29 Mac 2022, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aspek kepimpinan dalam Islam merupakan tunjang terpenting dalam sesebuah negara. Hal ini bertanggungjawab bagi memastikan tadbir urus negara mengikut prinsip asas yang digariskan oleh Islam, dan seterusnya memenuhi dan memelihara hak asasi masyarakat. Dalam hal itu, pendekatan kepemimpinan yang dipilih harus tepat dan menjadi keutamaan setiap pemimpin agar agenda pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa penyelewengan, salah guna kuasa dan korup. Perkara ini amat penting untuk membina kepercayaan masyarakat awam yang meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang bertanggungjawab bagi mengurus tadbir negara yang tercinta seperti Malaysia.

Kepemimpinan menurut Islam mempunyai dua hubungan yang berlangsung serentak, iaitu mematuhi ketetapan Allah SWT dan memenuhi kepentingan masyarakat awam. Menjelas lanjut perihal dua hubungan tersebut seperti yang Allah SWT rakamkan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103, Dr. Muhammad al-Sayyid Yusuf dalam bukunya, Manhaj al-Quran al-Karim fi Islah al-Mujtama‘ menyatakan bahawa semangat pengislahan masyarakat amat bergantung pada pendekatan kepemimpinan yang memelihara dua hubungan tersebut, iaitu patuh pada perintah Allah SWT dan memenuhi kehendak rakyatnya. Hal ini dapat membantu pemimpin melaksanakan pendekatan yang harmoni dari segi pandangan sarwa tadbir urus kemasyarakatan yang mempunyai kepelbagaian, dan diikuti dengan kefahaman Islam yang syumul berteraskan nilai Qurani seperti keadilan, keilmuan, kemanusiaan, kebersamaan dan kesaksamaan.

Jika disorot sejarah kepemimpinan dan keperibadian Nabi Muhammad SAW, gaya kepemimpinan Baginda berada dalam dua lingkungan hubungan yang dinyatakan tersebut. Bahkan, kesyumulan nilai Qurani seperti keadilan, keilmuan, kemanusiaan, kebersamaan dan kesaksamaan merupakan prinsip utama kepimpinan Baginda ketika di Makkah dan Madinah.

Sebagai contoh, mengambil kira keselamatan nyawa masyarakat awam lebih utama, Nabi Muhammad SAW menunjukkan pendekatan terbuka menerima pendapat ahli mesyuarat apabila berlaku percanggahan pendapat bagi menentukan lokasi peperangan Uhud. Terdapat dua pandangan antara Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat bagi menentukan lokasi peperangan sama ada di dalam atau di luar kota Madinah. Akhirnya, Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan cadangan lokasi peperangan di Bukit Uhud, iaitu di luar kota Madinah yang bertujuan untuk tidak mendatangkan risiko kepada nyawa masyarakat yang tidak terlibat dalam peperangan. Amat jelas bahawa kepemimpinan Baginda mementingkan nilai kesejahteraan awam sebagai penentuan utama dalam membuat keputusan.

Prinsip kepemimpinan dalam Islam harus mematuhi ketetapan Allah SWT di samping memenuhi kehendak masyarakat.

Dalam contoh yang lain dapat dilihat kaitannya dengan prinsip keadilan untuk semua. Suraiya Ishak, dalam artikelnya yang bertajuk “Model Kepemimpinan Etika Berlandas Sirah Nabi Muhammad SAW” menyatakan bahawa Rasulullah SAW seorang manusia yang sangat adil. Ketegasan Baginda dalam menegakkan keadilan dapat dipelajari daripada kisah berkaitan dengan hukuman bagi seorang wanita Bani Makhzum yang terlibat dengan perbuatan mencuri. Rasulullah SAW telah menyatakan pendirian tegas Baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anha yang bermaksud, “Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian disebabkan apabila ada seorang yang terpandang antara mereka mencuri, mereka membiarkannya begitu sahaja. Akan tetapi, jika seorang daripada mereka yang lemah (iaitu rakyat biasa) mencuri, maka mereka menegakkan hukuman baginya. Demi Allah, jika sahaja Fatimah puteri Muhammad mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya!”

Namun begitu, dua elemen ini semakin hilang dalam aspek kepimpinan pada hari ini. Lebih malang, istilah “kepimpinan Islam” hanya lancar di bibir tetapi semakin kabur dalam perlaksanaan pada semua peringkat pentadbiran negara mahupun organisasi. Profesor Dr. Shukeri Muhammad berpendapat bahawa sistem kepimpinan Islam, khususnya dalam sistem politik di Malaysia telah menyebabkan pelbagai pihak mempunyai pandangan yang salah, mencurigakan dan menakutkan. Hasilnya kepimpinan dengan nilai Islam yang mengangkat prinsip ketuhanan dan mengiktiraf hubungan kemanusiaan dilihat gagal membawa pembangunan umat secara menyeluruh dan komprehensif. Lantaran itu, kebejatan gejala buruk dalam masyarakat serta berlakunya krisis kepimpinan yang menyebabkan keruntuhan kepercayaan dalam memelihara nilai kemanusiaan merupakan akibat kerosakan faham kepimpinan yang sebenar, dan akhirnya turut memberikan kesan terhadap pembangunan insan, keadilan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Atas kesedaran itu, Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, mantan Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam karya agungnya, Islam dan Melayu Martabat Umat dan Daulat Rakyat menulis satu bab khusus bertajuk “Pemberdayaan Umat: Kembalikan Daulat Keinsanan Rakyat”. Beliau menegaskan bahawa pembangunan ummah hanya boleh terlaksana dengan asas pemikiran intelektual yang kuat yang mesti disulam dengan semangat islah dan tajdid yang mengangkat martabat keinsanan. Maka dengan itu, dimensi al-ta’sil (pengakaran semula pada prinsip dan nilai kewahyuan) dan al-tahdith (pembaharuan dan pengemaskinian sesuai dengan realiti masa ini dan masa depan) menjadi elemen terpenting yang mesti diberikan perhatian dalam pendekatan kepemimpinan mengikut model Nabi Muhammad SAW.

Kesedaran terhadap nilai keinsanan ini kemudiannya terungkap dalam pelbagai ekspresi jati diri sesebuah masyarakat seperti maruah, harga diri dan hak asasi. Tidak dinafikan wujud sebahagian golongan yang menyalahtafsirkan martabat keinsanan ini, lalu mereka bersikap ghuluw atau melampau sehinggakan tiada nilai pada diri mereka kerana bersekongkol dengan kemungkaran sosial dan bermaksiat sehingga menggugat nilai tauhidik bertuhan.

Maka dengan itu, penting pemimpin masa ini memberikan perhatian terhadap pembangunan masyarakat dengan menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan nilai kemanusiaan dan mengangkatnya ke maqam karamah insaniah seperti yang terakam dalam Surah al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud, “Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”, di samping turut memenuhi citra “sebaik-baik penciptaan” seperti dalam Surah al-Tin ayat 4 bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Mengulas lanjut dua ayat ini, Imam Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya, al-Tahrir wa al-Tanwir menegaskan bahawa kemuliaan penciptaan manusia melebihi ciptaan makhluk Allah SWT  yang lain telah melayakkan mereka ini untuk mentadbir dunia dan seisinya berprinsipkan keadilan dan kesaksamaan dalam kepelbagaian, bukan berteraskan prejudis dan perbezaan warna kulit, agama mahupun bahasa. Maka itu, kepimpinan yang mengangkat nilai keinsanan pada hari ini harus didokong dan diperdanakan wacananya sementelah pandemik COVID-19 yang secara langsung telah menggugah kemuliaan martabat manusia melalui krisis kesihatan seperti sakit mental dan bunuh diri dan juga krisis kekeluargaan dengan kes perceraian yang tinggi. Pemimpin yang waras tidak akan membiarkan perkara ini berleluasa untuk tempoh yang lama.

Maka itu, penting bagi masyarakat mempunyai kefahaman yang jelas lalu bertindak dengan memilih pemimpin yang mempunyai iltizam yang tinggi dalam mengiktiraf serta memelihara kemuliaan insan terbanyak, bukan melalui lensa perbezaan kaum dan agama. Pengiktiran dan pemeliharan kemuliaan insan merupakan keutamaan yang terangkum dalam lima objektif maqasid syariah seperti yang pernah dipertontonkan dalam kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.