Oleh Deeya Aqilah
21 April 2022, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan para pendakwah dan pengurus masjid di negeri Perlis agar sentiasa menjalankan fungsi dan peranan sebagai agen perpaduan ummah dengan penuh bertanggungjawab.

Titah baginda, keutamaan untuk menjaga perpaduan berdasarkan prinsip kebenaran hendaklah sentiasa dihayati serta menjadi nadi dalam sebarang gerak kerja yang dilaksanakan.

“Sebagai contoh, sesuatu penyampaian yang ingin dikongsi kepada masyarakat hendaklah bermanfaat dan positif serta konstruktif membina minda di samping memastikan terlebih dahulu akan fakta serta kesahihan kebenarannya, apatah lagi sekiranya boleh membawa kepada bibit perpecahan, maka eloklah dielakkan sama sekali.”

Demikian titah baginda menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Salehuddin Al Ayubi, Padang Besar (U) baru-baru ini.

“Oleh itu, MAIPs melalui Pelan Strategik 2021-2025 telah menyasarkan peranan Jawatankuasa Kariah Masjid termasuk para pendakwah agar bersama-sama MAIPs untuk merealisasikan segala hasrat dan cita-cita ke arah “Mengukuh Qiadah, Mengislah Ummah,” jelas baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang hadir sama mengiringi Tuanku Raja Muda menerangkan bahawa pihak MAIPs mengagihkan “Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs Tahun 2021” sebanyak RM1 020 000 kepada 102 buah kariah, melaksanakan “Agihan Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs” sebanyak RM21 776 386 untuk manfaat asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Perlis” dan “Agihan Ziarah Dakwah bil Hal MAIPs” melalui 102 buah kariah sebanyak RM594 000.

Beliau bersyukur kerana semua inisiatif ini dapat dilaksanakan hasil daripada sumbangan para penyumbang zakat.

“Mereka merupakan insan hebat yang menjadi tulang belakang dan kekuatan bagi MAIPs untuk terus berusaha keras bagi menggalas amanah dalam kutipan dan agihan zakat,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.