25 Mac 2022, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diamanahkan dengan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara melalui penguatkuasaan undang-undang. PDRM ditubuhkan apabila termaktubnya Piagam Keadilan di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807. Namun begitu, sejarah mencatatkan peranan polis telah wujud pada zaman Kerajaan Kesultanan  Melayu. Ketika  itu,  institusi  Temenggung  yang  dibantu  oleh  para  hulubalang diberikan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang syariah dan adat.

Sejarah pula membuktikan bahawa tugas kepolisian telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Menurut Imam al-Bukhari, daripada Anas bin Malik, menceritakan bahawa Qais bin Saad pernah dilantik sebagai ketua keselamatan di Kota Madinah oleh Rasulullah SAW sebagaimana mafhumnya yang bermaksud, “Qais bin Saad pernah berada di hadapan Nabi SAW dengan tugasnya sebagai penjaga keselamatan pemerintah.”

Ketika Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. menjadi khalifah, beliau telah menyusun struktur pentadbiran demi memastikan kelicinan jentera pemerintahan dengan mewujudkan sebuah pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan orang awam. Bahkan, beliau sendiri turut serta dalam operasi rondaan pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyat, dan menjaga keselamatan serta kebajikan mereka. Hal ini bermaksud bahawa dalam sistem pemerintahan Islam, polis ialah institusi yang diwujudkan dengan peranan untuk menguatkuasakan undang-undang serta menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Peranan polis amat penting dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam.

Negeri Perak mempunyai bilangan penduduk sekitar 2.51 juta orang, berbanding dengan 9820 orang anggota polis pelbagai pangkat dan jawatan yang ditempatkan di Kontinjen Polis Perak; dengan meletakkan nisbah seorang anggota polis ditugaskan kepada 256 orang awam. Tugas polis bukan sekadar mencegah jenayah, tetapi juga berperanan mengawal ketenteraman awam setiap kali ada perayaan, pesta, perhimpunan, bencana mahupun kemalangan, di samping mendapatkan pelbagai maklumat dan risikan tentang kegiatan subversif oleh musuh negara atau mereka yang berniat untuk melakukan kekacauan.

Sepanjang tahun 2021, Polis Perak menerima 8647 laporan dengan purata 24 laporan setiap hari. Setiap laporan perlu diberikan perhatian untuk penyediaan kertas siasatan, pelaksanaan siasatan, dan jika cukup bukti, kes tersebut perlu dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan. Dalam urusan mahkamah, anggota polis diperlukan untuk melakukan pelbagai tugas, daripada mengawal orang yang kena tuduh dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat tahanan ke mahkamah, disoal jawab oleh pendakwa dan peguam bela di kandang saksi, menjaga keselamatan mahkamah dan pelbagai tugas lain.

Apabila berlaku kesesakan lalu lintas, anggota polis dibakar terik matahari dan kebasahan dek hujan ketika bertugas di jalan raya. Ketika rakyat menikmati juadah berbuka puasa, berpakaian indah menyambut hari-hari perayaan bersama-sama keluarga, anggota polis berbuka puasa dan menyambut perayaan dalam kereta peronda, dalam bot peronda yang dilambung ombak, bertugas di pinggir bangunan, pagar, jalan, bukit, belukar dan hutan.

Ketika mengurus bencana, anggota polis tidak mengenal waktu tidur, lapar dan dahaga, malah ada yang tidak berpeluang untuk mandi dan bertukar pakaian hingga berhari-hari. Demikian berat tugas anggota polis terhadap masyarakat dan negara. Dalam kalangan mereka, ada yang cedera, dan ada yang kehilangan nyawa semasa menjalankan tugas. Pengorbanan mereka secara tidak langsung turut sama dilakukan oleh anggota keluarga.

Masyarakat tidak boleh bersikap sepi, membisu, memejamkan mata, memekakkan telinga, meletakkan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara kepada pasukan polis sepenuhnya. Anggota masyarakat hendaklah tampil ke hadapan membantu tugas polis untuk membanteras jenayah dengan menjadi mata dan telinga pihak  polis, menyampaikan maklumat berkaitan dengan perkara yang dilihat mencurigakan dalam persekitaran tempat tinggal, kawasan perniagaan dan tempat kerja bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam ayat 2, Surah al-Maidah yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan dan janganlah kamu saling membantu pada perkara dosa (maksiat) dan permusuhan.”

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ رَاىَ مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيْمَانِ.

Maksudnya: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa), sekiranya dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan (percakapan dan penulisan), sekiranya dia tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hati, yang demikian adalah selemah-lemah iman.”

(Hadis riwayat Muslim)

Hubungan polis dan rakyat laksana aur dengan tebing yang saling membantu, saling memerlukan dan mengukuhkan antara satu sama lain. Kerjasama pasukan polis dan masyarakat yang berjaya dijalinkan secara erat akan dapat membantu usaha membasmi jenayah secara lebih berkesan, dan rakyat akan hidup dalam suasana lebih tenteram dan keselamatan negara akan lebih terjamin. Terdapat lima perkara yang boleh dilakukan oleh masyarakat bagi membantu tugas polis, iaitu:

Pertama: Segera laporkan kepada pihak polis jika terdapat perkara pelik yang meragukan. Makluman awal sangat membantu polis dalam tugas membanteras dan membendung jenayah.

Kedua: Memastikan nombor talian kecemasan dan bilik gerakan polis yang beroperasi 24 jam, disimpan dalam telefon peribadi, serta dipamerkan di tempat awam seperti perhentian bas, stesen kereta api, lapangan terbang, masjid, dewan orang ramai, hospital dan sekolah bagi memudahkan laporan secara pantas boleh dibuat.

Ketiga: Melibatkan diri dalam program pencegahan jenayah anjuran pihak polis.

Keempat: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Jawatankuasa Masjid, Pertubuhan Belia dan badan sukarela hendaklah mempergiat kerjasama dengan  pihak  polis  dan  membantu  polis  dalam tugas pencegahan jenayah.

Kelima: Menunjukkan penghargaan kepada anggota polis dengan menghulurkan pertolongan dan bantuan bagi membolehkan mereka bertugas dengan lebih cekap, dalam bentuk yang dibenarkan oleh perkhidmatan dan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Umat Islam diseru agar berpegang pada akidah Islamiyah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan  Allah  SWT  dan  sesama  manusia.  Eratkan  persaudaraan sesama Muslimin. Makmurkanlah rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabb al-‘alamin! Tautkanlah hati kami bersama, agar saling membantu melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Berilah perlindungan kepada anggota pasukan keselamatan dan limpahkan rahmat ihsan-Mu kepada para anggota yang telah terkorban sewaktu menjalankan tugas. Terimalah khidmat bakti mereka dengan melimpahkan mereka dan keluarga mereka ganjaran dunia dan akhirat. Tabahkan hati mereka ketika bertugas dan cekalkan hati ahli keluarga mereka yang turut menghadapi dugaan.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Teguhkanlah iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Qahhar ya Jabbar! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 25 Mac 2022, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada: Menggalas Tanggungjawab Keamanan Bersama”, Jabatan Agama Islam Perak)

Sumber Foto: Wan Zawati Wan Ismail dan Mohamad Mohd Nor

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.