10 Julai 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan serulah manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang kepada (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan menunggang unta yang kurus yang datangnya dari segenap penjuru yang jauh.  (Surah al-Hajj 22:27)

Bulan Zulhijah mengandungi beberapa keistimewaan, iaitu bulan yang ditetapkan untuk umat Islam mengerjakan ibadat haji; rukun Islam kelima, yang disyariatkan dilakukan sekali seumur hidup dengan syarat berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan perjalanan.

Ummah dianjurkan meningkatkan amal soleh, antaranya digalakkan berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah, terutama pada 9 Zulhijah, hari berlangsungnya wuquf di Padang Arafah, hari yang dijanjikan mustajabnya doa. Hari Raya Aidiladha, disambut pada 10 Zulhijah. Ummah diseru memperbanyakkan bertakbir pada Hari Raya Aidiladha, diteruskan pada tiga Hari Tasyrik yang berakhir pada 13 Zulhijah. Sambutan Aidiladha berkembar dengan ibadat korban, iaitu sembelihan haiwan yang boleh dilakukan mulai 10 Zulhijah sehingga 13 Zulhijah. Ibadat korban disyariatkan oleh Allah SWT pada tahun kedua Hijrah bersamaan dengan perintah solat Aidiladha dan membayar zakat. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Maka kerjakanlah solat (Aidiladha) kerana Tuhan-Mu, dan sembelihlah korban (sebagai ibadat dan dekatkan diri kepada Allah. (Surah al-Kauthar 108:2).

Allah SWT memerintahkan umat-Nya menyembelih korban sebagai ibadat dan tanda mendekatkan diri kepada-Nya.

Ibadat korban tergolong dalam sunat muakkad, iaitu amalan sunat yang dituntut untuk dilakukan dalam kalangan orang-orang yang memiliki kemampuan kewangan, bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, juga sebagai kesyukuran terhadap apa-apa yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya termasuklah meneruskan usia kita untuk sekali lagi dapat menyambut Aidiladha. Ibadat korban juga membantu menghilangkan sifat tamak dan bakhil, sekali gus meningkatkan perasaan kebersamaan dan kasih sayang daripada golongan kaya kepada golongan yang memerlukan. Menunaikan ibadat korban juga boleh berperanan sebagai penebus dosa kecuali dosa besar berpandukan sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: Tidak ada satu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di satu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya. (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Ibadat haji mengandungi pelbagai hikmah, antaranya menghapuskan semua dosa bagi orang yang berjaya melaksanakannya dengan mematuhi rukun dan syarat yang ditetapkan syariat. Sabda Nabi SAW,

Maksudnya: Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa). (Hadis riwayat Bukhari).

Ibadat haji menghimpunkan umat Islam dari seluruh pelosok dunia, berkumpul untuk melakukan pelbagai rukun pada waktu dan tempat yang ditetapkan dengan tujuan yang sama. Ibadat haji menyerlahkan persaudaraan sejagat dalam kalangan ummah yang berlatar belakangkan pelbagai bangsa, budaya, dan bahasa; setiap jemaah tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat dan kekayaan, bertaraf seorang hamba yang sama kedudukannya, ketika menjadi tetamu di rumah Allah SWT. Ketika menyampaikan khutbah Hajjatul-Wada’ atau Haji Perpisahan, Baginda SAW bersabda yang bermaksud,

“Wahai manusia! Penciptamu adalah satu, dan nenek moyangmu juga satu. Kamu semua daripada Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah. Yang termulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah orang-orang yang paling bertakwa. Dan tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab, bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, atau orang berkulit hitam atas orang berkulit merah, jika bukan dengan ketakwaan”.

Persaudaraan berlandaskan Islam bukan sekadar mengeratkan hubungan silaturahim, namun merangkumi kesedaran untuk menjamin keadilan dan keharmonian serta memelihara hak orang lain. Justeru, sistem sosial Islam dibina dengan melarang penindasan, seperti pengharaman riba, mengharamkan rasuah, larangan menipu,  serta perintah memelihara hak orang lain. Pesan Baginda SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya darah dan harta benda kalian adalah mulia. Kehormatan diri kalian terpelihara (haram bagi orang lain) sampai kalian menemui Tuhan, dan suci sebagaimana sucinya hari ini (hari Arafah) sebagaimana sucinya bulan ini (Zulhijah), dan seperti sucinya negeri ini (bumi Makkah) dan sekitarnya. Barang siapa memegang amanah di antara kalian, maka hendaknya mengembalikan amanah itu kepada pemiliknya yang berhak.”

Pesanan Baginda SAW yang disabdakan di Padang Arafah pada tahun ke-10 Hijrah, walaupun telah 1433 tahun berlalu, wajib dihayati dan dijadikan panduan, agar ummah yang semakin terpesong, dan ummah yang terus berselisih, kembali merapatkan saf, menyatukan hati, lalu melakukan tindakan yang bermanfaat untuk memajukan ummah; serta mengembalikan penghormatan kepada Islam dengan melakukan yang makruf, menegakkan kebenaran serta melaksanakan keadilan; dan memastikan ummah tidak terpesong di bawah pengaruh orang-orang munafik yang bijak bersandiwara, bersifat bermuka-muka, pepat di luar – rencong di dalam, menanam tebu di pinggir bibir, tetapi sebenarnya meracuni fikiran sehingga menggelincirkan akidah ummah.

Umat Islam diseru agar:

Pertama: Menyambut Aidiladha dengan sifat kesyukuran, memperbanyakkan lafaz takbir membesarkan Allah SWT sepanjang hari ini, diikuti pada hari-hari Tasyrik.

Kedua: Menziarahi saudara-saudara tua, terutama dalam kalangan mereka yang telah uzur, melayani anak-anak yatim, menggembirakan hati orang-orang miskin dan daif dengan menghulurkan sedekah.

Ketiga: Melalui ibadat haji, makhluk ciptaan Ilahi dari serata penjuru alam yang  pelbagai rupa dan sifatnya dipertemukan; ibadat haji hendaklah dijadikan iktibar untuk ummah mencari titik-titik pertemuan, meskipun berbeza pendapat atau berlainan mazhab, kaum, budaya dan fahaman politik.

Keempat: Bina ukhuwah sesama insan meskipun berlainan agama dan fahaman selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”   (Surah al-Mumtahanah 60:8).

Sambutlah Aidiladha dengan merapatkan silaturahim sesama jiran, sanak-saudara dan kaum keluarga; eratkan persaudaraan sesama ummah, bina ukhuwah sesama insan, dalam semangat saling menghormati.

Ya Allah! Ya Rabb al-Alamin! Mudahkan para jemaah yang menjadi tetamu-Mu di Kaabah menyempurnakan ibadah haji, kurniai mereka keafiatan, jauhi mereka daripada sebarang petaka, selamatkan perjalanan mereka untuk kembali kepada keluarga.

Ya Hafiz,  kami pohonkan perlindungan-Mu melindungi kami dan keluarga kami daripada sebarang bencana dan kemalangan ketika menyambut Aidiladha, kurniai kami keafiatan dan keselamatan.

Ya Razzaq! Berkati hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah.  Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikan harta dan jiwa mereka.

Ya Dzal Jalaali wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat, seperti menyalahgunakan harta bukan milik kami, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, memberi atau menerima rasuah, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Hari Raya Aidiladha, 10 Julai 2022, “Aidiladha: Eratkan Persaudaraan Sesama Ummah, Bina Ukhuwah Sesama Insan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.