1 Julai 2022, 22:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Bersempena dengan kehadiran bulan Zulhijah 1443H, dan mengambil kira peralihan negara ke fasa endemik, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah memperkenankan beberapa perincian prosedur operasi standad (SOP) ibadat korban dan solat Aidiladha di negeri tersebut. Titah tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu kenyataan media di Istana Arau, hari ini.

“Semua masjid, surau (berdaftar), jabatan atau agensi kerajaan dan NGO dibenarkan untuk mengelolakan dan menganjurkan ibadat korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Penyembelihan haiwan korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta, masjid atau surau yang berdaftar, dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Perlis,” titah baginda dalam kenyataan tersebut.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut bertitah, semua penganjur yang mengurus ibadat korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan daging korban. Kriteria tempat yang ditetapkan ialah bersih dan tidak tercemar, serta mempunyai pengudaraan yang baik, manakala pelaksanaan jamuan dibenarkan seperti biasa.

Selain itu, solat Aidiladha di seluruh negeri Perlis digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang dicadangkan pada jam 8.00 pagi seperti pelaksanaan pada tahun sebelumnya. Pemilihan tanah lapang berkenaan tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan sunah Baginda Rasulullah SAW, selain dapat mengurangkan risiko jangkitan jika dibandingkan dengan solat yang ditunaikan di tempat yang tertutup.

“Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung pada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda lagi.

Selain itu, para jemaah turut diminta memakai pelitup separuh muka (digalakkan jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka, serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield]). Jemaah juga dibenarkan bersalaman, namun tidak menyentuh muka selepas bersalaman, dan sentiasa mencuci atau membersihkan tangan.

Menurut baginda lagi, pelaksanaan solat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak-pihak berkaitan.

Baginda tuanku mengharapkan agar rakyat dapat menghayati semangat korban dan menerapkannya dalam kehidupan seharian.

“Saya mengingatkan seluruh rakyat yang dikasihi, agar membanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai lambang kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua,” titah baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.