7 Mac 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Minggu al-Quds Sedunia mula diraikan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2017. Pada tahun ini, sekali lagi negara kita meraikannya dengan pelbagai program di seluruh negara sehinggalah majlis kemuncak sambutannya diadakan di Auditorium Kompleks Islam, Putrajaya, semalam. Majlis Kemuncak Sambutan Minggu al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Aid4Palestine.

Majlis yang berlangsung selama sejam lebih itu mempunyai beberapa segmen. Antaranya termasuklah persembahan nasyid daripada kumpulan Inteam, deklamasi puisi oleh Bonda Nor dan Tuan Haji Rafi yang bertajuk “Dua Puluh Ringgit” karya Bonda Nor dan yang menariknya slot khas yang dinamakan “Apa Khabar al-Quds?” bersama dengan aktivis kemanusiaan yang menetap di Palastine, Tuan Muhammad Nadir al-Nuri. Dalam slot tersebut, beliau berkongsi pengalaman tentang perjuangan rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka daripada penceroboh dan situasi semasa keadaan di Palestin.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa usaha membebaskan al-Quds bukan tanggungjawab Palestin dan bangsa Arab semata-mata, tetapi juga merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam.

“Oleh itu, menjadi kewajipan kita untuk menyumbang dalam apa-apa jua cara untuk membebaskan al-Quds dan masjidilaqsa daripada terus dinodai oleh Yahudi Israel Zionis,” katanya.

Sumber: Facebook Aid4PalestineSebagai tanda solidariti, kerajaan melalui Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) – Yayasan Waqaf Malaysia telah memperuntukkan RM500 000 kepada Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia. Beliau juga menyatakan dalam usaha memupuk kesedaran berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan al-Quds, JAKIM dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menjadi sekretariat bersama dengan pihak AID4Palestin bagi menganjurkan sambutan Minggu al-Quds ini sebagai program tahunan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Datuk Hajjah Hakimah Mohd Yusuf dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.