1 Julai 2022, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysi (STAM) merupakan peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Syarif, Republik Arab Mesir setelah termeterainya Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan pada tahun 1999. STAM mula dilaksanakan pada tahun 2000. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran STAM adalah berpandukan kepada kurikulum serta buku teks yang diguna pakai di Maahad Al-Bu’uth Al-Islamiyyah Al-Azhar Al-Sharif dengan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Sijil STAM mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Sijil ini melayakkan calon untuk memohon program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Sebanyak 251 daripada 3866 calon atau 6.5 peratus memperoleh 10 Mumtaz (Cemerlang) dalam peperiksaan STAM 2021. Daripada jumlah itu, 758 calon atau 19.6 peratus  mendapat gred Jayyid Jiddan (Sangat Baik). Calon yang memperoleh gred Jiddan (Baik) dan Maqbul (Lulus) pula masing-masing sebanyak 1164 (30.1 peratus) dan 186 calon (4.8 peratus), sementara 1508 calon (39.0 peratus) mendapat gred Rasib (Tidak Lulus).

Dengan pencapaian itu, indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang direkodkan bagi STAM 2021 ialah 3.15 berbanding 3.04 pada tahun 2020. Bagi melayakkan calon peperiksaan mendapat penganugerahan sijil STAM, calon perlu mendapat sekurang-kurangnya gred Maqbul dalam 10 mata pelajaran untuk memperoleh sijil. Calon yang tidak memenuhi syarat penganugerahan sijil berpeluang untuk memperbaiki keputusan mereka bagi memenuhi syarat pensijilan atau memperbaiki gred mata pelajaran dalam tempoh tiga tahun.

(Sumber gambar: Laman web rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.