28 April 2022, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Masjid Al-Najihin, Bandar Seri Permaisuri, telah berlangsung Majlis Pelancaran Wakaf Khas oleh Pusat Wakaf MAIWP (PWM), yang merupakan anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). PWM ditubuhkan bagi membantu MAIWP mengutip wakaf tunai daripada masyarakat dan dengan cara demikian wakaf ini akan dapat diuruskan dengan cara lebih profesional dan berstrategi.

Dr. Ridzwan bin Bakar (kiri) Ahli Lembaga Pengarah Pusat MAIWP sebaik sahaja menyempurnakan majlis pelancaran Wakaf Khas OWN di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ahli Lembaga Pengarah Pusat Wakaf MAIWP dengan turut melancarkan portal wakaf.sumbangan.com dan simbolik penyerahan gegantung Wakaf Khas kepada masjid di bawah urus tadbir MAIWP.  Menurut Dr. Ridzwan, wakaf adalah sebuah instrumen kewangan sosial yang penting dalam membangunkan dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat. Bersumberkan sejarah, wakaf telah menjadi amalan sejak zaman para sahabat Rasulullah SAW. Beliau juga berpendapat, masyarakat haruslah memahami bahawa harta wakaf adalah bersifat kekal dan tidak boleh dijual beli dan diwarisi. Oleh hal yang demikian, wakaf adalah dasar ekonomi Islam yang amat praktikal dan produktif dengan matlamat memperkasakan ekonomi ummah dan kelak akan memberikan manfaat berterusan kepada manusia sejagat.

Encik Zainuddin  Mohd. Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP pula menjelaskan bahawa menerusi projek wakaf ini sudah tentu institusi yang menguruskan wakaf akan dapat meluaskan pembudayaan amalan sedekah jariah dalam kalangan umat Islam. Antara projek yang telah dilaksanakan di bawah projek wakaf khas ini termasuklah dapat menyalurkan dana kepada projek pengubahsuaian dan menambah kemudahan di masjid atau surau untuk dimanfaatkan oleh kariah setempat, projek Wakaf Khas Al-Quran Pendidikan untuk digunakan oleh warga sekolah dalam sesi pembelajaran, penganjuran program kerohanian dan lain-lain.

Berkaitan dengan kempen meningkatkan kesedaran wakaf kepada umum, PWM juga telah menjadikan bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan pada tahun ini sebagai bulan wakaf bagi mengimarahkan wakaf tunai dalam kalangan masyarakat. Walaupun Ramadan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, hal ini tidak bermakna kesungguhan masyarakat untuk menjayakan program wakaf akan terhenti pada bulan ini sahaja. Sumbangan wakaf masih diteruskan pada bulan seterusnya, tanpa had masa dan pelbagai kaedah yang lebih mudah juga diperkenalkan kepada umum bagi menjayakan projek wakaf khas ini.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini termasuklah Gerbang Sumbangan Sdn. Bhd. sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan projek wakaf khas ini. Sebelum majlis pelancaran dilaksanakan, para tetamu telah mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Azman dengan tajuk ceramah “Wakaf dan Zakat (WAZAT)”. Majlis turut menyampaikan sumbangan dan sedekah kepada anak-anak yatim kariah Masjid Al-Najihin.

.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.