa raga, hatta ke peringkat sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara, iaitu semangat rela mati berputih tulang daripada hidup berputih mata. Inilah semangat kesateria yang dimiliki oleh setiap anggota tentera dan polis.

Anggota tentera dan polis ialah pahlawan negara. Mereka merupakan insan yang cekal lagi berani, memiliki semangat juang yang kental, memiliki semangat keberanian yang luar biasa, memiliki semangat pengorbanan yang tinggi, memiliki semangat dedikasi yang unggul, dan memiliki semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap raja dan negara. Matlamat utama mereka adalah untuk memenuhi amanah dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran sebuah negara merdeka. Anggota tentera dan polis ialah pejuang yang gagah dan perwira yang digentari.

Berjuang demi mempertahankan hak dan kebenaran merupakan amalan mulia yang disanjung tinggi dalam Islam. Lebih-lebih lagi perjuangan yang dilakukan bukan didasari oleh kepentingan duniawi. Islam menegaskan kepentingan melakukan keadilan dalam setiap perkara. Oleh itu, Islam membenarkan hak yang dirampas dengan cara yang tidak adil dipertahankan. Pahlawan yang berjuang untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak, memiliki kedudukan istimewa berlandaskan firman Allah SWT.

Maksudnya: Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (daripada dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak berperang kerana uzur) dengan pahala yang amat besar. (Surah al-Nisa’ 4:95).

Negara Malaysia berjaya dipertahankan sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Rakyat dapat menjalani kehidupan harian dalam suasana aman dan damai kerana keberkesanan para anggota tentera dan polis melaksanakan tugas. Dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan demi memenuhi tanggungjawab memulihara keamanan negara, banyak anggota tentera dan polis yang cedera dan ada juga yang kehilangan nyawa.

Keikhlasan para pahlawan negara terserlah apabila mereka menjalankan tanggungjawab tidak kira masa dan tempat.

Anggota tentera dan anggota polis ialah wira bangsa dan wira negara. Hal ini terbukti melalui semangat kepahlawanan yang diserlahkan ketika memikul tanggungjawab yang amat berat, sama ada bertugas di darat, di air atau di udara untuk mengawal negara daripada serangan musuh di samping memastikan negara berada dalam keadaan aman sentosa.  Demikian tugas berat yang digalas oleh anggota tentera dan polis, betapa berat mata memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Menjaga sempadan negara sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa dan solat malam sebulan penuh. Apabila penjaga tersebut meninggal dunia (ketika bertugas), dia akan terus diberikan pahala atas amalan yang biasa dilakukannya sebagaimana dia terus dikurniakan rezeki dan kenyamanan daripada segala pengganggu (azab kubur). (Hadis riwayat Muslim).

Jika negara makmur sehingga menjadi syurga rezeki dan syurga pelaburan, dan jika negara aman, tenteram, warganya hidup rukun serta damai, sedarilah bahawa keadaan tersebut mungkin disebabkan keberkesanan khidmat yang dilaksanakan oleh para pahlawan negara bergelar tentera dan polis. Tentera dan polis merupakan tenaga yang memungkinkan negara kekal berdaulat dan warganya hidup dalam harmoni.

Sambutan Hari Pahlawan bukan sekadar untuk memperingati para anggota tentera dan polis yang telah terkorban, tetapi juga memperlihatkan pengiktirafan kepada mereka yang masih dan sedang bertugas. Hal ini juga memperlihatkan penghargaan negara dan warga kepada kaum keluarga yang telah kehilangan insan yang dikasihi bernama anak, suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak atau adik. Banyak anggota tentera dan polis yang terkorban atas nama negara, disemadikan di pusara yang tidak bernama. Amatlah menyedihkan, apabila pengorbanan mereka begitu cepat luput dalam memori warga setelah jasad mereka selesai disemadikan. Tangisan anak-anak mereka yang menjadi yatim, sedu-sedan isteri mereka yang terlalu muda menjadi balu, hilang bagaikan dibawa oleh angin, sebaik selesai begol ditiupkan dengan lagu “The Last Post”. Demikian harga satu nyawa yang ditamatkan oleh sebutir peluru musuh apabila warga tidak disuntikkan dengan semangat  menghargai pengorbanan. Demikian cepatnya dilupakan pengorbanan wira bangsa – wira negara.

Pahlawan yang terkorban harus dikenang sepanjang zaman sebagai wira bangsa dan negara.

Dalam hasrat mahu menghargai jasa pahlawan negara, dana atas nama Tabung Pahlawan diperkenalkan. Dana ini diwujudkan khusus untuk menghargai para pahlawan negara yang berkorban tenaga, keringat, darah dan nyawa untuk mengekalkan keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara. Dana Tabung Pahlawan turut digunakan untuk membantu keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban.

Oleh hal yang demikian, Muslimin  diseru kepada perkara yang berikut:

Pertama: Anggota tentera dan polis yang telah disemaikan jati diri insan bersemangat wira , iaitu berjiwa kesateria hendaklah berupaya membina kekuatan dan keberanian dalaman untuk memperjuangkan yang hak dan menegakkan kebenaran serta menjunjung perjuangan suci yang mendapat keredaan Ilahi.

Kedua: Orang-orang yang ikhlas berjuang mempertahankan hak dan kebenaran, lalu terkorban, memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT, dan Insya-Allah dikurniakan ganjaran syahid.

Ketiga: Warga menunjukkan penghargaan yang bermakna kepada para pahlawan negara dengan bermurah hati menghulurkan sumbangan dan derma ke Tabung Pahlawan Negara.

Sehubungan dengan itu, Muslimin dan mana-mana agensi diseru untuk memberikan sumbangan ikhlas  kepada Tabung Pahlawan Negara sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada anggota tentera dan anggota polis yang banyak berjasa kepada negara.

Dalam meningkatkan keimanan, umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Limpahi rahmat-Mu kepada para pejuang yang telah terkorban mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Tempatkan mereka bersama para syuhada. Kekalkan keamanan negara Malaysia. Limpahi bumi negara ini dengan nikmat kemakmuran. Harmonikan kehidupan warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya hidup dalam semangat saling menghormati.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Sumber gambar: Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) dan Angkatan Tentera Malaysia

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 29 Julai 2022, “Tentera dan Polis: Wira Bangsa, Wira Negara”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.