3 Jun 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa-apa yang dikurniakannya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An‘am 6:165).

Menurut Imam al-Mawardi, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, khalifah atau pemerintah sesebuah negara merupakan suatu kewajipan yang mesti dimiliki oleh ummah bagi menguruskan hal ehwal negara dalam rangka menjaga kemurnian agama dan mengatur urusan dunia. Sebelum penubuhan sebuah negara merdeka yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, sembilan buah negeri berada di bawah payung naungan raja. Institusi raja telah wujud lebih daripada enam abad dan telah berakar, serta memberikan identiti berkerajaan dan bernegara di bumi ini.

Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati dan memahami peranan institusi raja yang terlalu berharga. Oleh itu, Tanah Melayu yang merdeka memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja yang kekal segar dengan menjelmakannya dalam acuan semasa. Institusi raja diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Maka itu, diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen. Kedaulatan raja diberikan wajah baharu, dan dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.

Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara. Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua. Takhta pemerintahan bukan sekadar satu lambang hiasan untuk menyempurnakan tugas-tugas keraian. Pemerintahan berpaksikan raja termaktub secara perundangan dalam perlembagaan negara. Sebanyak 10%, iaitu 19 daripada 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, berkaitan dengan raja. Hal ini bermakna bahawa Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berpaksikan raja berperlembagaan, iaitu demokrasi berparlimen, telah memperuntukkan peranan dan tanggungjawab kenegaraan kepada raja pemerintah secara perundangan. Oleh itu, takhta perlu bertenaga, bersifat dinamik lagi meyakinkan, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dalam landskap politik yang semakin memperlihatkan unsur perpecahan yang turut melemahkan perpaduan warga; di samping peranan sebagai payung yang menaungi kemakmuran, ketika negara sedang bergelut menghadapi pelbagai kepincangan pengurusan yang mencetuskan kemelut ekonomi, yang turut menjejaskan kehidupan harian rakyat jelata.

Pada era kesultanan Melayu Melaka, daulat dikaitkan dengan keberkesanan pemerintahan seseorang raja. Islam telah mempengaruhi kaedah pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan batang tubuh seseorang insan kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Islam telah memperkenalkan kaedah semak dan imbang terhadap kuasa raja, demi memastikan raja bersikap adil dan menyempurnakan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah berpandukan al-Quran, bersandarkan sunah Rasulullah SAW.

Undang-undang Melaka menggariskan bahawa martabat tinggi seseorang raja dinilai dari sudut amar makruf menyempurnakan tanggungjawab. Digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis bahawa fungsi utama raja ialah menjunjung hukum Allah; krisis akan berlaku jika perintah Allah diingkari dan apabila raja memerintah dengan nafsu. Raja diperingatkan akan pentingnya keadilan, hari kebangkitan dan tanggungjawab sesama ummah. Prinsip kesetiaan rakyat kepada raja yang berpaksikan keadilan tidak mengizinkan raja untuk mengamalkan sifat, “bersultan di mata, beraja di hati” selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 26, Surah Sad;

Maksudnya: “Wahai Dawud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana hal tersebut akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”

Pemerintah yang melaksanakan pemerintahan dengan baik, adil dan saksama akan terus dihormati dan disayangi oleh rakyat.

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab Nasihat al-Muluk (Nasihat untuk Raja-raja) menyemaikan budaya ilmu dan tatacara pentadbiran yang menegaskan perpaduan negara berdasarkan kefahaman bermakna tentang Tuhan, hakikat alam semesta dan kehidupan selepas mati. Islam menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut. Rakyat akan terus menabur bunga setia selagi raja melaksanakan pemerintahan secara adil dan saksama bersandarkan hukum, dan insya-Allah negeri akan dilimpahi keamanan dan kemakmuran, tumbuhan subur di ladang, ternakan membiak dan rakyat bertambah. Maka itu, raja yang memerintah dianggap bertuah dan tinggi berdaulat.

Oleh itu, umat Islam diseru kepada peringatan-peringatan berikut:

Pertama: Sistem raja berperlembagaan ialah kesinambungan dan warisan daripada sistem pemerintahan berpaksi raja sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Para pengasas kemerdekaan negara telah mendapat petunjuk Ilahi, dengan wawasan bijak membentuk kerajaan merdeka di bawah naungan raja berperlembagaan yang memberikan identiti kepada negara kita. Oleh itu, ummah wajib mempertahankan identiti negara bangsa yang telah lama berakar di bumi ini.

Institusi diraja mempunyai tanggungjawab besar sebagai tonggak kestabilan, keadilan dan perpaduan rakyat.

Kedua: Raja pemerintah berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama melindungi kepentingan rakyat jelata; meskipun dalam perkara yang nyata, perlembagaan negara menetapkan raja bertindak atas nasihat dan hendaklah menerima nasihat, tetapi raja juga tidak harus berasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, undang-undang dan keadilan sehingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.

Ketiga: Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab fardu kifayah yang berat untuk mengabsahkan pentingnya institusi raja dipertahankan dengan memastikan semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga senantiasa dilindungi melalui pemerintahan yang meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang.

Keempat: Dalam menghadapi kecelaruan politik yang sedang berlaku, rakyat meletakkan harapan tinggi agar institusi takhta pada setiap ketika tidak bersifat memihak, malah mencuar diri tinggi di atas segala persengketaan politik kepartian demi memastikan peranan takhta diterima baik ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara.

Kelima: Institusi takhta kekal bertenaga menghadapi cabaran dalam era yang semakin berubah, agar terus berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama memenuhi peranan sebagai payung kesatuan dalam kepelbagaian.

Dipersembahkan ucapan “Dirgahayu Tuanku” kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, dengan iringan doa semoga negara di bawah naungan pemerintahan baginda dilimpahi keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Banyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk melaksanakan pemerintahan secara adil dan saksama berlandaskan hukum; bantulah dan berkati usaha baginda untuk menyatupadukan warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa, agar Malaysia kekal menjadi negara merdeka yang aman, harmoni, makmur dan sejahtera.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 3 Jun 2022, “Yang di-Pertuan Agong: Kepala Utama Negara”, Jabatan Agama Islam Perak)

(Sumber gambar: Facebook rasmi Istana Negara)

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!