8 Jun 2022, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu tentang poligami sering menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat sehingga kadang-kadang menimbulkan ketegangan, terutama dalam kalangan wanita yang selalunya menentang konsep perkahwinan tersebut.

Bagi Profesor Dr. Basri Ibrahim, poligami bukan suatu isu harus diperdebatkan, tetapi pengurusan dalam melaksanakan poligami itu yang perlu diambil perhatian dan ditikberatkan. Beliau berkata demikian ketika membicarakan tentang buku Panduan Syarak tentang Poligami terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), petang tadi.

Profesor Dr. Basri Ibrahim ketika membicarakan buku beliau bertajuk “Panduan Syarak tentang Poligami”.

 

“Poligami merujuk perkahwinan lebih daripada seorang isteri dan lawan bagi monogami. Kebiasaan masyarakat kita akan mempertahankan perkahwinan monogami, dan bukannya poligami. Di Malaysia tidak sampai satu peratus daripada rakyat Malaysia yang mengamalkan poligami. Sepatutnya hal tersebut tidak menjadi isu, tetapi yang menjadi isu ialah pelaksanaan dalam poligami,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau sebagai penulis buku tersebut, secara asasnya, poligami bukan berasal daripada ajaran Islam, tetapi daripada ajaran nabi-nabi terdahulu dan tamadun masyarakat lampau. Contohnya, dalam tamadun Hindu, Buddha dan Mesir yang kebanyakan pembesar dan raja mereka mempunyai isteri yang ramai. Akan tetapi, Islam hanya membenarkan empat orang isteri, iaitu sesuai dengan kemampuan seorang lelaki apabila mengatur giliran.

Berkenaan dengan pendapat yang mengatakan bahawa poligami merupakan suatu pengkhianatan dan kezaliman bagi kaum wanita, Dr. Basri berkata poligami merupakan satu syariat, iaitu perundangan daripada Allah SWT, dan syariat Allah tidak pernah bertujuan untuk menyusahkan umat-Nya. Kecenderungan kaum lelaki terhadap wanita juga bukan suatu perkara yang di luar kebiasaan, malah merupakan suatu fitrah. Aspek kezaliman yang selalu ditimbulkan bukan terletak pada syariat poligami, tetapi apabila seseorang suami gagal melaksanakan syarat-syarat dalam poligami tersebut.

Menurut Dr. Basri lagi, poligami sebenarnya merupakan satu platform untuk para suami meraih sebanyak-banyak pahala jika poligami dilaksanakan dengan betul dan adil. Akan tetapi, poligami juga boleh menjadi “gedung” dosa jika kebenaran berpoligami disalahgunakan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang mempunyai dua isteri (berpoligami), kemudian berat kepada seorang daripada kedua-duanya, maka pada hari kiamat dia akan datang dengan bahu yang senget sebelah.” Oleh sebab itu, penting bagi kaum lelaki untuk mempelajari ilmu tentang poligami sebelum melaksanakan poligami supaya institusi keluarga dapat dibina dengan baik.

Oleh itu, buku Panduan Syarak tentang Poligami ini ditulis untuk memberikan ilmu dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang konsep poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak. Pedoman dan panduan tersebut bukan sahaja untuk diri sendiri yang ingin atau telah melaksanakan poligami, tetapi juga untuk menyelesaikan masalah orang lain yang terlibat dengan poligami.

Bagi memberikan kefahaman yang sebenar tentang konsep poligami, Dr Basri mencadangkan empat elemen yang perlu diberikan penekanan. Pertama, kursus praperkahwinan perlu ditambah baik dengan memberikan penekanan khusus tentang poligami. Kedua, seminar tentang poligami perlu diadakan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat. Ketiga, forum seperi Forum Hal Ehwal Perdana perlu menyentuh tentang isu poligami. Keempat, poligami boleh membantu pembentukan Keluarga Malaysia sebagaimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Apabila empat elemen ini diamalkan, kita dapat melahirkan keluarga Malaysia yang memahami hukum syarak, dan jika mereka mempraktikkan poligami, sudah pasti poligami itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.