Oleh Fiza Fadzli
31 Januari 2022, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kehidupan di dunia yang penuh dugaan dan rintangan kadangkala menjadikan manusia seperti hilang pedoman. Pandemik yang melanda juga menjadi antara faktor penyumbang kepada masalah sosial dan ekonomi yang boleh membinasakan sekiranya tidak dikawal dengan bijaksana dan mengikut landasan iman. Institusi kekeluargaan juga terlibat, dan di sinilah peranan ibu bapa menjadi tunjang penting bagi memastikan anak-anak sentiasa terpelihara dan bebas daripada anasir negatif.

Penulisan ini memfokuskan tentang strategi yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa berinspirasi daripada pesanan Luqmanul Hakim yang diceritakan dalam al-Quran dan di luar kitab suci ini. Luqmanul Hakim merupakan seorang yang baik (soleh) yang diberikan kebijaksanaan oleh Allah SWT. Beliau hidup pada zaman Nabi Dawud a.s. sebagai seorang hakim yang tuntas ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam jawatan berkenaan. Gelaran al-Hakim yang bermaksud “bijaksana” bertepatan dengan keperibadian beliau yang memahami secara mendalam tentang erti dan tujuan kewujudan alam berpandukan cahaya kebenaran daripada Allah SWT. Oleh itu, kehebatan ini dapat kita tadabur dengan lebih mendalam menerusi Surah Luqman yang merupakan surah ke-31 dalam al-Quran.

Secara ringkas, umum difahami bahawa surah ini merekodkan hikmah yang dikurniakan Allah SWT kepada Luqman menerusi pesanan yang penting. Antaranya termasuklah merafakkan kesyukuran kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Kedua, larangan melakukan syirik, yakni menyekutukan Allah dengan apa-apa jua benda dan makhluk. Perbuatan ini merupakan kezaliman dan amat dimurkai oleh Allah. Pesanan lain yang termaktub dalam surah ini ialah kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa dan suruhan menegakkan amar makruf dan mencegah kebatilan. Pesanan penutup menekankan tentang aspek merendah diri, iaitu tidak bongkak semasa hidup di bumi yang ditumpangkan oleh Allah yang Maha Agung. Susunan peringatan ini sememangnya sangat berguna sebagai panduan buat manusia bagi menjalani kehidupan yang penuh cabaran, terutamanya pada zaman mutakhir ini.

Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya selain yang diceritakan dalam al-Quran boleh dibahaskan menerusi empat kategori utama, iaitu perihal keagamaan, rahsia kebijaksanaan Luqmanul Hakim, bicara ilmu dan perihal manusia yang boleh difahami oleh para ibu bapa dalam hal mendidik anak serta generasi mendatang. Pesanan ini secara asasnya berdasarkan ayat al-Quran daripada surah yang sama yang boleh digunakan oleh para ibu bapa untuk mendidik anak-anak berteraskan undang-undang syariah.

Perihal keagamaan

Pesanan bermula dengan suruhan mencari reda Allah menerusi reda ibu bapa. Untuk membentuk keperibadian mulia anak-anak, ibu bapa sewajarnya menunjukkan contoh teladan yang baik. Anak-anak lebih peka terhadap sesuatu yang dilihat berbanding dengan sesuatu yang diperkatakan. Pada zaman teknologi hari ini, kebanyakan ibu bapa amat risau dengan kecenderungan anak-anak yang terarah kepada peralatan elektronik. Jika tidak dikawal, segala informasi dan visual amat mudah diakses oleh anak-anak. Keadaan meruncing apabila ada anak-anak yang licik dan tahu mengakses laman sesawang yang tidak bersesuaian dengan usia dan peringkat pemikiran dan budaya.

Sebagai ibu bapa, kita biasanya memberikan amaran dan ingatan supaya peralatan tersebut hanya digunakan untuk tujuan pembelajaran. Namun begitu, pada masa yang sama, kita juga begitu asyik menggunakannya tanpa disedari. Di sini, bermulalah konflik antara teori dengan praktikal yang dilihat oleh anak-anak menerusi ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, berhati-hatilah jangan sampai menjadi seperti pepatah Melayu yang menyebut, “seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Oleh itu, berilah teladan yang ilmiah dan baik supaya anak-anak lebih cenderung dan mengikuti perlakuan yang sama.

Pesanan kedua ialah anjuran mendirikan solat yang merupakan tiang agama. Menjaga solat diibaratkan seperti menegakkan tiang khemah. Apabila tiangnya tegak, maka bergunalah segala pancang, pengikat khemah dan pagar sekelilingnya. Walau bagaimanapun, sekiranya tiang itu condong, maka punahlah segala pancang dan pagar sekeliling yang bergantung harap pada tiang yang kuat tersebut. Hal ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Pokok segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Rahsia kebijaksanaan Luqmanul Hakim

Menerusi kitab al-Muwatta’, Imam Malik r.a. menceritakan tentang rahsia kebijaksanaan Luqmanul Hakim, iaitu suka bercakap benar, melaksanakan amanah yang diberikan, dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah. Tiga perkara asas ini menjadi jati diri yang boleh kita terapkan sebagai Mukmin yang ingin mencari reda Allah. Ibu bapa yang mengharapkan segala yang terbaik buat anak-anak mereka pasti menginginkan akhlak ini dapat diterapkan dalam diri mereka.

Bercakap benar merupakan akhlak yang mulia kerana dapat mencerminkan jati diri sebenar seseorang. Pepatah Arab ada menyebut, “Katalah yang benar sekalipun pahit”. Kebenaran ada kalanya sesuatu yang tidak menenangkan jiwa. Oleh hal yang demikian, sesetengah orang lebih cenderung memilih untuk berbohong untuk mengimbangi sesuatu keadaan. Pantun Melayu pula ada menyebut: “Siakap senohong, gelama ikan duri. Bercakap bohong, lama-lama mencuri”. Pantun ini amat jelas menekankan bahawa tabiat bercakap bohong berulang kali dalam jangka masa yang panjang boleh menjurus kepada tabiat jahat, iaitu mencuri tanpa sedikit pun rasa bersalah. Secara faktanya, berbohong dan mencuri termasuk dalam kategori amalan pecah amanah. Alangkah malangnya masyarakat dan ummah apabila semua ini menjadi tabiat yang membarah dan sukar untuk dibendung.

Melaksanakan perkara yang diamanahkan kepada kita merupakan punca kebijaksanaan. Orang yang amanah akan menunaikan hak orang lain dengan niat yang satu, iaitu mentaati Allah. Bijaknya individu yang amanah itu kerana mereka menyedari bahawa Allah sangat mengetahui apa-apa yang ditunaikan sebagaimana yang disuruh oleh si pemberi amanah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu dan jangan engkau mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Meninggalkan perkara yang sia-sia juga merupakan kunci kebijaksanaan kerana masa yang berharga banyak dipenuhi dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Orang yang bijak sibuk mengumpul pahala yang boleh membawa mereka ke syurga yang kekal abadi. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa-apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Taha 20:131).

Ketetapan ibadat serta kepatuhan kepada perintah Allah merupakan kunci kejayaan bagi orang Mukmin. Inilah yang dipesan oleh Lukmanul Hakim kepada anaknya demi meraih kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Bicara ilmu

Lukmanul Hakim berpesan kepada anaknya supaya menuntut ilmu. Ilmu merupakan harta yang berharga pada saat seseorang itu dalam keadaan fakir, dan perhiasan ketika dia kaya. Dalam apa-apa jua keadaannya, ilmu wajib dimiliki kerana fungsi pentingnya itu. Selain itu, beliau juga berpesan kepada anaknya supaya kerap berada dalam majlis ilmu untuk mendengar kata-kata dan pesanan yang disampaikan oleh ulama dan hukama, iaitu para cendekiawan. Ilmu ini boleh menghidupkan hati yang malap akibat kekurangan cahaya hikmah dan ibadat kepada Allah. Perkara ini tepat sebagaimana yang disebut dalam hadis yang bermaksud, “Duduk bersama-sama para ulama adalah ibadat.” (Hadis riwayat al-Dailami).

Perihal manusia

Lukmanul Hakim memberikan pelbagai peringatan tentang manusia yang perlu dihadapi dalam kehidupan seharian. Perihal manusia penuh dengan iman, akal dan hawa nafsu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Antara pesanan beliau termasuklah keperluan bersiap sedia dengan sebarang perkara yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Siap siaga ini boleh membantu mengurangkan tekanan apabila perkara yang tidak disangka-sangka berlaku. Hal ini merupakan langkah pengurusan risiko yang tersusun yang diajarkan oleh Lukmanul Hakim kepada anaknya.

Dalam konteks masa ini, ibu bapa boleh mendedahkan anak-anak dengan pembelajaran kemahiran hidup yang boleh menjadikan mereka berdikari apabila bergaul dengan masyarakat. Selain kemahiran hidup, kekuatan mental yang positif boleh diterapkan dan dipastikan bertepatan dengan kaedah syariah dan maqasidnya.

Lukmanul Hakim juga berpesan bahawa sesuatu kebaikan itu boleh memadamkan keburukan sebagaimana air boleh memadamkan api. Beliau mengingatkan anaknya bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa keburukan boleh memadamkan keburukan juga. Dakwaan ini ditepis menerusi analogi apabila dua kelompok api dinyalakan. Adakah mungkin satu kelompok boleh memadamkan api yang satu lagi? Kelompok api berkemungkinan besar boleh dipadamkan dengan sebaldi air yang strukturnya tidak sama.

Begitulah indah kalam yang dikongsi oleh tokoh yang hebat ini buat panduan anaknya. Perbahasan ini masih relevan dan sememangnya bertepatan dari zaman ke zaman. Buat ibu bapa yang budiman, marilah sama-sama kita mengambil ilmu yang berguna ini untuk membentuk peribadi anak-anak yang kita cintai. Asas hikmah yang dilantunkan ini sememangnya selari dengan kalamullah dan ajaran Nabi Muhammad SAW yang wajar kita jaga hingga akhir waktu.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!