10 Mac 2022, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peletakan Asas Kiblat bagi Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini. Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Tuanku Pro-Canselor UniMAP.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peletakan Asas Kiblat bagi Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam UniMAP.

Projek tersebut bertujuan untuk membangunkan kompleks pusat Islam dan masjid yang mengandungi pejabat dan bangunan sokongan yang baharu di UniMAP. Menurut Wakil Pegawai Penguasa Utama Projek, Pasukan Projek Persekutuan Negeri Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis, projek itu akan dapat menampung keperluan tempat beribadat khusus untuk para pelajar dan kakitangan UniMAP secara khasnya dan penduduk sekitar secara amnya.

Banyak keistimewaan bakal diperoleh melalui pelaksanaan projek tersebut. Antaranya ialah masjid yang akan dibina akan menyediakan ruang solat berkapasiti 3000 jemaah dengan keluasan 4158 meter persegi. Pusat Islam pula berkeluasan 1904 meter persegi. Pembinaan masjid dan kompleks pusat Islam itu adalah bercirikan konsep seni bina Islam terkemuka seperti Ottoman, Parsi, Mughal India, Mesir serta Moor berartikulat Afrika Utara dan sebahagiannya ialah reka bentuk dari Sepanyol dan Portugal.

Keunikan reka bentuk masjid yang bakal dibina ini adalah terletak pada 12 binaan kubah dan dua kekubah (vaults) yang belum ada lagi di mana-mana masjid di negeri Perlis ini. Sebanyak 12 binaan kubah itu adalah signifikan dengan sejarah agama Islam yang telah mula bertapak di negeri Perlis sejak akhir abad ke-12.

Kontraktor yang diamanahkan untuk melaksanakan projek tersebut ialah Gabongan Pemborong Bumiputra Perak Berhad. Sebelum berangkat pulang, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga merupakan Canselor UniMAP menitahkan kontraktor tersebut agar menyiapkan kompleks berkenaan selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2024 seperti yang dipersetujui dengan menitikberatkan aspek kualiti. Hal ini demikian kerana tiada kompromi dalam soal isu keselamatan para penggunanya kelak.

Turut hadir dalam Majlis Peletakan Asas Kiblat bagi Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam UniMAP ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin  dan Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.