29 April 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibadat selama sebulan pada bulan Ramadan diharapkan telah mempersiapkan diri kita untuk menyambut Aidilfitri secara bermakna. Puasa diibaratkan sebagai perisai untuk menangkis segala perbuatan mungkar dan maksiat. Puasa juga laksana anak kunci yang dapat membuka segala pintu kebaikan, memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk memperbaik amalan dan akhlak, dan membantu membentuk peribadi yang lebih soleh. Allah SWT turut menawarkan ganjaran yang sangat besar, iaitu pengampunan dosa bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan.

Aidilfitri pula merupakan saat bagi seseorang Muslim kembali kepada fitrah asalnya yang suci; permulaan untuk membina peribadi dan sahsiah yang terzahir daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, dan kesinambungan daripada proses pengislahan dan penambahbaikan nilai serta amal perbuatan. Antara kelebihan yang ada pada hari raya termasuklah kegembiraan yang diraikan bersama-sama seluruh umat Islam sebagai lambang kesyukuran dan membesarkan Allah SWT selaras dengan firman-Nya yang bermaksud, “Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah 2:185).

Zakat fitrah diwajibkan kepada setiap umat Islam, ditunaikan untuk diri sendiri dan untuk orang yang berada di bawah tanggungannya. Kadar zakat fitrah yang ditetapkan tidak membebankan. Sebenarnya, zakat fitrah bertujuan untuk membolehkan setiap umat Islam, meskipun dia seorang fakir dengan harta yang dimilikinya tidak mencukupi nisab, tetapi berpeluang merasakan tangannya berada di atas sebagai pemberi. Pada masa yang sama, kerana kefakirannya, dia pula berhak menerima zakat tersebut. Zakat fitrah menjadi medan latihan untuk membentuk jiwa yang suka memberi dan menginfakkan harta pada jalan Allah, baik ketika senang mahupun susah. Sayidina Ibn Abbas r.a. meriwayatkan sebuah hadis:

فَرَضَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عليه وسلم اللهِ زَكَاةَ الْفِطْرِ : طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ فَمَنْ اَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ اَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan diri orang yang berpuasa daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan juga sebagai (bantuan) makanan bagi orang miskin. Barang siapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri, nescaya zakatnya diterima, manakala bagi yang membayarnya sesudah solat, maka dikira sedekah biasa.” (Hadis riwayat Ibn Majah 1827).

Setelah dua tahun umat Islam di negara ini, dengan segala kesabaran dan reda menerima ujian Ilahi ketika menghadapi tragedi COVID-19, insya-Allah pada tahun ini kita akan dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana yang lebih riang dan ceria. Masjid dan surau akan diimarahkan pada malam dan pagi Syawal pertama dengan gema takbir dan tahmid, anggota keluarga dapat berhimpun, dan jiran tetangga boleh berkunjung. Aidilfitri hendaklah disambut dalam suasana yang mensyukuri kurniaan Ilahi, dan dengan semangat dan roh yang menginsafi seruan Ilahi. Islam amat mementingkan kesederhanaan dalam setiap perkara, termasuklah ketika umat Islam sedang menantikan saat kedatangan Aidilfitri. Persediaan perlu dilakukan mengikut kemampuan kewangan diri, mengelakkan sebarang bentuk berunsur riak, untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk, dan jauhkan perbuatan membazir yang sangat dilarang oleh agama. Umat Islam juga perlu bersifat sederhana dalam keriangan meraikan Aidilfitri bersama-sama sanak saudara, jiran tetangga, rakan dan teman. Keselamatan diri dan ahli-ahli keluarga wajib diberikan keutamaan.

Menjelang Syawal, umat Islam hendaklah terus istiqamah ketika melalui hari-hari terakhir Ramadan dengan membanyakkan ibadat. Dalam suasana keriangan dan kegembiraan umat Islam menanti hari lebaran, perlu diperingatkan tentang perkara yang menyentuh adab sambutan, iaitu:

Aidilfitri hendaklah disambut dengan kemenangan dan mensyukuri nikmat Ilahi.

Pertama: Menyambut hari lebaran ialah ibadat. Jadikan hari lebaran sebagai kemenangan yang hakiki dengan mengisi sambutan mengikut lunas syariat yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW. Perbanyakkan bertakbir dan bertahmid memuji Allah Yang Maha Esa sebagai tanda syukur atas segala tawaran ganjaran dan pengampunan yang dihidangkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan.

Kedua: Mempamerkan sifat ihsan dan keinsanan kepada golongan miskin, anak yatim, orang yang dalam keuzuran dan kedaifan, dengan membantu menggembirakan hati mereka sama ada secara menghadiahkan pakaian baharu, makanan istimewa atau sedekah dan hadiah.

Ketiga: Menyantuni kedua-dua ibu bapa, dan menceriakan saudara tua dan orang yang berada dalam kedaifan dan keuzuran, dengan menziarahi mereka.

Keempat: Tidak melakukan pembaziran, dengan kesedaran bekalan makanan semakin kurang dan harga makanan semakin meningkat. Oleh itu, umat Islam perlu mengamalkan sifat berjimat cermat dan jangan berlebih-lebihan menghidangkan makanan sehingga berakhir di dalam tong sampah.

Jadikanlah hari lebaran sebagai hari yang memberikan kegembiraan kepada kita dan ahli keluarga dengan memohon doa dan berikhtiar supaya dijauhi daripada perkara yang boleh menjejaskan suasana gembira. Oleh itu, umat Islam diingatkan agar memberikan perhatian kepada perkara berikut:

Pertama: Memandangkan kita masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman virus COVID-19, wajib dipatuhi langkah-langkah mencegah jangkitan berpandukan nasihat dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia. Seboleh-bolehnya elakkan sentuhan fizikal, memakai pelitup muka di tempat-tempat yang diperlukan, hindari diri daripada berada di tempat yang sesak manusia sedangkan putaran udaranya terhad, senantiasa membasuh tangan, lebih baik mandi setiap kali pulang ke rumah sebelum menyentuh anak-anak kecil.

Kedua: Antara 29 April hingga 2 Mei, lebih dua juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan. Persediaan dan perancangan perjalanan hendaklah dititikberatkan dengan memastikan kenderaan dalam keadaan baik, pemandu tidak dalam keadaan letih dan mengantuk, utamakan nyawa dan keselamatan, pemandu bersifat sabar, tidak gopoh dan terburu-buru ketika berada di jalan raya.

Ketiga: Untuk mencegah perbuatan pecah rumah, maklumkan kepada jiran terdekat atau balai polis jika meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama kerana balik ke kampung.

Keempat: Ibu bapa atau penjaga hendaklah mengawasi dan memantau anak-anak ketika bermain mercun atau bunga api.

Oleh hal yang demikian, para jemaah diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabb al-‘alamin!, Terimalah segala amal ibadat kami sepanjang bulan Ramadan ini dan ketemukan kami dengan Ramadan seterusnya. Janganlah Engkau keluarkan kami daripada bulan yang mulia ini melainkan segala dosa kami telah diampuni. Berkatilah rezeki kami, bimbinglah kehidupan kami, lapangkan dada kami, kurniai kami dengan keafiatan, luaskan kubur kami dan masukkan kami bersama-sama anak cucu kami ke dalam syurga-Mu.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 29 April 2022, “Persiapan dan Adab Menyambut Aidilfitri”, Jabatan Agama Islam Perak)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!