28 Januari 2022, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Sebanyak 67 orang pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih menerima sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam program ‘MAIPs Santuni Pelajar Asnaf UniMAP’ yang diadakan di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra pada petang semalam.

Para pelajar terpilih dan layak menerima agihan zakat tersebut merupakan penghuni Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah. Masing-masing menerima RM700 daripada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh MAIPs pada kali ini adaah sebanyak RM49 000.

Hadir sama mengiringi keberangkatan Tuanku Raja Muda ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Datuk Azwane Raja Arif dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr. Zaliman Sauli mengucapkan ribuan terima kasih bagi pihak universiti atas kesudian MAIPs menyantuni pelajar dan pekerja asnaf UniMAP dengan harapan semoga usaha murni itu akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengagihkan wang zakat kepada pelajar UniMAP semalam.

Walaupun sebagai sebuah gedung ilmu, UniMAP tidak melihat hal itu sebagai satu halangan untuk sentiasa bersama-sama masyarakat. Malah UniMAP sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada masyarakat. Atas dasar itu, UniMAP berusaha untuk melaksanakan program ‘universiti untuk masyarakat’.

“UniMAP ingin membantu menyelesaikan isu yang wujud dalam masyarakat melalui pelaksanaan program ‘UniMAP for Society’ yang dilaksanakan melalui Program Pemindahan Ilmu melibatkan kepakaran dan kekuatan yang dimiliki oleh universiti tersebut. Akan tetapi, pasti hasrat murni UniMAP ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan bantuan daripada rakan strategik lain bersama-sama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan juga masyarakat setempat,” katanya.

Untuk rekod, UniMAP ditubuhkan pada 25 Julai 2001 dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebelum penjenamaan semula dengan nama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 1 Februari 2007.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.