11 Mac 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
KangarMajlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa mengupayakan usaha untuk memajukan sektor pendidikan melalui perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakannya. Melalui Ahli Jawatankuasa Pelajarannya, MAIPs sentiasa memikirkan kaedah dan cara terbaik bagi membantu meningkatkan lagi kualiti dan impak pendidikan kepada masyarakat secara umumnya dan asnaf di negeri Perlis khususnya.

Cita-cita dan hasrat MAIPs dalam memajukan sektor pendidikan akan terlaksana dengan izin Allah melalui perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakannya.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Shahrani, Behor Lateh.  Penerima masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan  diagihkan oleh amilnya, Mohizan Mohamad.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs kepada golongan asnaf.

Untuk meningkatkan kualiti pendidikan, Tuanku Raja Muda menitahcadangkan supaya sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah mengalami reformasi dan keluar daripada “kepompong” yang bersifat tradisi dan statik. Hal ini demikian kerana dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini, pihak sekolah juga perlu menggalakkan pelajar mengemukakan lebih banyak idea dan pandangan mereka.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra,
“Pertandingan, pameran atau apa-apa jua bentuk medium yang melibatkan kreativiti dan idea seperti reka cipta robotik, laman web, permainan, dan sebagainya, perlu diadakan dengan lebih kerap lagi bagi membuka minda dan menyalurkan lebih banyak bakat dan kemahiran pelajar. Secara tidak langsung, sekolah dan warga pendidik tidak lagi hanya bergantung kepada buku teks sepenuhnya tetapi akan lebih terbuka untuk melatih pelajar mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.