26 Mei 2022, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Topik kesantunan bahasa sangat sesuai dengan masyarakat Malaysia dan bangsa Melayu kerana satu daripada ciri yang menjadikan rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dihormati ialah kesantunan mereka berbahasa. Namun begitu, mutakhir ini disebabkan ledakan teknologi maklumat yg begitu cepat, ada kalanya aspek bahasa kurang diberikan perhatian oleh para pengguna, khususnya dari sudut kesantunannya.

Mengulas tentang hal tersebut, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, peranan media sosial kini seolah-olah mengambil alih media arus perdana. Tidak dinafikan bahawa terdapat kesan positif daripada penggunaan media sosial seperti memperoleh ilmu dan maklumat, serta dapat bertukar-tukar fikiran. Namun begitu, terdapat juga kesan negatif apabila media sosial disalahgunakan, terutama dari aspek penggunaan bahasa yang tidak santun dan terkeluar daripada sistem adab dan budaya.

“Amat menyedihkan apabila bangsa yang telah menerima risalah Allah, iaitu umat Islam melakukan sesuatu yang menyimpang daripada lunas Ilahi. Yang terlibat bukan sahaja golongan yang tidak berpendidikan, tetapi juga yang berpendidikan, dan hal ini akan menyebabkan para ilmuwan tidak dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Wacana Dakwah (Siri 4) yang bertajuk “Kesantunan Bahasa Melayu dalam Media Sosial” yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam, UKM melalui Facebook rasmi Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan UKM, semalam. Seorang lagi panel yang diundang ialah Dr. Azizul Ismail, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

(Sumber: Facebook Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM)

 

Menurut Dr. Azizul, walaupun tidak disebut kalimah kesantunan itu secara jelas dalam al-Quran dan hadis, tetapi menyampaikan kata-kata dengan bentuk yang sopan merupakan satu daripada ciri yang menggambarkan keunikan dan keistimewaan Islam dan umatnya.

“Manusia dilahirkan sebagai khalifah di dunia ini bukan suatu hal yang sia-sia, tetapi mempunyai tanggungjawab dan amanah. Fitrah Allah SWT menjadikan bagi setiap bangsa itu bahasa, jadi kita gunakan bahasa itu sebaik-baiknya untuk memakmurkan dunia ini. Walaupun al-Quran tidak menyentuh tentang kesantunan bahasa secara khusus, tetapi ada disebut tentang riba, mengadu domba, mengumpat, memaki, menghina dan bergurau yang berlebihan,” katanya.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, “… dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah salat dan tunaikanlah zakat …”

Tambahnya lagi, sasaran dakwah sama ada golongan Muslim atau bukan Muslim perlu disantuni bukan sahaja dari segi pendekatan, tetapi juga dari segi bahasa. Sasaran dakwah akan tertarik sekiranya pendakwah menggunakan bahasa bahasa yang sesuai dan meraikan budaya mereka.

“Kita mempunyai kaedah untuk menyampaikan dakwah, iaitu kita menggunakan bahasa yang baik dan santun. Tidak ada menang atau kalah dalam komunikasi. Manusia sebenarnya ingin dihormati dan dipanggil dengan nama yang mulia. Rasulullah SAW sendiri memanggil isteri Baginda, Sayidatina ‘Aisyah dengan panggilan ya Humaira’ yang bermaksud “wahai pipi kemerah-merahan,” jelasnya.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!