17 Jun 2022, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] bakal mula dikuatkuasakan pada 21 Jun ini setelah hampir 38 tahun perjuangan untuk mewujudkannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Idris Ahmad berkata, akta berkenaan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

“Akta 814 ini telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 27 Mei lalu, dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya lagi, tarikh penguatkuasaan akta itu selaras dengan Penetapan Tarikh Akta 814 dan Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No 2) 2019 (Akta A 1606) setelah disiarkan dalam Warta Kerajaan pada 9 Jun lalu.

“Sebelum wujud akta 814, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan dikawal selia mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 [P.U (A) 408/1994] yang dibuat mengikut seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] ,” ujarnya.

Katanya, selepas akta ini dikuatkuasakan, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dikawal selia di bawah Akta 814 ini.

“Menjadi hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar Akta 814 dijadikan undang-undang model bagi setiap negeri, namun setakat ini akta berkenaan hanya digubal bagi pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja,” katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan penguatkuasaan Akta 814, Badan Peguam Syarie (BPS) Wilayah-Wilayah Persekutuan ditubuhkan di bawah Subseksyen 42(1) Akta 814 yang antara lain bertujuan untuk menggalakkan dan menjaga kepentingan profesion guaman syarie.

Tambahnya, matlamat penubuhan BPS sama dengan penubuhan Bar Council Malaysia yang mengawal selia profesion guaman di mahkamah sivil.

“Akta 814 ini juga diharap dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie melalui kawal selia profesion ini secara menyeluruh setaraf dengan profesion guaman yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166),” katanya.

Tambahnya, kewujudan Akta 814 juga diharapkan dapat meninggikan kedudukan Mahkamah Syariah serta menjadikan undang-undang syariah setara dengan undang-undang sivil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.