1 Julai 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berhutang kini menjadi suatu keperluan dalam sebahagian daripada urusan hidup manusia seperti untuk membiayai pembelian rumah, tanah, kenderaan dan yuran pengajian; menjalankan perniagaan dan pelbagai keperluan lain. Islam tidak melarang umatnya berhutang untuk tujuan yang memberikan manfaat dengan syarat hutang dijalankan mengikut syariat, bahkan dianjurkan perbuatan memberikan hutang untuk membantu orang yang berada dalam kesulitan.

Hutang juga merupakan satu daripada bentuk muamalat Islam. Dari segi bahasa, hutang bermaksud tanggungan masa hadapan yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang. Islam telah menggariskan peraturan yang sempurna dalam mengurus hutang sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu melakukan muamalat secara hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis menolak untuk menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkan kepadanya, maka hendaklah dia menuliskan. Dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan dengan jelas dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikit pun daripada hutangnya.” (Surah al-Baqarah 2:282)

Penggunaan kad kredit yang tidak dikawal boleh menyebabkan penggunanya menjadi muflis.

Laporan kaji selidik Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya pada tahun 2019, sebelum negara dilanda pandemik COVID-19 mencatatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia dibebani hutang disebabkan perbelanjaan yang tidak terkawal dan melebihi pendapatan. Yang lebih membimbangkan, keadaan ini telah menyebabkan peningkatan orang yang diisytiharkan muflis; lebih mendukacitakan sebahagian besar yang diisytiharkan muflis ialah golongan muda berumur antara 25 tahun hingga 44 tahun. Dilaporkan mereka yang muflis ini pada umumnya terdiri daripada orang yang gagal mengawal perbelanjaan dan lemah mengurus hutang. Pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit dibuat kerana mahu memperagakan gaya hidup mewah walaupun memiliki pendapatan yang kecil dan terbatas. Dilaporkan juga bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang memiliki lebih daripada satu kad kredit dan berbelanja dengan wang hutang.

Hutang merupakan suatu janji yang telah dimeterai. Oleh itu, menjadi kewajipan orang yang berhutang untuk membayar atau memulangkan semula harta tersebut, dan haram hukumnya sekiranya orang yang berhutang ingkar untuk melunaskannya. Menjadi tanggungjawab orang yang ingin berhutang untuk memastikan bahawa dia berhutang bagi memenuhi sesuatu keperluan, dan bukannya untuk memenuhi selera dan hawa nafsu. Orang yang berhutang juga perlu menetapkan niat dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutangnya mengikut perjanjian.

Sesungguhnya setiap niat dan usaha yang baik akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيْدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيْدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2387)

Terdapat dalam kalangan orang yang berhutang, ingkar, melengah atau meremeh-temehkan kewajipan melunaskan hutang. Sikap ini menggambarkan peribadi dan akhlak ciri-ciri orang munafik seperti tidak amanah, mengkhianati janji, menipu dan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Orang yang lalai melunaskan hutang diberikan peringatan berikut oleh Nabi Muhammad SAW:

Pertama: Roh orang yang berhutang akan tergantung sehingga hutang itu diselesaikan.

Kedua: Orang yang tidak berniat melunasi hutang akan bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri.

Ketiga: Orang yang berhutang akan rugi sekiranya dia berhutang dengan niat untuk merugikan orang lain.

Keempat: Baginda tidak melakukan solat terhadap orang yang didapati mati dalam keadaan masih mempunyai hutang.

Kelima: Orang yang sengaja menangguhkan bayaran hutang ketika dia mampu, dianggap telah melakukan kezaliman.

Orang yang berhutang perlu menguatkan azam dan usaha untuk memastikan hutang dapat dibayar mengikut waktu yang ditetapkan. Orang yang berhutang wajib memaklumkan kepada ahli waris agar hutangnya dibayar sekiranya dia meninggal dunia; kerana sesungguhnya dosa hutang tidak akan diampunkan Allah selagi tidak dijelaskan sekalipun dia mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:

يُغفَرُلِلشَّهِيْدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis riwayat Muslim)

Berhutang dibenarkan apabila seseorang itu benar-benar memerlukan wang untuk sesuatu keperluan.

Muslimin diseru agar mengambil berat akan hal-hal berkaitan dengan hutang. Para peminjam tabung pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Yayasan Perak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dinasihatkan supaya berikhtiar sedaya mungkin untuk membayar semula pinjaman pelajaran mereka, agar rezeki mereka diberkati.

Insaflah bahawa calon yang telah mendapat tempat untuk menyambung pengajian pada hari ini sangat memerlukan pinjaman daripada tabung-tabung pinjaman pendidikan. Pelajar-pelajar yang kemudian daripada itu akan menjadi mangsa jika dana tabung-tabung pendidikan pelajaran telah kering, kerana peminjam terdahulu mengambil sikap tidak mahu membayar pinjaman. Sentiasa beringat dan berwaspada ketika berbelanja, dan jauhi diri daripada terperangkap dengan beban hutang yang melampau. Beban hutang yang melampau akan mendorong manusia kepada kerosakan akhlak, menjerumuskan manusia kepada bersifat menipu, mencuri, menyeleweng, pecah amanah dan mengambil rasuah. Ambillah langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada terjebak dan terpaksa menggalas beban hutang yang berat, berpandukan peringatan berikut:

Pertama: Berhutang hanya untuk membiayai perkara yang sangat diperlukan dan memberikan manfaat seperti hartanah, rumah, kenderaan, pengajian dan modal perniagaan.

Kedua: Jumlah hutang hendaklah bersandarkan kemampuan untuk membayar semula.

Ketiga: Jangan berhutang untuk memenuhi kehendak hawa nafsu, seperti membeli benda-benda baharu dalam keadaan barang sedia ada masih elok.

Keempat: Membuat pinjaman secara patuh syariah dan menjauhi pinjaman yang mengandungi unsur riba dan gharar.

Kelima: Elakkan pembelian dengan menggunakan kad kredit, sebaliknya amalkan pembelian secara tunai.

Keenam: Mengutamakan pembayaran hutang dalam mengurus perbelanjaan bulanan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Banyakkan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Berkatilah mereka yang membantu urusan hamba-Mu dengan memberikan pinjaman hutang dan mudahkan orang yang berhutang untuk melunaskannya. Berkatilah rezeki kami agar dengannya dapat kami berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 Julai 2022, “Hutang: Kewajipan Membayar dan Tanggungjawab Mengurus dengan Baik”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.