10 Jun 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT berfirman,

Maksudnya: “Yusuf berkata hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa-apa yang kamu ketam biarkanlah pada tangkainya kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (Surah Yusuf :47-48)

Kebelakangan ini, masalah mendapatkan bahan makanan semakin menimbulkan keresahan masyarakat. Bekalan makanan tertentu dilaporkan tidak mencukupi dan sukar diperoleh, di samping harga makanan yang bertambah mahal. Keadaan ini jika gagal ditangani secara pantas lagi berkesan, dikhuatiri akan berlaku krisis makanan. Krisis makanan boleh meruncing apabila beberapa buah negara mula mengambil langkah untuk mengutamakan keperluan makanan rakyat mereka dengan menghentikan eksport barangan mentah. Konflik politik antarabangsa dan peperangan yang berlaku di Ukraine, dimudaratkan lagi dengan perubahan iklim telah menyebabkan beberapa barangan mentah dan bahan makanan seperti gandum, minyak masak, gula, ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran mula dihadkan eksport oleh beberapa buah negara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut memberikan amaran berkenaan gangguan bekalan makanan peringkat global, sekali gus mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan berlakunya krisis kebuluran secara meluas.

Gangguan bekalan makanan peringkat global mencetuskan kebimbangan akan berlakunya krisis kebuluran.

Makanan dan nyawa manusia ialah kembar hidup yang termaktub dalam kamus alam. Tanpa makanan, nyawa yang bersarang di dalam tubuh manusia boleh terlepas menuju alam barzakh. Islam memandang serius soal makanan kerana hal tersebut merupakan sumber kehidupan; selaras dengan maqasid syariah, iaitu menjaga nyawa. Oleh sebab itu, demi menjaga nyawa, dalam keadaan darurat, Islam memberikan kelonggaran untuk membolehkan manusia mengambil makanan yang haram sekadar untuk mengalas perut.

Dalam al-Quran terkandung ayat-ayat yang memberikan peringatan tentang pentingnya menyediakan bahan makanan melalui kegiatan pertanian dan ternakan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Lalu kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian dan buah anggur serta sayur sayuran juga pokok zaitun dan kurma dan taman yang menghijau subur untuk kegunaankamu dan binatang ternakanmu.”   (Surah ‘Abasa 80:27-32)

Allah SWT juga berfirman tentang binatang ternakan,

Maksudnya: “Dan binatang ternak itu, Dia juga menciptakan untuk kamu; terdapat padanya benda (bulu dan kulit) yang memanaskan tubuh daripada sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan. (Surah al-Nahl 16:5)

Iklim yang semakin tidak menentu turut mempengaruhi hasil pertanian dan ternakan. Pengurusan pertanian dan ternakan yang lebih berkesan diperlukan, demi memastikan bekalan bahan makanan tidak akan teruk terjejas, yang boleh mengakibatkan berlaku kebuluran kepada ramai penduduk dunia. Kerajaan hendaklah mempertingkatkan kemampuan pengurusan bencana kerana kelemahan menangani bencana seperti banjir besar dan hakisan tanah boleh membawa kemusnahan pada usaha pertanian dan penternakan yang sedang dijalankan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha dan ekonomi negara.

Dalam kebimbangan menghadapi krisis bekalan makanan, umat Islam tidak boleh bersifat melihat, menanti dan berpeluk tubuh. Sebaliknya mereka hendaklah memikirkan langkah dan tindakan yang perlu diambil secara segera dan bijaksana. Menyediakan bahan makanan untuk menyelamatkan ummah daripada menghadapi kebuluran adalah tugas wajib.

Umat Islam hendaklah memenuhi tanggungjawab fardu kifayah dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang dapat membantu menambahkan bekalan bahan makanan.

Umat Islam wajib mengambil iktibar dan menjadikan pengajaran dan panduan daripada sejarah dan pengalaman masa lalu. Kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. mengurus bekalan makanan sewaktu negara dilanda kemarau yang lama perlu diambil iktibar. Sebelum kemarau tiba, baginda mengemukakan perancangan bijak untuk menghadapi kemarau panjang. Walaupun dilanda tujuh tahun kemarau, namun dengan perancangan yang bijak, berserta pengurusan khazanah negara secara jujur di bawah pimpinan Nabi Yusuf a.s., rakyat Mesir berjaya diselamatkan daripada terkorban kerana kebuluran, malah Mesir ketika itu turut berupaya menyediakan bekalan makanan kepada pedagang luar yang datang kerana memerlukan makanan.

Malaysia ketika ini terlalu banyak bergantung pada bahan makanan yang perlu diimport dari luar negara. Nilai import bahan makanan ketika ini mengatasi nilai eksport. Pada tahun 2020, nilai import barangan makanan mencecah hampir 56 bilion ringgit berbanding dengan 34 bilion ringgit nilai eksport. Keadaan tidak seimbang ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang dikurniai Ilahi dengan bumi yang subur, bekalan air yang cukup, mendapat pancaran matahari sepanjang masa dan memiliki tenaga kerja yang ramai.

Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap perkara-perkara yang berikut:

Pertama: Hendaklah diterima hakikat bahawa dunia sedang menghadapi krisis bekalan makanan, merangkumi aspek bekalan bahan mentah serta kos pengangkutan yang bertambah tinggi kerana harga minyak yang semakin meningkat. Akibat bekalan bahan makanan yang semakin kurang dan kos pengangkutan yang semakin tinggi, kini harga makanan dalam pasaran bertambah mahal.

Kedua: Jika tidak dilakukan langkah-langkah persiapan, dibimbangi bahawa kemungkinan ramai manusia terutama dalam kalangan yang berpendapatan rendah dan miskin, sukar mendapat bahan makanan. Umat Islam tidak harus berdiam diri, sebaliknya hendaklah memenuhi tanggungjawab fardu kifayah dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang dapat membantu menambahkan bekalan bahan makanan. Manfaatkan tanah milik atau kawasan di sekitar kawasan perumahan dengan kegiatan bercucuk tanam. Semaikan minat dalam kegiatan pertanian dan ternakan, pelajari ilmu dan kuasai kemahiran pengurusan pertanian dan ternakan agar dapat membantu menambah pengeluaran makanan dalam negara.

Ketiga: Ketika ini hampir 50 buah masjid di negeri Perak telah bergiat dalam kegiatan pertanian yang wajib dijadikan contoh teladan oleh semua jawatankuasa masjid di negeri Perak; manfaatkan tanah wakaf saraan dengan usaha menanam sayuran dan buah-buahan agar hasilnya dapat dimanfaatkan oleh penduduk kariah terutama dalam kalangan yang sangat memerlukan.

Keempat: Berjimat cermat dan tidak membazirkan bahan makanan, bermula dengan amalan mengurangkan segenggam beras ketika bertanak, mengurangkan secamca gula ketika membancuh minuman, mengurangkan sebiji cili dan seulas bawang, sepaha ayam dan setahil ikan ketika memasak, termasuk mengurangkan bilangan juadah yang dihidangkan dalam setiap jamuan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Bukalah pintu hati kami untuk meminati kegiatan pertanian dan ternakan. Berkatilah kegiatan pertanian dan ternakan yang kami usahakan, serta suburkan tanaman serta biakan ternakan kami agar dengannya kami dapat menikmati bahan makanan yang cukup. Turunkanlah hujan yang membawa rahmat, suburkan bumi kami, lindungi ternakan kami daripada serangan penyakit, serta jauhi kami daripada kebuluran.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 10 Jun 2022, “Utamakan Jaminan Bekalan Makanan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.