23 Jun 2022, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Murid yang bersekolah dalam aliran al-Quran dan diniyyah perlu mahir dan cekap dalam bidang tersebut, namun pada masa yang sama penguasaan ilmu teknologi tinggi tidak boleh dipinggirkan.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap seramai 108 orang murid sekolah di bawah Pertubuhan Kebajian Al-Nidaa’ Malaysia yang baginda naungi di Galeri DiRaja Arau.

 

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

“Menuntut ilmu juga perlulah diseimbangkan antara ilmu dunia dengan akhirat kerana dunialah tempat beramal dan akhiratlah tempat kita mengecap hasilnya,” titah baginda.

Tambah baginda Tuanku Raja Muda lagi, “Ilmu tidak datang bergolek dan perlukan kesungguhan yang berterusan dengan bertalaqi atau berguru seperti mempelajari al-Quran dengan dimulai mempelajari alif, ba, ta, mengenal huruf dan makhraj huruf sehingga mampu membaca al-Quran dengan baik. Begitu juga dengan ilmu sains dan teknologi yang perlu dipelajari dan dikuasai dengan cekal dan tabah.”

Delegasi murid dan pengetua serta guru pengiring masing-masing tersebut adalah dari Mutiara Integrated Secondary School (MISS), Hulu Langat, Selangor, Sekolah Menengah Islam Tahiz Al-Amin (SMITA), Teluk Intan, Perak dan Maahad Tahfiz Mutiara (MTM), Kerteh, Terengganu.

Ketika di Perlis mereka turut melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, pekan Padang Besar, Masjid Negeri Arau dan Masjid Alwi Kangar, serta Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.