6 Mei 2022, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Umat Islam sentiasa diingatkan untuk meningkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya, dan  mengikhlaskan setiap amal agar sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta diperkukuh iman. Umat Islam juga hendaklah mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Yang Maha Esa. Firman Allah SWT:

َBermaksud: Wahai, anak-anak Adam! Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian bagi menutup aurat kamu dan juga (diturunkan) pakaian perhiasan; dan (ketahuilah) pakaian takwa (malu) itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (kurniaan) Allah supaya mereka mengenangnya.

(Surah Al-Araf: 26)

Menurut Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ungkapan ini memberikan maksud “iman dan sifat malu”. Sifat malu merupakan sebaik-baik pakaian, pelindung diri seseorang manusia. Malu merupakan ciri penting yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim. Ibn Hajar mentakrifkan malu sebagai akhlak yang dimiliki oleh seseorang untuk menjauhi perkara keji dan kelakuan yang mengaibkan. Sifat malu ditegaskan oleh Baginda Nabi SAW dalam mafhum sebuah hadis bahawa setiap agama yang diutus itu mempunyai prinsip akhlak, dan akhlak Islam itu ialah sifat malu.

Imam al-Mawardi membahagikan sifat malu kepada tiga jenis, iaitu:

Pertama: Malu kepada Allah SWT
Kedua: Malu kepada orang sekeliling
Ketiga: Malu kepada diri sendiri

Malu kepada Allah SWT ialah malu yang paling utama, iaitu memelihara akal, menjaga sumber rezeki dan sentiasa mengingati mati. Sifat-sifat ini kini bagaikan semakin terhakis. Punca berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat merupakan natijah daripada terhakisnya perasaan malu. Hari ini umat Islam sudah semakin kurang memiliki sifat malu, lalu mereka tergamak melakukan pelbagai kemungkaran. Perkara ini berlaku dalam pelbagai bidang tugas dan pekerjaan termasuklah agamawan, ahli politik, penjawat awam dan pekerja swasta. Tanpa segan silu dan jauh daripada rasa berdosa, segelintir umat Islam, bersifat tamak, berperangai rakus, sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk merebut kekayaan dan mencari pengaruh, serta mengamalkan sifat-sifat yang mementingkan diri sendiri.

Akibat daripada hilangnya perasaan malu, budaya rasuah dan salah guna kuasa mahu dijadikan kebiasaan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian. Kalau dahulu rasuah dan salah guna kuasa merupakan perbuatan yang sangat keji dan jijik, kini perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, dilaporkan semakin berlaku dan merebak. Keadaan rasuah di negara ini semakin membimbangkan. Malah rasuah kelihatan dilakukan secara lebih berani dan terang-terangan melalui sindiket dan perancangan yang tersusun. Perasuah kini licik untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Hal ini dilakukan melalui kelompangan dan kelemahan sistem kawalan sedia ada, serta kerana kurang ketegasan begitu juga keberanian, serta tanggapan berlakunya pilih kasih ketika menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah rasuah dan mendakwa serta menghukum mereka yang melakukan rasuah. Akibatnya, pelaku yang terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa terlepas daripada hukuman duniawi walaupun pada hakikatnya perbuatan tersebut jelas berdosa dan keji di sisi syarak. Bahkan rasuah kini berlaku, bukan sekadar wujud pemberi dan penerima, tetapi lebih jauh daripada itu, dilakukan melalui sistem yang boleh dimanipulasikan hingga ke peringkat mempersendakan undang-undang dan badan-badan penguat kuasa. Hari ini, kegiatan seperti tuntutan palsu, duit kopi, angpau, upah, sagu hati dan komisen bukan lagi rahsia, tetapi amat membimbangkan, telah menjadi sebahagian daripada budaya berurusan dan berurus niaga di negara ini.

Rasuah dan salah guna kuasa merupakan perbuatan yang sangat keji dan jijik dalam masyarakat dan juga berdosa dalam Islam.

Masyarakat harus menyedari bahawa jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, bererti Malaysia sedang menuju zaman gelap. Hal ini demikian kerana negara terpaksa menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit, di samping menggugat keyakinan pelabur dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang turut menjejaskan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat, dan pada akhirnya akan turut menjejaskan keselamatan negara apabila rakyat sudah bosan dan hilang keyakinan.

Saidina Abu Sufyan r.a. menceritakan pengalaman beliau sebelum memeluk Islam.
Sewaktu berada di Syam, Raja Rom, Raja Heraklius, telah memanggil rombongan dari Mekah dan bertanya siapa dalam kalangan mereka yang mempunyai pertalian darah dengan Nabi Muhammad SAW; lalu Abu Sufyan r.a. mengaku bahawa beliau mempunyai pertalian tersebut lantas beliau ditanya mengenai diri Nabi Muhammad SAW dan dijawab dengan jujur oleh Abu Sufyan. Mengenang peristiwa tersebut, Abu Sufyan r.a. berkata, jika tidak disebabkan rasa malu, barangkali beliau telah bercakap bohong pada ketika itu. Oleh itu, seluruh masyarakat digesa agar mendidik dan menerapkan sifat malu kepada ahli keluarga. Contohilah pekerti masyarakat Islam yang sejati yang dididik, dipupuk dan disemai dengan nilai pekerti yang tinggi agar bersikap jujur, bersih, ikhlas, dan amanah, dengan kesedaran bahawa setiap perkataan dan perbuatan akan dicatat oleh dua malaikat, Raqib dan Atid yang ditugaskan untuk melaporkan segala perbuatan kita ketika berada di dunia; dan catatan tersebut akan menjadi rekod yang akan dibentangkan di hadapan Allah Azzawajalla pada hari kebangkitan dan pengadilan di padang mahsyar. Pada ketika itu, tidak ada sesiapa yang boleh berperanan sebagai peguam bela yang boleh bermain kata-kata memanipulasikan kebenaran atau kepalsuan.

Masyarakat Islam yang sejati dididik, dipupuk dan disemai dengan nilai pekerti yang tinggi dalam melaksanakan urusan dunia.

Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah ingat akan akibat hilangnya perasaan malu. Nabi SAW menyifatkan seseorang yang hilang perasaan malu akan berbuat apa-apa sahaja yang diingini dan sudah pasti hal demikian amatlah dikeji di sisi Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

Bermaksud: Sesungguhnya perkara yang diperoleh (dipelajari) oleh manusia sejak daripada seruan awal para rasul; “Jika kamu tidak merasa malu, buatlah apa-apa yang kamu mahu!”

Dalam menjalani kehidupan seharian, Umat Islam diberikan peringatan tentang perkara berikut:

Pertama: Jadilah seorang pekerja yang ikhlas, bersih, jujur dan amanah. Jadikanlah sifat malu sebagai perisai dalam apa-apa juga tindakan. Hiasilah sikap malu semasa bekerja agar sumber rezeki untuk nafkah ahli keluarga halal dan berkat.

Kedua: Nabi SAW menyifatkan sifat malu sebagai punca segala kebaikan. Oleh itu, dapatlah difahami bahawa penghayatan sifat malu adalah salah satu daripada ciri kemajuan ummah dan resipi kemajuan sesebuah negara.

Ketiga: Dengan hilangnya sifat malu, penghayatan pada kedaulatan undang-undang dan moral semakin diabaikan. Hal ini dapat dilihat melalui sikap segelintir anggota masyarakat yang bukan sahaja tidak mengendahkan peraturan dan udang-undang yang digubal untuk melindungi kebaikan ummah dan watan, malah bersedia mempersendakannya.

Keempat: Sifat malu ialah ciri istimewa kurniaan Allah SWT ke atas manusia dan sifat ini juga yang membezakan antara manusia dengan haiwan. Sehubungan dengan itu, penghayatan perasaan malu merupakan suatu fitrah mulia yang wajib dimiliki oleh setiap manusia.

Untuk menjadi umat yang terbaik, umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabbal ’alamin! Jadikanlah sifat malu sebagai perisai diri kami agar dengan sifat malu menjadi benteng untuk kami terhindar daripada melakukan kemungkaran baik secara ketara ataupun secara tersembunyi.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniailah mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dzal Jalaali wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Maalikal Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 6 Mei 2022, “Sifat Malu Lambang Ketakwaan dan Integriti Pekerja Mukmin”, Jabatan Agama Islam Perak)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!