9 Mac 2022, 21:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Bertempat di Hotel Movenpick, Sepang, telah berlangsungnya Persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022. Persidangan yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Mac 2022 ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan bertemakan “Koperasi Kariah Masjid Pemangkin Ekonomi Ummah”.

Kerjasama strategik antara JAKIM dengan MEDAC ini adalah bertujuan untuk membangunkan Koperasi Kariah Masjid dan para usahawan Muslim demi memajukan ekonomi ummah. Persidangan pada kali ini dihadiri oleh 420 orang ahli koperasi serta pegawai masjid dari seluruh negara. Berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga 30 Jun 2021 sebanyak 462 buah Koperasi Kariah Masjid telah didaftarkan dengan keahlian seramai 380 000 orang dan melibatkan jumlah aset melebihi RM29 juta, serta nilai perolehan pada tahun 2021 bernilai RM9.53 juta.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini padat dengan pelbagai program dan aktiviti buat para peserta. Antaranya termasuklah Sesi Bual Bicara Tokoh bersama Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Muhammad Sabri Haron dan Pengerusi Koperasi Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya, Dato’ Lamien Sawiyo, dan Pembentangan Resolusi Persidangan Koperasi Kariah Masjid 2022 oleh Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah.

Majlis perasmian dan penutup persidangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad ketika menyempurnakan majlis penutup Persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

Dalam ucapan beliau, Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad berkata, masjid amat sinonim dengan kehidupan umat Islam sebagai pusat ibadat dan pentadbiran hidup. Oleh itu, masjid mesti muncul sebagai institusi yang menjadi “One Stop Centre” bagi perkhidmatan kepada masyarakat termasuklah aspek pengukuhan ekonomi umat Islam.

“Walau bagaimanapun, cabaran besar bagi Koperasi Kariah Masjid adalah untuk memastikan kelestariannya dan kekal berdaya saing dan berkembang, serta relevan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau mencadangkan JAKIM dan pihak MEDAC mengadakan perjumpaan secara berkala antara Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri, Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dengan lain-lain pihak berkepentingan bagi memastikan peranan masing-masing dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.