15 Jun 2022, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pasangan yang ingin berkahwin diseru agar menggunakan saluran yang betul untuk mendirikan rumah tangga. Perkahwinan yang teratur dan mengikut undang-undang akan menjadikan sesebuah keluarga hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Hal ini juga menjadi penyumbang kepada faktor kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan dan seterusnya mengurniakan tauliah-taukiah di Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda, Kangar, semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tersebut disambut oleh Pemangku Pengarah JAIPs, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan sekalung tahniah kepada semua penerima tauliah yang dilantik dengan harapan lantikan dan tugasan yang telah diamanahkan itu dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri masing-masing, di samping sentiasa menjadikan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW sebagai pegangan, panduan dan rujukan.

“Sejak negara beralih ke fasa endemik, difahamkan bahawa terdapat banyak isu kekeluargaan yang timbul sehingga meningkatnya angka perceraian. Oleh hal yang demikian, pihak jabatan perlu menempatkan pegawai yang khususnya dari bidang kaunseling kekeluargaan agar dapat membantu institusi kekeluargaan itu menjadi baik dan mengurangkan kadar perceraian di negeri ini,” titah baginda.

Bagi mengimbangi perubahan dan pertambahan rakyat Islam di negeri ini serta beban kerja yang semakin hari semakin meningkat, baginda mencadangkan agar perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak JAIPs ditambah baik dengan melatih pegawai serta kakitangan khususnya di Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah supaya pengurusan pentadbiran bersama pelanggan dapat diselesaikan dengan segera.

Terdahulu daripada itu diadakan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Nikah Express : Bahagia atau Derita?” yang dikongsikan oleh Timbalan Mufti Negeri, Tajul Urus Abdul Halim dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, Mohd Abu Hassan Abdullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.