11 Mei 2022, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – “Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah milik kita semua. Diharapkan agar semua ketua jabatan dan agensi serta pihak swasta turut sama memainkan peranan yang lebih aktif bagi membantu mempromosikan pembayaran zakat pendapatan kepada pihak MAIPs sama ada melalui pembayaran one off atau melalui potongan gaji secara bulanan.

“Kerjasama jabatan dan agensi serta pihak syarikat amat diharapkan bagi memastikan visi dan misi MAIPs sentiasa tercapai dalam usaha membantu agama dan ummah ke arah yang lebih cemerlang, InsyaAllah.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih bagi kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang diserahkan melalui amilnya, Jasni Jonid baru-baru ini. Setiap seorang menerima RM700 dengan jumlah penuhnya bernilai RM21 000.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Terdahulu daripada itu baginda berdua berkenan berangkat ke program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke-32 Bagi Tahun 2022 di sekitar kawasan tersebut.

Sebelum berakhirnya program tersebut, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Raja Puan Muda turut meluangkan masa merasmikan mural lukisan warna-warni keindahan serta ikon-ikon Kuala Perlis di sepanjang tembok Gapura Construction Sdn. Bhd. yang disambut oleh pemiliknya, Datuk Azhar Ahmad sebagai tanda menyokong padu kepada Program Transformasi Di Raja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis hasil inisiatif MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengharapkan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli yang telah dimulakan sejak tahun 2013 dapat terus dilaksanakan agar dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan di samping dapat menyihatkan mental dan fizikal mereka yang turut serta dalam aktiviti kayuhan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.