11 Mac 2022, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Wanita mula disambut sejak tahun 1908, rentetan daripada bantahan sekumpulan wanita di Amerika Utara yang menuntut hak mengundi sewaktu berlangsungnya pilihan raya; disusuli tuntutan lain seperti diberikan kesaksamaan hak dalam segenap bidang merangkumi ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan kebudayaan.

Di negara kita, Sambutan Hari Wanita bertemakan “Saksama Bersama” telah diadakan pada 6 hingga 8 Mac lalu, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap pentingnya mencapai kesaksamaan bersama, demi memastikan kebolehan dan keupayaan wanita terus ditingkatkan agar dapat berperanan membantu membangunkan negara.

Sesungguhnya Islam telah memberikan pengiktirafan terhadap wanita jauh lebih awal. Pada zaman jahiliah, wanita dipandang hina dalam keluarga dan masyarakat; dianggap sebagai beban, dan ada pula yang dijadikan bahan dagangan untuk memenuhi keperluan nafsu lelaki. Rasulullah SAW telah berusaha membawa wanita keluar daripada kegelapan masyarakat Arab Badawi dengan menegaskan bahawa wanita ialah kunci keamanan dan kestabilan sekiranya mereka diberikan maruah, penghormatan dan hak yang saksama. Islam memberikan hak kepada wanita untuk menolak pinangan, menuntut cerai, memiliki harta dan mewarisi pusaka. Islam mengangkat tinggi martabat wanita, termasuklah memberikan beberapa peranan penting, sesuai dengan keadaan dan kekuatan lahiriah mereka.

Sejarah memperlihatkan wanita bukan sahaja dimuliakan malah turut diberikan ruang untuk berperanan penting dalam masyarakat. Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia, beberapa orang tokoh wanita Islam yang disenaraikan di bawah wajar dijadikan teladan oleh wanita dalam meningkatkan tahap kehidupan mereka.

Sayidatina Khadijah: Seorang ahli perniagaan wanita yang cekal dan berjaya dalam dunia perniagaan, merupakan insan pertama yang menerima Islam dan berperanan memberikan ketenteraman, keyakinan dan kekuatan kepada Rasulullah SAW untuk menyebarkan dakwah Islamiah.

Sayidatina Aisyah: Terkenal dengan kepintaran menguasai ilmu dalam bidang-bidang fikah, faraid dan tafsir, serta memiliki watak kepimpinan yang melatih dan mendidik para wanita sezaman dan menjadi sumber rujukan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Khawlah Azwar: Seorang pahlawan dan pejuang yang terkenal kerana keberaniannya sehingga banyak yang tidak menyedari bahawa beliau bukan seorang lelaki dan beliau menyertai angkatan perang Islam bagi memerangi tentera Bizantin dalam Perang Yarmouk pada tahun 636.

Rufaidah al-Aslamiyyah: Memperkenalkan peranan jururawat 1200 tahun sebelum munculnya Florence Nightingale. Rufaidah melatih wanita Islam, dan menyusun pasukan penyelamat di medan perang. Beliau meminta Rasulullah SAW menyediakan khemah di dalam Masjid Nabawi sebagai tempat memberikan khidmat dan melatih jururawat.

Sumayyah Khayyat: Orang yang pertama mati syahid setelah diseksa oleh Abu Jahal, disebat di bawah terik matahari sehingga melepuh kulit, kemudiannya ditikam dengan tombak kerana cekal berpegang kepada kalimah tauhid, “La ila ha ilallah, Muhammadur Rasulullah”.

Nusaybah Ka’ab al-Ansariyyah: Dikenali sebagai Ummu ‘Ammara dan merupakan tentera wanita pertama dalam Islam yang mengambil bahagian dalam Perang Uhud. Nusaybah menggunakan tubuhnya sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah SAW.

Ummu Salamah: Berperanan sebagai penasihat Rasulullah SAW semasa rundingan Perjanjian Hudaibiyah bagi membantu Baginda menyelesaikan masalah.

Fatimah al-Fihri: Seorang wanita berpendidikan tinggi daripada keluarga hartawan yang mendirikan Universiti al-Qarawiyyin di Morrocco, iaitu universiti pertama dan tertua di dunia.

Lubna: Seorang penulis, penyair, ahli sains dan matematik, berasal daripada seorang hamba, kemudiannya berperanan sebagai setiausaha kepada Khalifah Abdul Rahman III dan anaknya al-Hakam bin Abdul Rahman, pada zaman Khalifah Umayyah di Cordoba, bertanggungjawab menguruskan perpustakaan diraja yang mengandungi lebih lima ratus ribu naskhah buku, menulis dan menterjemahkan manuskrip, serta berperanan menubuhkan Perpustakaan al-Andalus.

Rabiatul Adawiyah: Anak yatim piatu pada usia begitu muda dalam keluarga yang sangat miskin, dan ketiga-tiga kakaknya juga meninggal dunia kerana kebuluran yang melanda Iraq, lalu Adawiyah dijual sebagai hamba. Selepas dimerdekakan, beliau mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mengasaskan ajaran sufi “Cinta Allah” yang menekankan kasih sayang kepada Allah SWT.

Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah SWT; masing-masing mempunyai tanggungjawab menyempurnakan fardu ain dan fardu kifayah. Allah SWT tidak meletakkan perbezaan jantina dalam mengukur tingkat keimanan hamba-Nya. Kehidupan yang baik dan ganjaran kebaikan akan diberikan secara adil mengikut amal yang dilakukan. Lelaki dan wanita ialah gandingan yang melengkapi, saling menolong dalam melaksanakan tanggungjawab serta saling menjaga dan melindungi untuk kesejahteraan bersama. Firman Allah SWT dalam surah al-Tawbah ayat 71:

Maksudnya: Dan, orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan mencegah daripada berbuat kejahatan, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

Sebagai pemimpin dalam keluarga, janganlah wanita dikhianati dan ditindas, sebaliknya berpegang teguh dengan amanah yang diberikan selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

 

Ertinya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku ialah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan-keburukannya).

(Riwayat Al-Tirmizi)

Sehubungan dengan itu, Muslimin diberikan peringatan untuk melaksanakan perkara berikut:

Pertama: Menjaga dan memelihara kehormatan wanita dengan memastikan pelibatan mereka disulami dengan adab dan akhlak Islam serta tidak menyalahi peraturan dan syariat Allah SWT.

Kedua: Mengiktiraf kebolehan dan keupayaan wanita agar mereka sama-sama dapat memberikan sumbangan tenaga dan fikiran untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Ketiga: Menghargai wanita kerana mereka dikurniakan naluri kasih sayang dan kasihan belas yang tinggi, yang sangat diperlukan untuk mengasuh dan membimbing anak-anak dalam hasrat membentuk generasi ulul albab.

Keempat: Menginsafi bahawa wanita memikul beban tanggungjawab lebih berat dalam kehidupan berkeluarga, bermula daripada dirinya mengandung, melahirkan, menyusukan, membesarkan sehinggalah mendidik dan mendewasakan anak.

Selain itu, Muslimin juga diberikan peringatan terhadap perkara berikut:

Ya Allah, Ya Rabbal ’alamin!, jadikanlah para Muslimah kami wanita solehah, mendirikan solat, mentaati ibu bapa dan suami, menutup aurat, menjaga maruah keluarga, bersyukur dan reha dengan apa-apa yang ada, serta dihindari daripada segala tipu daya dan mara bahaya.

Ya Razzaq, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniailah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalaali Wal Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalikal Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 Mac 2022, “Saksama Bersama: Wanita dan Lelaki Saling Melengkapi”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.