17 Februari 2022, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain)  antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberikan rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Rasuah bermaksud menerima atau memberikan suapan dalam bentuk wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan atau diskaun sebagai dorongan kepada seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan dengan tugas yang diamanahkan. Melakukan rasuah merupakan satu jenayah dan perbuatan dosa yang wajib dijauhi.

Jenayah rasuah tidak sekadar menghakiskan nilai moral, maruah diri, dan etika kerja malah boleh merosakkan pentadbiran, memusnahkan bangsa dan meruntuhkan negara. Sangat membimbangkan, jenayah rasuah yang berlaku di negara ini dilaporkan semakin meningkat. Berdasarkan data Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 833 tangkapan telah dilakukan di antara Januari hingga November tahun 2021. Pada hakikatnya, jenayah rasuah dipercayai berlaku lebih tinggi daripada angka tangkapan tersebut. Pelaku rasuah terdiri daripada petugas sektor awam dan sektor swasta, termasuk dalam kalangan pengurusan tertinggi dan profesional, serta pemimpin politik. Jenayah rasuah merupakan barah yang sedang membiak kerana terdapat pihak yang telah dipengaruhi oleh sikap haloba sehingga bersedia menggadaikan maruah dan harga diri untuk mendapat keuntungan peribadi bersifat sementara.

Pelbagai undang-undang digubal, pelbagai peringatan diulangi, pelbagai langkah pencegahan dan tangkapan dilakukan, namun masih terdapat orang-orang yang luntur ketahanan diri dan iman ketika disogok, manakala mereka yang terdesak mahukan sesuatu, sanggup menyogok pihak tertentu dengan memberikan rasuah. Islam menegah perbuatan rasuah sama ada perbuatan menerima begitu juga memberi, termasuklah mereka yang bersubahat. Sabda Muhammad Nabi SAW melalui Sayidina Abdullah bin ‘Amru radiallahuanhuma:

Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.

(Hadis riwayat Abu Dawud, no. 2943)

Barah rasuah yang sedang menular wajib segera diubati. Ayat 188 Surah al-Baqarah yang dipetik pada permulaan teks ruangan ini diakhiri dengan perkataan berikut:

Perkataan ini َyang membawa maksud (padahal kamu mengetahui salahnya), menunjukkan Allah SWT secara langsung memberikan peringatan bahawa orang-orang yang memberikan rasuah dan memakan harta dengan cara yang salah, sebenarnya sedia mengetahui perbuatan mereka itu salah.

Persoalan yang perlu dilontarkan ialah manusia sedar akan perbuatan rasuah atau mengambil sebahagian daripada harta manusia itu berdosa, namun mengapakah masih ada dalam kalangan manusia yang tergamak melakukan perbuatan keji tersebut? Oleh itu, manusia wajiblah sedar dan disedarkan bahawa tanpa iman yang kukuh, akal yang sihat, moral yang padu dan prinsip yang jitu, manusia mudah tergoda dengan umpan rasuah. Umat Islam hendaklah dididik dan diasuh untuk memiliki daya tahan dan kekuatan dalaman serta tidak mudah terjerumus dalam kancah rasuah.

Kajian beberapa orang penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengenai rasuah, merumuskan bahawa Etika Kerja Islam (EKI) merupakan faktor dalaman yang berupaya membentuk nilai kerohanian untuk menyemai sikap bertanggungjawab, amanah dan berdedikasi. Walaupun kehendak dan nafsu manusia tiada batasan, tetapi melalui ketakwaan, seseorang itu akan memiliki daya tahan yang tinggi untuk menolak rasuah kerana insaf akan tingkah laku mereka diperhatikan oleh Allah SWT.

Antara nilai Etika Kerja Islam (EKI) yang boleh diamalkan dan dijadikan pedoman ialah:

Pertama: Takwa – Niat bekerja untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan kesedaran terhadap adanya balasan pahala dan dosa serta ganjaran dunia dan akhirat.

Kedua Ihsan – Sikap rendah diri dan tidak tamak serta merasakan bahawa kerjanya dinilai oleh Allah SWT.

Ketiga: Amal soleh – Membudayakan amalan murni seperti memperbanyak pembacaan al-Quran, serta mendalami dan menghayati ilmu agama untuk meningkatkan keperibadian mulia.

Keempat: al-Birru  – Hubungan yang baik semasa bekerja melalui rundingan dengan berhikmah.

Kelima: al-Qistu  – Keadilan sebagai prinsip menjadikan diri tidak mudah menerima sebarang upah yang bukan milik sendiri.

Keenam: Mas’uliyah – Jawatan dan tanggungjawab bukan kemuliaan bahkan amanah Allah SWT yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.

Ketujuh: Ma’ruf – Berbudi bahasa dan berbudi pekerti mulia dalam setiap pekerjaan.

Kelapan: Itqan – Mematuhi segala tuntutan agama dengan baik dan tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh organisasi.

Demikian usaha membina kekuatan dalaman yang wajib diperkukuh agar mendorong manusia menjauhi rasuah dan menghindari kemungkaran. Pada masa yang sama, dari sudut pentadbiran dan perundangan, pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan hendaklah membuktikan kesungguhan memerangi dan menghapuskan rasuah, bermula dengan para pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik, para penguat kuasa melaksanakan tugas tanpa pilih kasih, serta para hakim dan mahkamah melakukan pengadilan berdasarkan hukum dan bukti tanpa gentar.

Sebagai masyarakat, semua pihak perlu mengambil berat dan memberikan perhatian terhadap perkara berikut:

Pertama: Rasuah ialah jenayah yang boleh menghancurkan bangsa dan meruntuhkan negara.

Kedua: Bersifat amanah serta berbudaya telus dan berintegriti dalam pekerjaan.

Ketiga: Amalkan nilai-nilai EKI sebagai dinding untuk menghindari maksiat dan kemungkaran.

Keempat: Jauhi rasuah dan jangan sesekali mula mengambil atau memberi atau bersubahat dengan mereka yang terlibat dalam rasuah walaupun dengan jumlah yang sedikit, kerana bara yang besar bermula dengan puntung yang kecil.

Kelima: Mengamanahkan kepimpinan dan tanggungjawab kepada orang-orang yang ikhlas, jujur dan amanah.

Sebagai umat Islam, kita diseru agar berpegang teguh kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin hingga hari ini. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah.

Umat Islam perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal ibadat bagi menghindarkan diri daripada sifat yang bertentangan dengan agama.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati, jauhilah kami daripada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, kerana perbuatan tersebut merupakan pengkhianatan kepada amanah yang diberikan.

Ya Allah, berkatilah hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan menghulurkan wakaf, kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhkanlah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran serta dihindari mereka daripada kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, berikanlah kami kebaikan serta keberkatan di dunia dan di akhirat; jauhilah kami daripada seksa azab api neraka.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Disember 2021, “Barah Rasuah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.