15 Mei 2022, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ulu Pauh – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menjunjung titah perintah Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi memastikan masjid di seluruh negeri Perlis mestilah benar-benar menjadi qudwah sebagai institusi yang berwibawa dalam membangunkan ummah.

Tuanku Raja ketika bertitah merasmikan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis pada Rabu lalu mahukan masjid di negeri ini diperkasakan agar dapat mensyiarkan kualiti pentadbiran yang cekap dan efisien. Lantaran itu, pelantikan Ahli Jawatankuasa dan pegawai masjid hendaklah berasaskan kelayakan, profesional dan berintegriti serta kompeten dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Menyusuri kegemilangan institusi masjid sejak zaman Baginda Rasulullah SAW sehingga kini, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menambah bahawa masjid pada zaman Rasulullah SAW adalah merupakan pusat kegiatan utama kaum Muslimin selain cemerlang menjalankan fungsinya sebagai rumah ibadat bagi umat Islam. Pusat kegiatan tersebut adalah meliputi aspek siasah pentadbiran, penerapan tarbiah, pembangunan iqtisad dan seumpamanya.

Menurut DYTM Tuanku Raja Muda, masjid di negeri ini hendaklah bersifat mesra jemaah baik secara pendekatan mahupun prasarana. Para tetamu Allah yang hadir hendaklah sentiasa diutamakan dan diberikan layanan yang baik serta kemudahan yang selesa agar mereka dapat melaksanakan ibadat dengan penuh ketenteraman dan kedamaian.

Baginda juga amat berharap agar agenda pengimarahan masjid di negeri ini seperti yang dititahkan oleh DYMM Tuanku Raja dapat disemarakkan sehingga menjadi tarikan bukan sahaja kepada masyarakat setempat malah daripada masyarakat di luar negeri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.