Oleh Syaza Wardina
9 Jun 2022, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa menganjurkan Majlis Bicara Buku dan Pelancaran Buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 1 ‒ 4), bertempat di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pukul 12.00 tengah hari tadi.

Penulis dan pembicara buku, Puan Nor Shahida Mohd. Salleh.

Penganjuran majlis bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tersebut menampilkan penulis DBP yang juga pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Puan Hajah Hauzalazla Mohamed, dan penulis buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari sendiri, iaitu Puan Nor Shahida Mohd. Salleh sebagai pembicara.

Menurut Puan Nor Shahida yang merupakan pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Yaccob, “Pada tahun 2021, setelah empat tahun berpenat lelah, maka terhasillah buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari.”

Dalam majlis Bicara Buku tersebut, Puan Nor Shahida yang juga merupakan guru pengajian al-Quran kod isyarat tangan ketidakupayaan pendengaran menerangkan kandungan buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 1 ‒ 4) seperti yang berikut:

  • Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 1): Mari Kenal Huruf Hijaiyyah Tunggal memberikan pendedahan kepala golongan berkeperluan khas pada semua peringkat yang baru mengenali al-Quran dengan 29 huruf hijaiyyah bermula dengan huruf alif hingga ya berserta dengan kod tangan, kod huruf dan kod ejaan jari. Pembaca berupaya menguasai huruf hijaiyyah, membaca dengan mengisyaratkan, membaca huruf dengan tepat, dan menulis huruf.
  • Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 2): Mari Kenal Huruf Hijaiyyah Tunggal Berbaris Satu memberikan pendedahan kepada golongan berkeperluan khas yang baru mengenali al-Quran dengan huruf hijaiyyah berbaris satu, berserta dengan kod tangan, kod huruf dan kod ejaan jari. Selain itu, pengguna juga berupaya menguasai dan membaca huruf-huruf hijaiyyah berbaris satu di atas, di bawah dan di depan, membaca dengan mengisyaratkan/membaca huruf dengan betul dan tepat, dan menulis huruf.
  • Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 3): Mari Kenal Huruf Hijaiyyah Tunggal Berbaris Dua memberikan pendedahan kepada golongan berkeperluan khas yang baru mengenali al-Quran dengan huruf-huruf hijaiyyah berbaris dua berserta dengan kod tangan, kod huruf dan kod ejaan jari. Selain itu, pengguna juga berupaya menguasai huruf-huruf hijaiyyah, membaca huruf hijaiyyah berbaris dua di atas, di bawah dan di depan, membaca dengan mengisyaratkan/membaca huruf dengan betul dan tepat, dan menulis huruf.
  • Fahami al-Quran Jari-jemari (Buku 4): Mari Kenal Huruf Hijaiyyah Bersambung memberikan pendedahan kepada golongan berkeperluan khas yang baru mengenal al-Quran dengan huruf-huruf hijaiyyah bersambung berserta dengan kod tangan, kod huruf dan kod ejaan jari. Selain itu, pengguna juga berupaya menguasai huruf-huruf hijaiyyah, membaca huruf-huruf hijaiyyah bersambung, membaca dengan mengisyaratkan/membaca huruf dengan betul dan tepat, dan menulis huruf.

Majlis Bicara Buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari turut menyaksikan murid berkeperluan khas (MBK) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad, Nurul Fatini Muhamad Yusuf menunjukkan secara praktikal bacaan (isyarat) ayat 201 dari Surah al-Baqarah dengan menggunakan kaedah jari-jemari dalam mempelajari al-Quran.

Sementara itu, Wan Muhammad Arif Iqbal Wan Mohd Fauzi dari sekolah yang sama menunjukkan dengan jari-jemari bacaan surah terakhir dalam al-Quran, iaitu Surah al-Nas. Menurut Puan Nor Shahida, Wan Muhammad Arif Iqbal baru sahaja mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran pada 29 Ramadan 1443 Hijrah yang lalu.

Sebagai MBK ketidakupayaan pendengaran, Wan Muhammad Arif Iqbal mengambil masa selama 10 tahun untuk mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran yang sepenuhnya menggunakan kaedah jari-jemari.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Pelancaran Buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Beliau yang diiringi oleh Ketua Bahagian Buku Sekolah, Encik Abdul Ghani Abu yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, menandatangani “buku besar” sempena pelancaran buku ini dan seterusnya menyaksikan video montaj yang disediakan.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyampaikan cenderamata penghargaan kepada penulis dan pembicara buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Buku Bahasa DBP, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat; Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Suzana Aziz; karyawan DBP dan masyarakat awam.

Majlis Bicara Buku dan Pelancaran Buku Siri Fahami al-Quran Jari-jemari turut disiarkan secara langsung melalui media sosial DBP dan boleh ditonton melalui pautan ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.