19 Jun 2022, 23:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7 yang sedang berlangsung di Masjid Alwi Kangar merupakan platform untuk membincangkan topik semasa sebagai usaha pendedahan terhadap kepentingan dalil dan kaedah yang benar dalam beragama.

Menurut Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, “Hanya melalui kaedah yang benar, khasiat Islam itu dapat diambil manfaat oleh para pengikutnya. Program sebegini dilihat bukan sahaja berbentuk perkongsian ilmu, tetapi juga pendedahan kepada masyarakat berkenaan dengan idea dan tunggak pemikiran utama yang didukung bersama.”

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Alwi, Kangar sempena program Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7 pada pagi tadi.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

“Dalam era di mana “hujung” dan “pangkalnya” semakin sukar dikenal pasti, ditambah dengan arus globalisasi dan kemodenan, yang tampak menenggelamkan keutamaan beragama, hatta dalam kalangan umat Islam, usaha ini semakin sukar. Demikianlah sunnatullah, dalam kesukaran itu ada ganjaran dan pahala yang banyak, dalam kekaburan itu terletak jalan menuju kepada tuntutan meluaskan pengetahuan,” titah baginda.

Jelas tuanku Raja Muda lagi, “Tidak mustahil satu usaha yang awalnya dilihat sebagai asas untuk mengislahkan masyarakat, kita sedar pada akhirnya bahawa yang dijumpai ialah kesedaran dan kematangan diri sendiri.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.