26 Julai 2022, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pulau Perak di Yan, Kedah kini diisytiharkan sebagai titik rujukan paling barat Malaysia bagi hitungan kalendar Islam menggantikan Tanjung Chincin di Langkawi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Senator Haji Idris Haji Ahmad berkata, pengisytiharan lokasi baharu itu dibuat setelah penjanaan data dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Cadangan perubahan titik rujukan paling barat telah dipersetujui dalam Mesyuarat Panel Pakar Falak Malaysia pada 12 Mac 2020 dan akan berkuat kuasa 1 Muharam 1444H dalam menjana takwim Hijriah di Malaysia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Senator Haji Idris Haji Ahmad ketika menyampaikan ucapan.

Tambah beliau, keputusan itu kemudiannya diangkat kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang pada Februari 2021, dan telah bersetuju tentang perubahan titik rujukan tersebut bagi penyediaan takwim hijriah bermula 1444H atau tahun 2022.

“Setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pengisytiharan lokasi baharu titik rujukan paling barat ini kemudiannya dibuat,” kata beliau dalam ucapan pada majlis perasmian.

Sementara itu, Mufti Kedah, Dato’ Paduka Sheikh Fadzil Awang pula berharap pengisytiharan yang berlangsung ini bakal melakar sejarah baharu dalam dunia ilmu falak syarii yang tidak hanya membincangkan pergerakan jasad samawi semata-mata malah lebih jauh daripada itu, iaitu menggabungkan disiplin ilmu yang lain seperti ilmu akidah, syariat, tasawuf dan ilmu, ilmu ukur, matematik, fizik dan sejarah.

“Pengisytiharan ini juga diharap dapat membuka ruang dan mencipta peluang kepada para penyelidik dalam menjana kualiti penyelidikan ilmu falak yang seterusnya mampu menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi di daerah Yan,” katanya.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah telah perkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Majlis Pengisytiharan Pulau Perak Sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam dan Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan Tahun 2022 di Wisma Darul Aman. Baginda turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad serta mufti beberapa negeri termasuk Kedah, Sabah dan Melaka.

Majlis Pengisytiharan Pulau Perak Sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam dan Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan Tahun 2022 boleh ditonton secara dalam talian melalui Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!