28 Julai 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam pendidikan kontemporari, adab kurang diberikan perhatian kerana penekanan lebih diberikan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Jika ditanyakan tentang makna adab kepada pelajar, maka jawapan yang paling popular ialah memberi salam kepada guru. Sedangkan pengertian adab yang sebenar sangat luas, bahkan menjadi prasyarat bagi penerimaan sesuatu ilmu pengetahuan.

Dalam tulisan Rusman H Siregar yang berjudul Kenapa Adab Lebih Utama daripada Ilmu yang tersiar dalam Kalam.Sindonews.com pada 23 Ogos 2020, beliau menyebut bahawa Imam Abdullah bin Mubarak mempelajari adab selama 30 tahun dan mencari ilmu selama 20 tahun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa adab itu perlu dipelajari terlebih dahulu sebelum mencari ilmu, dan pelajaran tentang adab pula lebih lama berbanding dengan pelajaran tentang ilmu pengetahuan. Oleh sebab itulah, ibu kepada Imam Malik bin Anas yang merupakan pendiri kepada Mazhab Maliki berpesan agar Imam Malik mempelajari adab kepada gurunya yang bernama Imam Rabiah bin Abdul Rahman sebelum mempelajari ilmu. Murid kepada Imam Malik yang bernama Abdul Rahman bin al-Qasim pula menyatakan bahawa beliau telah berkhidmat kepada gurunya itu selama 20 tahun, dan dalam tempoh tersebut beliau telah mempelajari adab selama 18 tahun. Bahkan beliau lebih suka menghabiskan masa dengan mempelajari adab sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Secara zahirnya, adab dititikberatkan dalam pendidikan silam agar beroleh keberkatan ilmu yang disampaikan oleh guru. Namun begitu, dari sudut batin adab merupakan pemeliharaan kepada rahsia-rahsia Allah. Ilmu ialah rahsia Allah yang mempunyai kedudukan yang agung. Oleh sebab itulah tokoh sufi abad ke-2 Hijrah yang bernama Abu Yazid al-Bastami membatalkan hasrat untuk berguru kepada seorang lelaki yang dianggap oleh masyarakat sebagai orang yang soleh apabila melihat lelaki tersebut meludah di dinding masjid dari luar. Alasannya, seseorang yang tidak dapat memelihara adab syariat, sudah tentu tidak mampu memegang amanah menjaga rahsia Allah SWT.

Seseorang murid perlu menjaga adab ketika belajar supaya ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan.

Guru merupakan sumber atau gedung bagi murid. Oleh itu, adab kepada guru sangat penting bagi seorang murid untuk memperoleh sesuatu ilmu. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ali bin Hasan al-Attas, pencapaian dan pemahaman seseorang itu terhadap ilmu bergantung pada kadar adab kepada gurunya. Semakin tinggi atau besar adabnya kepada guru, maka semakin tinggilah kefahaman dan sinaran cahaya ilmu yang masuk ke dalam dirinya. Murid yang memelihara adab kepada gurunya akan dikurniakan banyak kefahaman, manakala murid yang paling tinggi kefahamannya lazimnya ialah murid yang paling banyak atau lama berdamping dengan gurunya. Antaranya termasuklah mengetahui kepentingan memanfaatkan ilmu sehingga tiada sedikit pun masa itu disisakan. Natijahnya, ilmu dapat dikuasai dengan meluas dan mendalam.

Antara adab terbesar murid terhadap guru termasuklah berkhidmat kepadanya. Dalam pendidikan silam, seseorang yang bergelar murid hendaklah menyerahkan segala urusan dirinya kepada guru dan mendengar nasihat guru seumpama orang yang sakit mendengar nasihat doktor. Murid juga hendaklah bersifat tawaduk kepada gurunya dan sentiasa berusaha untuk berkhidmat kepada gurunya kerana khidmat ialah lambang kemuliaan bagi seorang murid. Oleh sebab itulah, Imam Syafii pernah berkata bahawa ilmu tidak akan tercapai melainkan dengan bersabar atas kehinaan.

Oleh sebab itulah penuntut ilmu digelar sebagai khadam ilmu. Antara ciri seorang khadam ilmu termasuklah tamak dengan masa dan berlumba-lumba untuk mengambil faedah. Dikatakan bahawa sekiranya ulama terdahulu tidak menjaga masa dengan sangat ketat atau menggadaikan seluruh kehidupan mereka dengan cara yang luar biasa, maka sudah tentulah umat Islam pada hari ini tidak dapat mewarisi ilmu-ilmu Islam sebagaimana yang terdapat dalam kitab muktabar dan kitab ilmu pengetahuan yang berwibawa yang tersebar luas ke seluruh dunia.

Adab yang berikutnya ialah kesungguhan menimba ilmu. Imam Syafii ketika menimba ilmu dengan Imam Malik menunjukkan kesungguhan yang luar biasa. Walaupun tidak memiliki alat tulis, Imam Syafii telah menulis segala pengajaran yang disampaikan oleh Imam Malik dengan menggunakan jari di atas tapak tangannya. Apabila Imam Malik memintanya membaca semula apa-apa yang ditulis, Imam Syafii dapat membacakan kesemua pengajaran yang telah disampaikan dengan tepat sehingga mengagumkan Imam Malik. Imam Malik lalu mengucapkan kata-kata seumpama doa kepada Imam Syafii bahawa kelak anak muridnya itu akan memiliki sesuatu yang amat besar dan beliau meminta Imam Syafii bertakwa kepada Allah SWT.

Menghormati guru merupakan manifestasi adab yang pada hakikatnya menunjukkan penghormatan yang tinggi terhadap kemuliaan ilmu. Atas sebab itu, Imam Syafii sangat menghormati Imam Malik. Disebabkan rasa hormat yang tinggi terhadap gurunya itu, beliau akan memastikan helaian kitab yang diselaknya tidak didengari oleh Imam Malik kerana dikhuatiri akan mengganggu pengajarannya. Sementara itu, Imam al-Rabi‘ bin Sulaiman yang merupakan anak murid Imam Syafii pula tidak berani minum air tatkala gurunya itu memandangnya lantaran kerana perasaan hormatnya yang sangat tinggi terhadap Imam Syafii.

Mengingati kisah Imam al-Rabi‘ sangat mengasyikkan, malah wajar dijadikan teladan kerana beliau pada peringkat awal dianggap sangat sukar untuk memahami ilmu yang disampaikan oleh Imam Syafii. Namun begitu, disebabkan beliau menunjukkan kesungguhan dalam menimba pelajaran dan mengikuti nasihat Imam Syafii, iaitu sentiasa bermunajat kepada Allah SWT agar dikurniakan kefahaman, akhirnya beliau menjadi tokoh besar dalam kalangan umat Islam khususnya dalam bidang hadis. Antara anak muridnya yang juga merupakan tokoh besar dalam bidang agama temasuklah Imam Abu Dawud, Imam al-Nasa’i, Imam Ibn Majah, Imam Abu Zur’ah al-Razi, Imam Abu Hatim al-Razi dan Imam Abdul Rahman bin Abu Hatim al-Razi.

Penghormatan terhadap guru bukan sahaja perlu diamalkan oleh anak-anak, tetapi juga dalam kalangan murid dewasa ataupun murid yang mempunyai pekerjaan yang lebih tinggi atau mempunyai kehidupan yang lebih mewah daripada gurunya. Sebagai contoh, Abdullah bin Abbas pernah menyatakan bahawa dirinya hina ketika menjadi penuntut ilmu, dan mulia ketika menjadi pengajar. Maksudnya walaupun beliau telah bergelar guru kepada umat Islam pada zamannya yang terdiri daripada para sahabat dan tabiin, namun beliau tetap merendahkan diri apabila mengambil ilmu dalam kalangan sahabat, antaranya termasuklah Ubay bin Ka‘ab. Sekiranya pintu rumah Ubay bin Ka‘ab tertutup, beliau tidak akan mengetuk pintu rumah Ubay, sebaliknya menunggu sehingga Ubay membuka pintu. Ketika Ubay hendak menaiki haiwan tunggangan, Abdullah bin Abbas dengan segera memimpin haiwan tersebut dan berjalan bersama-samanya sehingga menyebabkan Ubay berasa tidak selesa kerana Abdullah bin Abbas berjalan kaki sedangkan beliau menunggang haiwan. Namun begitu, Abdullah bin Abbas menyatakan bahawa beginilah caranya dia diperintahkan untuk menghormati ulama.

Dalam buku Adab dan Doa Penuntut Ilmu yang dikarang oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, turut dinyatakan sabda Nabi Muhammad SAW tentang hak orang yang mengajar yang perlu dipikul oleh orang yang belajar, iaitu tidak memanggil guru dengan panggilan namanya sahaja, tidak meletakkan lututnya bertentangan dengan lutut guru, tidak duduk di tempat guru, tidak ketawa dan berjalan di hadapan guru, serta tidak meninggikan suara lebih daripada suara guru

Ilmu merupakan rahsia Allah yang perlu dipelihara dan dijaga dengan baik.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang berjudul Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran bahawa Amir al-Mukimin Saiyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata bahawa hak guru yang perlu disempurnakan oleh seorang murid ialah mengkhususkan ucapan salam kepada guru, duduk di hadapan guru, tidak menunjuk atau mengisyaratkan dengan tangan ketika berada di samping guru, dan tidak sesekali mengerdip mata di hadapannya. Selain itu, jangan sesekali membandingkan pendapat orang lain dengan pandangan guru atau mengutarakan pendapat orang lain yang bercanggah dengan pandangan guru seolah-olah seperti memperkecilkan kewibawaan guru, tidak memperkatakan keburukan orang lain di hadapan guru, tidak bermesyuarat dengan rakan-rakan belajar yang lain dalam majlis guru, tidak mendesak guru apabila dia berasa penat, tidak berpaling daripada guru yang merujuk kepada tidak ada istilah jemu untuk berdamping dan bersama-sama dengan guru.

Dalam kitab Jawahir al-Adab yang dikarang oleh Syeikh Ahmad Nawawi bin Abdul Hamid al-Qasimi al-Bulumanisi al-Juwani, adab seorang murid kepada gurunya adalah dengan memandang gurunya dengan penuh takzim yang merangkumi perkara yang berikut;

  1. Murid hendaklah menyapa guru terlebih dahulu setiap kali bertemu dengan memberi salam, bertanyakan khabar, menceritakan kisah yang menyenangkan hatinya dan memohon doa atau keredaan daripadanya.
  2. Apabila guru menyampaikan panduan atau pengajaran, murid hendaklah berada dalam keadaan penuh beradab dengan menundukkan kepala seperti sedang solat dan menghindari daripada bertanya perkara yang boleh membuatkannya berasa tidak selesa.
  3. Sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula, murid hendaklah menyiapkan tempat duduk guru sebelum guru datang.
  4. Ketika murid mengikuti pembelajaran, murid hendaklah membuat persediaan terlebih dahulu dengan menyucikan diri daripada hadas, mengambil wuduk, berdiri ketika guru datang, mencatat faedah yang disampaikan dan mendengar pengajaran dengan penuh perhatian.
  5. Murid hendaklah beristiqamah dengan menyibukkan diri dengan aktiviti yang boleh membanggakan gurunya.
  6. Murid hendaklah menggunakan suara yang halus ketika berbicara dengan guru, tidak mengangkat suara, mentaati segala perintah dan menjauhi segala yang tidak disukainya selagi dia berada dalam batasan syarak dan mengkhususkan doa untuk guru.
  7. Sekiranya murid bertemu guru di luar kelas, maka murid hendaklah menghormati guru dengan berdiri dan berhenti.
  8. Ketika guru sedang menyampaikan pengajaran, murid tidak boleh menoleh ke belakang atau tidak bertanya sesuatu perkara di luar bidang pengetahuan guru kerana menghormati kewibawaannya.
  9. Murid harus berprasangka baik terhadap gurunya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.