5 Julai 2022, 03:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenaan berangkat ke majlis Forum Bulugh Al-Maram yang diadakan di Masjid Sayidina Abu Bakar al-Siddiq, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis pada 4 Julai 2022. Program ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, dan Tuan Haji Mohd Salahuddin Mohamed, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa berangkat ke majlis Forum Bulugh Al-Maram.
Raja Muda Perlis turut meluangkan masa melihat buku terbitan DBP.

Dalam program ini, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP telah diamanahkan untuk mengendalikan forum sebagai pemudah cara. Terdapat dua ahli panel yang diundang untuk mengupas tajuk “Murah Rezeki Melalui Silaturahim” yang dipilih sebagai tema dalam forum ini untuk santapan rohani peserta yang hadir terutama penduduk Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Panel pertama ialah Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor selaku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, manakala panel kedua ialah Ustaz Ahmad al-Qarni Edrus selaku Pegawai Mubaligh MAIPs, Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Antara peserta program yang hadir.

Sebagai pemula bicara, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menekankan kepentingan aspek silaturahim dalam urusan seharian yang menjadi tuntutan syariat. Silaturahim bukan sahaja penting dalam keluarga asas, tetapi juga dalam keluarga besar. Namun begitu, kini ikatan dan keakraban telah mula rapuh dan longgar bukan sahaja dalam keluarga asas, tetapi meliputi keluarga besar. Hal ini menyebabkan taklif anggota keluarga kepada anggota keluarga yang lain seakan-akan tidak tertaklif lagi untuk menentukan kehidupan anak-anak dan generasi muda menurut jalur syariat yang telah ditentukan. Oleh sebab itu, pemilihan tajuk ini diharap dapat membantu memantapkan tanggungjawab yang perlu dipikul dalam keluarga asas dan keluarga besar.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika mengendalikan forum.

Ketika menjawab soalan daripada pemudah cara, Ustaz Ahmad al-Qarni menerangkan bahawa terdapat tiga hubungan sosial dalam kehidupan manusia yang meliputi hubungan silaturahim, hubungan ukhuwah dan hubungan ihsan. Hubungan silaturahim merujuk hubungan dalam keluarga terdekat, manakala hubungan ukhuwah merupakan hubungan sesama manusia tanpa mengira agama. Hubungan ihsan pula ialah hubungan manusia dengan bukan manusia.

Menurut Ustaz Ahmad al-Qarni lagi, terdapat manusia yang ingin melakukan kebaikan, tetapi tertipu apabila memfokuskan kebaikan kepada hubungan ukhuwah dan hubungan ihsan semata-mata sehingga mengabaikan kebaikan yang sepatutnya diberikan kepada hubungan silaturahim. Sebagai contoh, ahli panel ini memberikan situasi manusia yang sanggup berbelanja besar untuk membeli makanan haiwan, tetapi melupakan tanggungjawabnya kepada ahli keluarga sendiri.

Ustaz Ahmad al-Qarni menyeru peserta supaya tidak tertipu ketika melakukan kebaikan.

Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor pula cuba menyedarkan peserta tentang tujuan seseorang manusia itu bekerja atau mencari rezeki yang halal seperti yang digariskan dalam agama Islam. Terdapat tiga tujuan utama yang dinyatakan oleh ahli panel ini. Tujuan tersebut adalah untuk menjaga diri daripada meminta-minta, memenuhi keperluan ahli keluarga dan membantu jiran tetangga. Oleh sebab itu, sesiapa yang mencari rezeki semata-mata untuk menjaga diri daripada meminta semata-mata, maka orang tersebut tidak termasuk dalam kategori orang yang mencari rezeki yang halal. Pada masa yang sama, ahli panel ini turut meluahkan rasa dukacitanya apabila mengetahui terdapat seseorang yang ingin berpindah rumah apabila tidak sanggup disakiti oleh jirannya.

Selain itu, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor turut berkongsi ucapan dasar Nabi Muhammad SAW setibanya di Madinah yang meliputi empat aspek penting. Aspek ini ialah tuntutan menyebarkan salam, menjamu orang makan, menghubungkan silaturahim dan solat pada waktu malam ketika semua orang sedang tidur. Menurut ahli panel ini, tiga tuntutan pertama merupakan hubungan manusia sesama manusia, manakala tuntutan keempat merupakan manusia dengan Allah SWT. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan manusia sesama manusia merupakan suatu hubungan yang sangat perlu untuk dititikberatkan.

Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor semasa berbicara menitiberatkan aspek tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh orang Islam.

Selepas forum ini berakhir, program diteruskan dengan sesi penyerahan sumbangan buku DBP kepada Masjid Sayidina Abu Bakar al-Siddiq, Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Masjid Lama Kampung Seberang Ramai. Dalam sesi penyerahan buku ini, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menyerahkan buku kepada wakil ketiga-tiga masjid tersebut.

Sesi penyerahan sumbangan buku oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Selesai sahaja sesi penyerahan sumbangan ini, program diteruskan dengan solat isyak secara berjemaah.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!