Oleh Khader Ahmad
13 Julai 2022, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas dua tahun berada dalam tempoh kawalan pergerakan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, tahun 2022 menjadikan tahun pascapandemik yang menyaksikan kelonggaran pada hampir semua SOP dan masyarakat dilihat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Hal yang sama turut dirasai apabila dua tahun sebelum ini umat Islam di Malaysia terpaksa menyambut hari raya di kediaman masing-masing. Namun begitu, pada tahun ini umat Islam di negara ini berpeluang menyambutnya seperti tahun sebelum pandemik melanda.

Pada tahun ini, sambutan Adiladha atau Hari Raya Korban disambut meriah dengan aktiviti korban dan melapah haiwan korban secara bergotong-royong. Suasana inilah yang amat dirindukan oleh umat Islam tatkala takbir Aidiladha berkumandang. Bagi yang belum direzekikan untuk menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini, Aidiladha disambut dengan kesyukuran melalui ibadat korban bagi yang berkemampuan.

Kisah Nabi Ibrahim a.s yang sedia menyembelih anaknya, manakala Nabi Ismail a.s. yang rela untuk disembelih merupakan pengorbanan yang sangat besar sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT.

Terdapat suatu perkara yang menarik untuk dihayati tentang Hari Raya Korban. Pada kebiasaannya, Hari Raya Korban akan dikaitkan dengan pengorbanan terbesar Nabi Ibarahim a.s. yang telah bermimpi sebagai wahyu seorang nabi, untuk menyembelih anaknya sendiri yang dikasihi, iaitu Nabi Ismail a.s. seperti yang dicatatkan dalam al-Quran pada Surah al-Saffat ayat  101 hingga 102. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia (Ibrahim) akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insha-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Gambaran dalam ayat ini sangat jelas bahawa Nabi Ibrahim a.s. dengan penuh kesungguhan mahu melaksanakan tuntutan wahyu tersebut. Pada masa yang sama, baginda memiliki seorang anak yang sangat taat dan menerima apa-apa sahaja tuntutan yang sewajarnya mengikut perintah wahyu berkenaan. Boleh dikatakan kedua-dua sikap ayah dan anak ini melambangkan kepada suatu pengorbanan yang sangat besar kerana pada awalnya Nabi Ibrahim a.s. tidak memiliki anak. Apabila dikurniakan anak dan dipelihara hingga besar, anak tersebut perlu dikorbankan pula. Sudah pasti, jika kita berada pada situasi tersebut akan berasa goyah dan gundah gulana bagi melaksanakan tuntutan terhadap sesuatu yang baru dimiliki dan sangat disayangi.

Pada masa yang sama, tahukah kita bahawa ibadat korban adalah ibadat tertua di atas muka bumi di samping solat dan juga puasa? Dalam al-Quran, Allah SWT mengisahkan tentang korban yang dilakukan oleh Qabil dan Habil, iaitu anak kepada Nabi Adam a.s. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27).

Apa yang diceritakan ini, ada disebutkan oleh Imam al-Tabari dalam Tafsir al-Tabari dan juga al-Baghawi dalam Tafsir al-Baghawi, di mana ayat ini ada kaitan dengan perintah Allah SWT agar Nabi Adam a.s. memerintahkan kedua-dua anaknya Qabil dan Habil berkorban setelah Allah SWT memerintahkan kepada baginda untuk mengahwinkan anak-anaknya dengan cara Qabil dikahwinkan dengan kembar bagi Habil dan Habil dikahwinkan dengan kembar Qabil. Namun, Qabil membantah kerana pada perkiraannya, kembar Habil tersebut tidak cantik seperti kembarnya sendiri. Maka itu, korban yang diterima Allah SWT akan dapat mengahwini kembar Qabil tersebut. (Tafsir al-Tabari, 10: 201-203 & Tafsir al-Baghawi, 2:38).

Peristiwa korban yang dijalankan oleh Habil dan Qabil memperlihatkan tuntutan pelaksanaan korban merupakan ibadat tertua yang disyariatkan.

Dalam peristiwa korban Qabil dan Habil ini, jelas menunjukkan bahawa korban adalah salah satu ibadat tertua yang telah disyariatkan sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Cuma yang membezakan adalah cara pelaksanaan korban itu dan perkara yang dijadikan sebagai korban. Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa amalan ibadat korban juga wujud pada zaman Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. Namun begitu, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang mahu menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. lalu ditukar dengan seekor kibas menjadi kisah pengajaran yang popular dalam masyarakat Islam. Bahkan sesuai dengan syariat Nabi Muhammad SAW agar mengorbankan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, atau kerbau.

Berdasarkan hadis, “Sesiapa yang diberikan kelapangan daripada hartanya, namun tidak mahu melaksanakan (ibadat) korban, maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad no.8273 dan Ibn Majah no.3123). Al-Hafiz Abu Tahir mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan. Ada ulama seperti Sheikh Syu’aib al-Arna’ut mengatakan bahawa sanad hadis ini lemah kerana terdapat seorang perawi bernama Abdullah bin ‘Ayyas yang dinilai lemah.

Sesungguhnya pelaksanaan ibadat korban adalah sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud, “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).” Dalam ayat ini, Imam al-Baghawi yang memetik pandangan Muhammad bin Ka`ab yang berkata bahawa, sebelum Nabi Muhammad SAW diutus, masyarakat jahiliyah ketika itu bersembahyang bukan kerana Allah SWT dan menyembelih binatang juga bukan kerana Allah SWT. Selepas Nabi Muhammad SAW diutus sebagai Rasul, Baginda memerintahkan pelaksanaan solat dan berkorban (menyembelih) hanya kerana Allah SWT. Kata Ikrimah, ‘Ata’ dan Qatadah, yang dimaksudkan dengan solat tersebut adalah solat sunat Hari Raya Korban dan diminta untuk berkorban (iaitu menyembelih binatang ternakan). (Tafsir al-Baghawi, 5:316). Namun, jika dirujuk pada pandangan majoriti, ibadat korban adalah sunat muakkad yang sangat dituntut, bukan suatu yang diwajibkan.

Tahun ini, umat Islam di negara ini diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran. Selepas melalui fasa pandemik COVID-19, kita diuji pula dengan bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang mengakibatkan mangsa kehilangan harta benda. Dengan pertolongan daripada Allah SWT, kita berkesempatan untuk meneruskan kehidupan, bahkan kita juga masih mempunyai harta untuk memulakan semula kehidupan selepas musibah. Bahkan, semasa pandemik COVID-19 sebelum ini, kita telah merasakan begitu banyak kepayahan dan kesukaran sehingga ada dalam kalangan kita kehilangan ahli keluarga dan sumber pendapatan, tetapi Allah SWT masih memberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan seperti yang ada pada ketika ini. Dalam situasi ini, amat wajar untuk kita mengambil ibrah dan pengajaran dalam pelaksanaan ibadah korban sebagai melahirkan tanda syukur kepada Allah SWT yang telah melepaskan segala kepayahan dan kesukaran tersebut. Bahkan, atas segala nikmat kesenangan, keselamatan dan kemudahan dalam menjalani kehidupan dalam pasca pandemik ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.