25 Mei 2022, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara harfiahnya, “suri teladan” bermaksud contoh yang baik, yang patut ditiru oleh khalayak, (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007). Menurut Ustaz Ahmad Shukri Yusoff dalam program Sembang Tamu yang mengemukakan tajuk “Suri Teladan: Mendidik dengan Hikmah melalui laman media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam, beliau mendefinisikan suri teladan sebagai perbuatan atau hal-hal positif yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi ikutan orang ramai. Beliau memberikan contoh suri teladan yang baik ialah Nabi Muhammad SAW. Hal ini dikatakan demikian kerana baginda Nabi Muhammad SAW mempunyai keperibadian yang mulia dalam mendidik dengan penuh berhemah dan bijaksana tanpa mengaibkan orang lain.

Pendidikan melalui suri teladan yang baik ialah pendidikan yang merentasi zaman. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap manusia memerlukan dorongan, motivasi, dan nilai murni yang baik untuk hidup dengan harmoni. Oleh sebab itu, pemilihan individu atau tokoh untuk dijadikan sebagai suri teladan amat penting. Dalam Islam, uswah hasanah atau suri teladan terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Menurut Ustaz Ahmad Shukri Yusoff, Nabi Muhammad SAW bersifat sempurna dalam pelbagai aspek, termasuklah daripada aspek ibadat, akhlak, muamalat dan sosial.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menjadi suri teladan khususnya terhadap anak-anak. Perkara ini telah disebut oleh Imam Syafie, iaitu “Hendaklah kamu, yakni ibu bapa untuk memperbaiki diri kamu dahulu sebelum kamu memperbaiki anak-anak kamu kerana mata mereka sentiasa memerhatikan kamu.” Hal ini berkaitan rapat dengan isu atau cabaran mendidik generasi muda kini yang mudah terpengaruh dengan hal-hal di sekililing mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memberikan didikan dan tauladan yang baik kepada anak-anak demi menjamin sahsiah dan keperibadian yang murni anak-anak.

Sementara itu, budaya menghantar anak ke madrasah atau sekolah tahfiz oleh segelintir ibu bapa dengan menganggap tugas mereka sudah selesai dalam menjadikan anak mereka sebagai insan yang soleh dan solehah adalah salah. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa berperanan penting dalam memberikan didikan agama kepada anak mereka. Kehebatan seseorang itu bermula dari rumah, yakni daripada didikan ibu bapa.

 

 

Ibu bapa perlu islah dan memperbaiki diri supaya anak-anak dapat melihat sisi positif yang boleh menjadi ingatan kepada mereka. Umpamanya, menggunakan kata-kata yang baik tanpa unsur makian.” Demikian penegasan yang diberikan oleh panel slot Sembang Tamu bagi majalah Dewan Tamdun Islam kali ini.

Beliau menyatakan bahawa terdapat tiga citra suri teladan yang dapat dijadikan panduan oleh ibu bapa iaitu:

Pemilihan nama anak

Ibu bapa perlulah memilih nama anak dengan berhemah, yakni memilih nama anak dengan maksud yang baik kerana hal ini merupakan sunah Rasulullah SAW yang sangat dituntut. Dari segi hukum syarak, tidak digalakkan memberi nama yang berunsur penyamaan dengan golongan bukan Islam kerana dikhuatiri termasuk dalam salah laku menyerupai amalan yang kufur, apatah lagi nama-nama yang jelas bertentangan dengan akidah. Selain itu, nama yang tidak baik atau kurang elok akan memberikan impak negatif terhadap kehidupan sosial si anak apabila dewasa kelak. Sebagai contoh, mereka akan diejek oleh rakan dan dirasakan pelik oleh masyarakat sekeliling, bahkan sebahagiannya menjadikan nama tersebut sebagai bahan lawak jenaka.

Perhatian terhadap pendidikan yang secukupnya

Ibu bapa hendaklah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Hal ini amat penting dalam membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan anak-anak.

Mempamerkan teladan yang baik secara konsisten

Ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak secara berterusan. Hal ini dikatakan demikian kerana, sudut pandangan seseorang itu berubah mengikut peringkat umur. Misalnya, cara pemahaman anak-anak semasa berumur dua tahun berbeza semasa umurnya 14 tahun dan seterusnya. Maka, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa peka dan rajin mempelajari ilmu baharu dalam mendidik anak-anak supaya dapat menjadi suri teladan yang terbaik.

Islam juga mempunyai beberapa ciri-ciri suri teladan yang baik. Antaranya termasuklah,

Watak individu tersebut sesuai dengan syariat

Walaupun seseorang itu popular dan dikenali ramai, namun perwatakannya bertentangan dengan syariat Islam, maka individu tersebut tidak layak dijadikan sebagai suri teladan. Hal ini dikatakan demikian kerana, individu yang mematuhi syariat menjamin kepada perkara yang membawa kepada kebaikan.

Jujur

Individu yang perbuatannya selari dengan percakapannya wajar dijadikan sebagai suri tauladan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Saff (61:3), yang bermaksud, “Sangat besar kebencian di sisi Allah SWT apabila kamu menyebut sesuatu dan kamu tidak lakukan.” Oleh itu, individu yang mengajak ke arah kebaikan dan kemudiannya mengamalkan amalan baik tersebut, sesuai untuk dijadikan sebagai suri teladan.

Amar makruf nahi mungkar

Individu yang sentiasa menghiasi dirinya dengan nilai-nilai murni dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang buruk merupakan ciri individu yang boleh dijadikan sebagai suri teladan.

Sebagai individu dan masyarat Malaysia, amalan yang perlu ditonjolkan oleh suri teladan yang baik adalah dengan menghormati agama dan kepercayaan kaum lain di samping mempamerkan keindahan Islam melalui perilaku yang baik. Oleh itu, dinasihatkan agar masyarakat untuk terus beristiqamah dalam menjadi suri tauladan yang baik supaya perkara ini dapat menjadi sumbangan yang berharga kepada generasi akan datang.  Umat Islam juga hendaklah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan demi keredaan Allah SWT.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!