13 Jun 2022, 13:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bharu – Setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQK) 1443H/2022M kembali diadakan pada tahun ini, dan negeri Johor Darul Takzim dipilih sebagai tuan rumah. MTHQK kali ini berlangsung dari 12 Jun hingga 17 Jun 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bharu.

Tema bagi MTHQK pada tahun ini ialah “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” yang menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi Rabbani yang berpegang pada al- Quran dan sunah untuk membentuk sebuah negara yang harmoni.

Seramai 113 peserta bakal menyertai MTHQK pada tahun ini, dan daripada jumlah tersebut 29 peserta merupakan peserta tilawah yang mewakili semua negeri terdiri daripada 14 qari dan 15 qariah termasuk Johan Menunggu Qariah. Para peserta tilawah tersebut akan membaca taranum dengan dua jenis lagu. Sementara itu, seramai 81 peserta pula bakal menyertai pertandingan hafazan yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 10 juzuk, 20 juzuk dan 30 juzuk.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,  di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, pada semalam. Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia mengamalkan konsep tasamuh dalam kehidupan yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

“Tasamuh ialah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud toleransi atau berlapang dada, iaitu sikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi seperti sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki bangsa dan budaya majmuk, sikap toleransi atau tasamuh ini sangat penting sebagai alat menyatupadukan rakyat.

Turut hadir pada majlis perasmian MTHQK 1443H/2022M ialah YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Datuk Hajah Hakimah  Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM dan YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM.

Keluarga Malaysia juga boleh menonton MTHQK kali ini melalui siaran langsung di saluran TV AlHijrah (TVAH), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan juga media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

(Sumber: Facebook JAKIM)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.