Oleh Ashaari Selamat
6 Julai 2022, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin, perkataan sekular berasal daripada perkataan Latin, iaitu saeculum yang bermaksud masa dan tempat atau kedudukan di mana masa itu berlaku. Oleh itu, sekular bermaksud masa ini, iaitu kenyataan masa sekarang di dunia ini. Menurut Ugi Suharto (2002), perkataan yang paling tepat jika sekularisme ingin diterjemahkan dalam bahasa Arab, terjemahan harfiah yang paling tepat ialah huna al-aniyyah berasaskan dua patah perkataan; huna yang bermaksud di sini dan al-an yang bermaksud kini.

Daripada definisi al-Attas tersebut, dapat difahami bahawa fahaman sekular sudah mempunyai bibit kefahaman, iaitu perubahan dan keduniaan atau perubahan yang sentiasa berlaku kepada dunia dan dalam dunia. Hal ini membayangkan bahawa perubahan yang dimaksudkan itu merujuk perubahan dalam pemikiran manusia mengikut perubahan yang berlaku di alam sekeliling. Perubahan nilai serta kepercayaan dan ilmu akan berterusan berlaku, dan hal ini disebut sebagai evolusi.

Adapun perkataan sekularisme menurut al-Attas membawa maksud keadaan sekular, atau gerak daya yang berlaku yang mengisbatkan hal yang sekular. Menurut al-Attas, terdapat tiga ciri utama pensekularan yang saling berkaitan rapat, iaitu:

  • Pengosongan alam tabii dan akal insani daripada semua makna rohani.
  • Penafian tentang pengesahan kepimpinan manusia yang dikuatkuasakan oleh kepercayaan yang berdasarkan perkara rohani.
  • Penafian tentang kesucian serta kekebalan nilai hidup.

Hal ini menunjukkan bahawa walaupun al-Attas memberikan penekanan sekularisme sebagai sebuah philosiphical program yang pada peringkat asalnya berjalan dalam fikiran dan jiwa individu, kesannya sangat jelas dalam masyarakat. Sekularisme dan sekularisasi akan melahirkan masyarakat bebas nilai, termasuk nilai sekularisme.

Menurut al-Attas, penghapusan segala fahaman dalam bahasa manusia yang merujuk alam ghaib dan kepada agama menyebabkan bahasa itu dan seterusnya akal manusia yang menggunakannya akan terbebas daripada kefahaman yang dianggap membelenggu manusia kepada kepercayaan tahayul.

 

Menangani Sekularisme

Al-Attas cuba menyedarkan umat Islam tentang fahaman akal dan peranannya, serta gabung jalin antara keupayaan akal dengan penghayatan naqal (wahyu). Al-Attas menganggap akal bukanlah suatu fakulti yang boleh diremeh-temehkan dan bukan juga satu fakulti yang boleh diagung-agungkan sehingga melampaui had upayanya. Seyogianya, akal dilihat sebagai suatu anugerah Tuhan yang Maha Bijaksana yang memberikan keupayaan yang hebat, namun terhad supaya manusia sedar akan kelemahan dan kekerdilannya di hadapan Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Dalam peradaban Barat, akal dilihat sebagai sebuah entiti yang bersifat rasional yang akhirnya menyuburkan sekularisasi. Hal ini berbeza dengan peradaban Islam yang meletakkan akal sebagai entiti integrasi bersifat ratio dalam hal jasmaniah dan intellectus dalam hal rohaniah.

 

Kesan sekularisme terhadap umat Islam

Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (2019), al-Attas menyatakan bahawa sekularisme perlu dilawan dan ditangani dengan cara dan kaedah yang tepat, iaitu ditangani melalui penyebaran ilmu yang komprehensif. Menurut beliau lagi, masalah ini bukan bersifat zahir seperti politik, bahkan kesilapan dalam memberikan makna ilmu. Hakikatnya, ilmu ialah makna dalam diri dan semua ilmu perlu membawa kita mengenal Tuhan. Setiap pandangan alam (worldview), ada tafsiran berlainan tentang ilmu.

Masalah besar umat Islam juga disebabkan masalah dalaman yang berbentuk kekeliruan makna ilmu dan hierarki ilmu pengetahuan yang sebenar. Selain itu, masalah dalaman juga disebabkan keruntuhan adab dalam pemikiran dan alam perbuatan. Masalah asas umat Islam bersumber daripada masalah dalaman dan luaran juga menjadi semakin meruncing.

Kesan sekularisme menjadikan berlakunya gejala keruntuhan adab, iaitu kehilangan disiplin akliah, rohani dan jasadi yang menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat wajar sehingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam semua lapangan kehidupan. Faktor luaran pula ialah akibat pertentangan antara kebudayaan dengan tamadun Barat terhadap Islam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.