12 Mei 2022, 18:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang terletak di Batu 5, Jalan Kuala Perlis selamat disempurnakan majlis perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada malam semalam.

Masjid yang mempunyai seni bina unik dan sering mendapat jolokan sebagai “Masjid Rusia” atau “Masjid Aladdin” ini  turut dilengkapi teknologi hijau melalui kerjasama oleh pihak Jabatan Kerja Raya Negeri dengan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Penubuhannya turut dibantu oleh Ain Ayer Asli serta pelbagai organisasi lain. Kini jawatankuasa masjid ini dipengerusikan oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Madya Dr. Mohd Rozaimi Ramli bagi aktiviti pengimarahannya. Masjid ini turut mempamerkan beberapa koleksi khat yang dipersembahkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra sebelum ini.

Dalam titah perasmian baginda, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan bahawa Islam dan ajarannya merupakan agama fitrah yang mementingkan umatnya agar turut sama menjaga keseimbangan alam. Oleh itu, masjid hendaklah melaksanakan dasar mesra alam. Bermula dengan pembudayaan penjimatan air dan tenaga terhadap pemuliharaan fauna dengan landskap yang menarik, serta mengamalkan kitar semula sumber dan tenaga. Oleh itu, baginda berharap supaya Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjadi masjid pertama dalam negeri Perlis ke arah matlamat tersebut.

Pada masa yang sama, baginda menitahkan agar masjid menjadi pusat pengajian dan perkembangan ilmu. Konsisten dengan amanat baginda sebelum ini berhubung dengan jentera pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat di negeri Perlis mestilah berusaha memahami dan beramal dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah. Sehubungan dengan itu, masjid juga perlu menyediakan pengajian yang seimbang dengan memberikan penekanan dan penerapan Ahli Sunah Wal Jamaah, sentiasa mendidik masyarakat beramal dengan sunah, dan pada masa yang sama masjid mestilah dijauhkan daripada kancah politik kepartian serta menjauhi isu sensitif yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selain itu, baginda turut menegaskan tentang tenaga pengajar yang semberono ketika menyampaikan pengajaran agama, menggunakan dalil yang lemah, menggunakan kata-kata kesat, sengaja menimbulkan perpecahan dalam masyarakat adalah tidak dialu-alukan di negeri ini. Demikian juga mereka yang tidak menghormati pegangan agama yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri Perlis.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta puteri sulung baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Untuk rekod, perasmian masjid baharu ini juga merupakan majlis pembuka tirai bagi segala program sambutan mengambil sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis pada 17 Mei yang akan datang ini.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!