22 Jun 2022, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kecemerlangan secara umumnya bukan sahaja dilihat dari sudut pekerjaan, tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan. Erti kecemerlangan juga sangat luas, bukan hanya dilihat pada satu-satu kejayaan. Cemerlang bukan hanya terletak pada orang yang berjaya, tetapi  dilihat pada tahap tertinggi (high level) yang dicapai oleh orang tersebut.

Demikian disampaikan oleh Dr. Azhar Mohamed, pensyarah di Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam program Bacaan Yasin dan Ceramah Bulanan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.

Mengulas hal tersebut, beliau memberikan beberapa perkara sebagai panduan untuk kita memperoleh kecemerlangan, khususnya dalam pekerjaan;

  1. Kerja sebagai satu galakan.

Sebagai umat Islam, kita perlu bersederhana dalam melakukan sesuatu, iaitu tidak terlalu mengejar hal keduniaan sehingga lupa pada akhirat, dan begitu juga sebaliknya. Hal ini berbeza dengan orang Yahudi yang terlalu mengejar dunia sehingga lupa akhirat, ataupun orang Kristian yang terlalu fokus untuk mengejar akhirat sehingga membenarkan amalan yang dilarang seperti riba dan sebagainya.

“Bekerja merupakan satu daripada usaha dan ikhtiar. Para nabi juga bekerja. Contohnya Nabi Nuh a.s. menjadi tukang kayu, Nabi Dawud a.s. pula bekerja sebagai tukang besi, malah ada nabi yang menjadi penggembala kambing,” katanya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu‘ah ayat 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa-apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

  1. Kerja yang dilakukan mestilah ikhlas kerana Allah.

Menurut Dr. Azhar, untuk ikhlas dalam pekerjaan, kita harus menjaga tiga perkara, iaitu jangan berharap kepada pujian manusia, tetapi berharap kepada pujian Allah SWT; tidak takut terhadap kejian manusia; dan mengharapkan habuan daripada Allah SWT, bukan manusia.

  1. Kerja mesti menepati waktu kerana tidak menepati waktu merupakan sifat orang munafik.
  2. Setiap tugas yang diberikan mesti dilaksanakan dengan tekun.

Allah SWT amat mengasihi orang yang apabila bekerja, dia betul-betul tekun melakukannya. Dr. Azhar memberikan contoh Imam Syafii yang amat tekun apabila mengajar murid-muridnya sehingga jika terdapat dalam kalangan muridnya yang tidak memahami sesuatu yang diajar, beliau akan mengajarnya di rumah sehingga murid tersebut betul-betul faham.

“Setiap orang mestilah saling bantu-membantu antara satu sama lain, supaya sama-sama beroleh kecemerlangan,” katanya.

  1. Mencari rezeki yang halal.

Kecemerlangan merupakan anugerah daripada Allah SWT. Sebagai umat Islam, kecemerlangan itu bukan terhenti setakat di dunia sahaja, tetapi juga di akhirat kelak. Oleh itu, dalam mengejar kecemerlangan dalam pekerjaan, kita tidak boleh lupa pada tanggungjawab terhadap Allah SWT supaya rezeki yang diperoleh halal dan diberkati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.