24 Mac 2022, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru masyarakat Perlis supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuh dan meneguhkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

“Pegangan Islam di negeri Perlis harmoni untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama. Islam yang diajar di negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama.

“Pendekatan Islam yang diajar di masjid, sekolah dan kepada rakyat jelata hendaklah bebas daripada unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama.

“Sehubungan dengan itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis dan agensi agama di Perlis hendaklah diperkasakan agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan agensi lain di negeri Perlis ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah dan Menghafal al-Quran Peringkat Negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Baginda turut bertitah, amalan membaca dan menghafal al-Quran perlu dijadikan rutin dalam kehidupan seharian oleh semua rakyat yang menetap dan bekerja di Perlis. Dalam pelaksanaan ibadat seharian, pegangan di Perlis tidak taasub kepada mana-mana mazhab fiqah, tetapi sentiasa berusaha menepati al-Quran dan sunah.

Johan qari dan qariah bagi kategori tilawah al-Quran.

Pada majlis tersebut, johan qari bagi tilawah al-Quran disandang oleh Khalil Khusairi Zainol, manakala johan qariah disandang oleh Siti Aishah Md Arif. Kedua-dua peserta bakal mewakili negeri Perlis ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada bulan Jun nanti di Johor.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis,  DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid;  Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.