Oleh Firdaus Mul
24 Julai 2022, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hiburan mampu menjadi penawar dan peneman pada saat mental dan fizikal mula kelelahan. Namun begitu, jika sudah melebihi batasan, hiburan sudah tidak lagi menjadi penawar dan peneman, malah beransur-ansur menjadi racun dan musuh yang mungkin tidak lagi kelihatan. Oleh sebab itu, dalam Islam manusia diberikan hak untuk berhibur, namun perlu menjaga batasannya sehingga tidak melanggar hukum hakam. Buktinya Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadat. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu pada pertengahan jalan.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2750).

Hal ini jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang syumul. Manusia diberikan kebebasan dan hak untuk berhibur, tetapi tidak pula sehingga melampaui batasan. Namun begitu, jika kita lihat realiti pada hari ini, sudah ada manusia yang mula mengingkari kebebasan yang diberikan ini.

Negara kita bukan sahaja terbina dengan Rukun Negara, malah turut dikenali di seantero dunia sebagai negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Namun begitu, perkara yang berlaku baru-baru ini sungguh memilukan, sehingga membawa kepada keadaan mencemarkan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini, dan secara tidak langsung menjadi tamparan hebat kepada seluruh masyarakat. Isu yang berlaku ini terang-terangan mempersendakan agama Islam, malah mengingkari prinsip kelima dalam Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Hari ini semakin ramai yang berani menunggang hiburan, semata-mata untuk menghalalkan sesuatu yang melanggar perintah Tuhan. Perkara ini bukanlah suatu hal yang boleh dipandang ringan, malah sudah tiba masanya diberikan perhatian khusus agar tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, bahawa agama Islam memberikan kebebasan untuk berhibur atau menghibur, namun tidak pula sehingga melanggar batasan yang telah menjadi ketetapan Tuhan. Revolusi kehidupan yang mula berganjak masuk ke fasa revolusi sosial pada dekad ini, akhirnya menjadikan sebahagian manusia mula melangkaui batas kehidupan dek kerana mengejar status kedudukan dalam hierarki kehidupan di media sosial. Hatta, demi meraih populariti, sebahagian individu sudah mula berani bertindak di luar kawalan dan batasan, atas sebab yang sama kononnya untuk meraih hiburan sehingga terlupa perbuatan tersebut sudah menjadi sesuatu yang memalukan dan mengundang sensitiviti masyarakat di negara ini.

Misalnya isu pencipta kandungan di Youtube yang menarik dan menanggalkan tudung wanita di tempat awam, dan yang terbaru isu wanita tempatan yang mendakwa dirinya menghafal 15 juzuk al-Quran, kemudian dengan tiba-tiba sengaja mendedahkan aurat di hadapan khalayak. Adakah ini suatu “hiburan”? Perkara ini bukanlah lagi termasuk dalam bentuk hiburan, malah suatu tindakan yang memalukan dan menggugat sensitiviti masyarakat di negara ini. Bukankah berbahasa dan bersusila budaya kita? Ke manakah perginya adab dan penghormatan sebagai seorang rakyat Malaysia? Kebebasan bersuara (berhibur) bukanlah satu kebebasan untuk memilih menjadi seseorang yang biadab dan melangkaui batasan, sehingga tidak lagi mentaati sensitiviti masyarakat di negara ini.

Allah SWT memberikan peringatan berkenaan dengan hal ini menerusi firman-Nya dalam Surah al-An‘am ayat 70 yang bermaksud, “Dan tinggalkanlah orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan gurauan, serta mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Ingatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu agar diri masing-masing tidak terjerumus (ke dalam neraka) disebabkan apa-apa yang telah diusahakan. Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat selain daripada Allah. Jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (pasti) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang yang dihancurkan oleh Allah disebabkan apa-apa yang diusahakan oleh mereka. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak dan azab yang pedih kerana mereka kufur (ketika hidupnya).”

Ayat ini jelas membuktikan kepada kita bahawa tindakan mempersendakan agama merupakan tindakan terkutuk dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Jangan disebabkan mengejar nikmat berhibur atau menghibur, kita sanggup menggadaikan akidah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Tawbah ayat 65 yang bermaksud, “Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu memperolok-olokkan dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Bahkan, Allah SWT juga memberikan peringatan yang sama dalam firman-Nya menerusi Surah al-A‘raf ayat 51 yang bermaksud, “(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahan dan kelazatannya).”

Keadaan ini akhirnya bersangkut-paut dengan hal yang paling merisaukan kita seperti kata pepatah yang berbunyi, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Isu dan kejadian mempersendakan agama ini secara tidak langsung akan mencemarkan imej agama Islam di seluruh dunia. Oleh sebab itulah, seorang Mukmin dituntut untuk senantiasa mempamerkan kebaikan, agar menjadi suri teladan kepada sekalian manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud, “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu merupakan satu daripada kesan dan menjadi gambaran daripada sifat takwa hati orang Mukmin.”

Islam tidak menghalang unatnya untuk berhibur dengan seni komedi, tetapi hendaklah tidak melampaui batasan yang dibenarkan syarak.

Sesetengah masyarakat mentafsirkan komedi secara harfiah sehingga mengagungkan kebebasan (hedonisme) yang dicanangkan dan dibanggakan oleh bangsa Barat, hatta mengundang perbalahan dan penghinaan. Dalam masa yang sama, penggiat seni (komedi) atau pencipta kandungan (content creator) terlupa untuk mentafsirkan seni (hiburan) mengikut kebijaksanaan akal dan panduan hidup yang diberikan oleh Tuhan. Allah SWT menciptakan manusia dengan begitu istimewa melalui kurniaan akal fikiran. Maka itu, setiap tindakan manusia itu harus terdorong dengan akal fikiran, yakni tahu untuk membezakan antara sesuatu yang hak dengan yang batil. Misalnya dalam seni, manusia dituntut untuk menggunakan kebijaksanaan akal fikiran dalam membentuk seni yang hak, bukan sesuatu yang batil, yakni yang tersembunyi dan terselindung dalam sebuah laungan “kebebasan”. Kebebasan berkomedi bukanlah kebebasan memilih menjadi orang mempersendakan dan memperkotak-katikkan agama dan kepercayaan, lebih-lebih lagi agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Oleh sebab itulah, setiap Mukmin dituntut menggunakan akal fikiran yang dikurniakan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Mu‘minun ayat 79-80 yang bermaksud, “Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu menggunakan akal kamu?” Jelaslah akal satu kurniaan istimewa yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia, agar setiap tindakan itu terpimpin dan tidak memudaratkan diri kita dan orang lain. Lantaran itu, nikmat Tuhan yang manakah lagi ingin kita dustakan?

Untuk memulihkan kegawatan dan jaminan agar tidak berulang lagi perkara seperti ini, penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu dipinda, diperkasakan dan diperketat. Satu klausa dalam peruntukan undang-undang yang berbentuk “mengikat dan mendidik” perlu diwujudkan agar selepas ini tidak ada lagi individu ataupun sekumpulan individu yang berani untuk mempersendakan mana-mana agama dan kepercayaan, mencemar susila dan mengingkari prinsip kelima dalam Rukun Negara. Hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah perlu diuar-uarkan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat. Pelbagai kempen kesedaran juga perlu giat dijalankan, agar masyarakat menjadi cakna dalam membentuk keprihatinan bagi menjamin kelangsungan keharmonian di negara ini. Jangan sudah terhantuk nanti baru tengadah, sediakan payung sebelum hujan, sediakan sampan sebelum hanyut, kerana masih ada ruang dan kesempatan. Jangan menganggap agama sebagai bahan jenaka, kerana jika agama dijadikan sebagai gurauan, maka hal itu sudah tidak menggembirakan, malah menyakitkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.