27 Julai 2022, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – “Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW didapati bahawa pemberian hutang atau pinjaman lebih utama dan baik berbanding dengan sedekah,” jelas Dr. Ismail Mohd. dalam Ceramah Perdana Bulanan Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM) bertajuk “Penjanaan Dana Pinjaman Tanpa Riba” pagi tadi.

Mengulas lanjut berkenaan tajuk ini, beliau menunjukkan satu rumus berasaskan teori matematik yang memerihalkan penyediaan pinjaman dan pengeluaran zakat atau infak bagi membentuk satu Dana Pinjaman Tanpa Riba (DAPINTAR).

Beliau mengakui bahawa berhutang merupakan aktiviti yang kurang sihat. Walaupun begitu, hakikatnya hukum asal berhutang adalah harus, malah terbahagi kepada empat hukum, iaitu wajib, haram, makruh dan sunat berdasarkan keadaan peminjam.

Pembentangan ini berdasarkan kajian beliau sendiri dan masih belum dimuktamadkan. Oleh itu, beliau amat berharap agar para peserta dapat memberikan maklum balas berkenaan makalah tersebut agar usaha ini dapat direalisasikan dan menjadi bahan rujukan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Ceramah pada kali ini mengundang Dr. Ismail Mohd sebagai ahli panel yang merupakan Ketua Penyunting Jurnal KALAM dan Ahli Jawatankuasa AISMM. Program ini dijalankan secara dalam talian menerusi pelantar Zoom dan turut bersiaran secara langsung melalui Facebook rasmi Institute for Matematical Research (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut hadir dalam ceramah perdana kali ini ialah Presiden Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM); Profesor Emeritus Dato′ Dr. Haji Kamel Ariffin Mohd. Atan, Timbalan Presiden AISMM; Profesor Norsarahaida Saidina Amin, ahli-ahli akademik dan orang awam.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!