18 April 2022, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – “Semua warga institusi pengajian tinggi (IPT) harus merancang jadual kerja masing-masing dengan sebaik mungkin agar segala amalan yang dilaksanakan dalam bulan puasa ini mempunyai keberkatannya yang tersendiri. Kepada warga kerja, selain melaksanakan amalan kebaikan, perkara lain yang tidak kurang pentingnya adalah menjadi pekerja yang baik dan berdedikasi. Uruslah waktu bekerja dengan sebaik-baiknyanya. Manfaatkanlah waktu rehat tengah hari untuk melaksanakan lebih banyak tugasan agar kerja dapat disiapkan dengan lebih cepat. Tingkatkan semangat dalam bekerja sebagaimana bersemangat untuk bersedekah dan beramal bagi mencari keberkatan dalam rezeki yang diperolehi.”

Demikian titah Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Iftar Perdana IPT Perlis 2022 yang diadakan di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra pada petang semalam. Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Sumbangan Ihya’ Ramadan MAIPs kepada UiTM Cawangan Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, KUIPs dan UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis gabungan IPT di Perlis, iaitu UiTM Cawangan Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, KUIPs dan UniMAP selaku tuan rumah mengikut gilirannya pada kali ini. Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Dr. Ts Zaliman Sauli serta kepimpinan tertinggi IPT terbabit.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan golongan pelajar supaya mengurus jadual belajar masing-masing dengan sebaik-baiknya. Peruntukkan masa untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun dalam  kesibukan mengerjakan amalan sunat Ramadan. Baginda menzahirkan bahawa berpuasa bukanlah alasan untuk bersenang-senang dan bermalas-malasan sehingga memberikan kesan kepada pengajian. Tugasan yang diberikan oleh pensyarah mestilah disiapkan dalam waktu yang ditetapkan dan yang paling penting, tingkatkan fokus dan dalami ilmu pengajian dengan sebaik-baiknya.

Dalam majlis tersebut, selain solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah, turut diadakan simbolik penyerahan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), iaitu Sumbangan Ihya’ Ramadan untuk keempat-empat IPT yang terlibat selain turut dipersembahkan sumbangan zakat warga IPT dengan potongan gaji melalui MAIPs. Bagi tujuan untuk membantu warga IPT yang berkeperluan, MAIPs turut melaksanakan inisiatif mewujudkan Tabung Pengurusan Zakat IPT yang dapat dimanfaatkan oleh warga IPT khususnya dalam membantu pelajar dari kalangan asnaf.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan  solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah dalam Majlis Iftar Perdana IPT Perlis 2022.

Terdahulu daripada itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Lt. Kol. Prof. Dr. Ts Zaliman mempersembahkan ucapan merafak sembah tahniah atas 22 tahun pemasyhuran DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis yakni sejak 17 April 2000 dan mendoakan semoga baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis serta seluruh usrah kerabat Diraja dilimpahkan panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah swt.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.