10 Jun 2022, 23:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) amat berbesar hati menerima kunjungan lawatan kerja dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.

Lawatan kerja selama tiga hari berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf, Mohd Rafie Zakaria bersama-sama lapan orang pegawai dan 27 orang penerima bantuan perniagaan daripada pihak MAIWP. Kunjungan tersebut bermatlamat untuk melaksanakan perkongsian pintar antara kedua-dua pihak bagi melaksanakan program dan inisiatif pembangunan serta bimbingan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dan negeri Perlis.

Beberapa siri perkongsian dan lawatan kerja telah dilaksanakan termasuk perbincangan dua hala bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta lawatan ke beberapa lokasi produk usahawan asnaf bimbingan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Para peserta lawatan amat teruja sekali apabila diberikan kesempatan untuk bersua muka dan menghadap Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di pekarangan Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang dekat Kangar sebelum baginda memulakan program rutin kayuhan MAIPs Peduli pada petang semalam.

Lima orang wakil daripada pihak rombongan MAIWP juga tidak melepaskan peluang untuk turut mengiringi Tuanku Raja Muda melaksanakan program yang sudahpun diketahui umum di seluruh negara bagi menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih tersebut pada kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.