Oleh Wan Marzuki
18 Jun 2022, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita berasa bangga dengan kesungguhan pihak kerajaan yang cukup tegas dalam usaha membendung dan menghapuskan gejala rasuah yang telah lama menular dalam masyarakat kita. Hal ini selari dengan firman Allah SWT melalui Surah al-Mukminun ayat 71 yang bermaksud, “Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, maka pasti binasalah langit dan bumi dan segala yang terkandung di dalamnya.”

Biarpun ramai yang menyedari bahawa perbuatan makan suap atau rasuah itu haram dan dibenci oleh Allah SWT dan undang-undang dunia, namun gejala rasuah terus berkembang dalam kalangan masyarakat, sama ada pada peringkat atasan atau bawahan.

Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah kerana ketidakfahaman masyarakat terhadap istilah rasuah itu dan kerana kuatnya perasaan tamak dan haloba demi memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat.

Perbuatan “tumbuk rusuk” ini bukanlah perkara baharu dalam kehidupan masyarakat moden kini. Oleh sebab hal tersebut telah dianggap sebagai suatu perbuatan biasa dan lazim dalam kehidupan seharian, maka gejala rasuah kini merupakan antara satu jenis penyakit sosial yang begitu sukar untuk diubati.

Amalan rasuah bukan sahaja boleh merosakkan masyarakat, tetapi juga boleh meruntuhkan bangsa dan negara.

Dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara, rasuah menjadi ancaman yang cukup berbahaya. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan sesebuah negara yang bakal melahirkan sebuah masyarakat yang kucar-kacir dan akan menjadi penyumbang ke arah keruntuhan sesebuah bangsa.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang telah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri.”

Rasulullah SAW mengutuk sesiapa sahaja yang memperoleh harta dan wang ringgit melalui amalan rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar terhadap pengamal rasuah.

Kekeliruan dan kejahilan seseorang individu tentang rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman yang cetek terhadap kalimah rasuah yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata. Rasuah bukan sahaja melibatkan penggunaan mata wang, tetapi juga turut merangkumi aspek kehidupan yang lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng ketika melakukan sesuatu tindakan dan perbuatan.

Pengamal rasuah akan disogok dengan pelbagai bentuk hadiah atau cenderamata.

Pengamal rasuah biasanya akan lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan pelbagai bentuk sogokan. Sogokan tersebut mungkin dalam bentuk hamper, buah tangan, hadiah, cenderamata atau apa-apa sahaja yang dianggap sebagai perantara dan pemangkin kepada tercapainya sesuatu keinginan  seseorang individu.

Manusia yang mengamalkan rasuah ini jarang memikirkan bahawa segala tindak-tanduk yang mereka lakukan sebenarnya merupakan satu daripada bentuk penganiayaan yang telah sengaja mereka rancang untuk menindas orang lain. Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak sudah pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat untuk melaksanakan sesuatu amanah dan tanggungjawab tertentu.

Oleh itu, pengamal rasuah yang hidup saling tindas-menindas ini semakin alpa dengan tuntutan agama. Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh telah menutup pintu hati mereka daripada mengingati Allah, bahkan mereka seperti sengaja menimbun dosa dan noda akibat daripada perbuatan sendiri.

Rasulullah SAW sering berpesan kepada para pegawai dan pentadbir pada zaman Baginda agar tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada terutamanya sewaktu berurusan dengan orang ramai. Baginda pernah berkata kepada Muaz bin Jabal yang dilantik menjadi duta di Yaman, “Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu daripada keadaan serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah begitu sifatnya.” Muaz telah mematuhi pesanan Rasulullah kerana tidak ingin menderhakai Allah SWT dan tidak mahu tergolong dalam golongan umat Muhammad sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Nanti akan ada dalam kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai beraneka jenis pakaian, dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku.” (Hadis riwayat al-Tabarani).

Seorang pegawai Rasulullah SAW di bahagian perbendaharaan negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu dengan Baginda untuk menyerahkan hasil kutipan cukai.

Kata pegawai tersebut, “Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk aku.”  Mendengar hal itu, air muka Rasulullah SAW segera berubah, lalu Baginda berkata, “Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya, adakah dia akan mendapat hadiah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu pada hari akhirat kelak.”

Gejala rasuah terlalu banyak mencetuskan pelbagai kes jenayah seperti peras ugut, membunuh, dendam dan pelbagai gejala lain yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhannya. Pengamal rasuah tidak akan mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong daripada landasan syariat yang sebenarnya.

Mereka sudah hilang rasa belas kasihan dan kemanusiaan, sebaliknya akan mudah berkelakuan ganas dan zalim apabila tidak memperoleh apa-apa yang mereka idamkan. Sudah tidak ada lagi rasa keinsafan dan kesedaran dalam diri bahawa diri mereka milik Allah SWT dan bakal kembali kepada-Nya. Mereka juga lupa bahawa segala amalan dan tindak-tanduk mereka seharian bakal dihisab oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Larangan terhadap perbuatan rasuah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidzi dan Ibn Hibban yang bermaksud, “Allah melaknat orang yang menyogok dan minta disogok.”

Laknat Allah SWT ini bukan sahaja kepada pemberi, malah penerima rasuah kerana jelas kedua-duanya telah melakukan kezaliman. Dalam Surah al-Baqarah ayat 188 pula, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. Lalu kamu membawa urusan harta itu kepada hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan harta setengah kamu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahuinya.”

Sebagai  Mukmin yang cinta akan kemurnian hidup di atas landasan syariat Islam, maka marilah kita berganding bahu bagi membendung gejala rasuah ini daripada terus merebak dalam kalangan umat Islam dengan apa-apa cara sekalipun. Melalui tugasan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul, kita sebenarnya boleh memainkan apa-apa jua bentuk peranan bagi membasmi penyakit sosial yang amat dikutuk oleh Allah SWT ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.