21 Mei 2022, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ke-30, sebuah Kongres Nasional bertajuk “Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan” telah diadakan pada 19 dan 20 Mei 2022 di Dewan Besar IKIM.

Kongres yang berlangsung selama dua hari tersebut dianjurkan bagi memenuhi beberapa objektif, iaitu membincangkan nilai-nilai utama bagi masyarakat pelbagai budaya dan bangsa di Malaysia, menjelaskan elemen penting dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian yang mampan bagi sebuah Keluarga Malaysia, dan membina kesedaran berkenaan kepentingan mengukuhkan Keluarga Malaysia berpandukan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan tanpa bersalahan dengan Islam.

Kongres tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad. Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa ruh maqasid syariah merupakan agenda dan teras tadbir urus Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.

“Antara prinsipnya termasuklah berpegang dengan ajaran Islam, menghormati hak dan keberadaan pelbagai agama jua kaum, serta menggiatkan interaksi dan dialog degan semangat muhibah,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa dalam usaha memperkasakan perancangan dan agenda yang bersifat kalis cabaran, keupayaan dan kemahiran perlu digembleng dengan penuh tanggungjawab dan amanah, serta dilaksanakan secara adil sebagaimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Dalam usaha mendepani cabaran semasa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan IKIM telah menghasilkan dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang menyentuh aspek kepercayaan, kegembiraan, keamanan, keseimbangan dan kejayaan.

“Kita ingin lihat dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera menjadi dokumen penting yang dilaksanakan oleh semua agensi agar dasar dan polisi pelaksanaan dalam apa-apa sahaja bidang dan kluster terpandu sewajarnya.

“Oleh itu, kita juga menyeru Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk sama-sama merealisasikan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” tambahnya lagi.

Seterusnya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak IKIM yang menyambut ulang tahun penubuhannya dan sumbangan IKIM selama 30 tahun dalam usaha memberikan kefahaman Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.