2 April 2022, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bertemakan “Ramadan Dirai, Ukhuwah di Hati”, pelancaran sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022M bersamaan 1443H bersama-sama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah berlangsung semalam di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada peringkat agensi agama persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan seluruh agensi akan digerakkan untuk melaksanakan program pengimarahan Ramadan yang melibatkan pelbagai program seperti program imarah masjid dengan solat jemaah dan tarawih, program turun padang menyediakan juadah berbuka puasa, serta menyantuni asnaf dan fakir miskin. Program ilmu pula bakal diperhebat melalui saluran TVAlhijrah Penyiaran JAKIM, Radio IKIMfm dan pelbagai saluran media sosial yang lain.

(Sumber: Facebook JAKIM)

Pelancaran sambutan Ihya’ Ramadan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bulan Ramadan pada tahun ini berbeza daripada dua tahun sebelum ini kerana negara kini sudah berada pada fasa peralihan ke endemik.

“Satu inisiatif utama yang akan difokuskan pada tahun ini ialah program Tadarus al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pihak JAKIM akan menerbitkan satu risalah dengan menghimpunkan 10 ayat tema penting yang menjadi tunjang kehidupan seorang Islam tanpa mengira taraf kedudukan kita,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran sambutan tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dr. Sirajuddin Suhaimee, Pengarah Bahagian, ketua agensi agama dan para tetamu jemputan yang lain.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.